Kuala Lumpur, 24 Mac 2024 — foodpanda Malaysia, bersama Coca-Cola Malaysia dan Viu, melancarkan program pengagihan ‘bakul makanan’ di seluruh negara dengan kerjasama MyFundAction, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, memberi 5,000 bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan di seluruh Malaysia. Inisiatif itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil.
Inisiatif itu bermula dari 11 Mac sehingga 9 April 2024 dan akan menyaksikan keluarga yang memerlukan di seluruh Malaysia menerima ‘bakul makanan’ yang bernilai RM50 setiap satu sepanjang bulan Ramadan. Ia akan dimulakan dengan pengagihan bantuan kepada lebih 200 keluarga yang memerlukan di Kawasan Lembah Pantai. Inisiatif itu bertujuan menghulurkan bantuan yang amat diperlukan kepada golongan yang memerlukan terutamanya pada bulan Ramadan ini.
YB Fahmi Fadzil berkata, “Komitmen (foodpanda) dalam melaksanakan perubahan positif amat selari dengan agenda dan hasrat kerajaan yang memberi penekanan tinggi terhadap usaha menyantuni dan memartabatkan golongan kurang bernasib baik bagi menjamin kesejahteraan mereka.”
Pengarah Operasi, foodpanda Malaysia, Shubham Saran, menegaskan kepentingan komuniti tempatan dalam inisiatif terbaharu syarikat tersebut. Beliau mengulas: “Matlamat utama kami adalah untuk menyokong komuniti di mana kami beroperasi, misalnya Lembah Pantai yang menempatkan ibu pejabat tempatan kami. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi korporat kami, Coca-Cola Malaysia dan Viu, atas sumbangan berharga mereka yang membolehkan kami melebarkan jangkauan kami serta mencetuskan impak lebih besar di seluruh Malaysia.”
Dalam usaha lanjut untuk melibatkan komuniti foodpanda yang lebih luas, platform itu kini membolehkan pelanggannya menyumbang secara langsung melalui aplikasi foodpanda. Dengan menggunakan kod promo ‘DERMA’, pelanggan bukan sahaja akan mendapat potongan RM1 daripada pesanan mereka dengan perbelanjaan minimum RM20, malah foodpanda juga akan menambah kepada sumbangan ‘bakul makanan’ yang diagihkan.
Selain itu, Coca-Cola Malaysia dan foodpanda akan menggandakan jumlah derma untuk pesanan yang mengandungi produk Coca-Cola Malaysia. Ini merupakan tahun kedua Coca-Cola Malaysia bekerjasama dengan foodpanda sepanjang bulan Ramadan untuk mengagihkan makanan dan barangan keperluan kepada mereka yang memerlukan.