(SEMASA) KTNS KEMBALI KE PASARAN MALAYSIA DENGAN PENGENALAN MODEL TERBAHARU TT-CLASSIC 150

Spread the love

KUALA LUMPUR, 15 MAC 2026 – KTNS kembali menggegarkan pasaran motosikal Malaysia dengan memperkenalkan model terbaharunya, KTNS TT-Classic 150, yang dilancarkan bersempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Media 2026 yang berlangsung di Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce cawangan Kuala Lumpur di Segambut.

Ditawarkan pada harga RM6,888.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, KTNS TT-Classic 150 hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Dark Gold, Matt Black dan Matt Grey. Model ini menggabungkan gaya scrambler klasik dengan ciri praktikal, menjadikannya sebuah motosikal serba guna yang sesuai untuk kegunaan harian di bandar serta tunggangan santai di laluan ringan luar jalan.

Motosikal ini dikuasakan oleh enjin satu silinder, 4-lejang berkapasiti 150 cc yang menghasilkan kuasa maksimum 7.8 kW pada 7,500 rpm dan tork maksimum 11.5 N.m pada 5,500 rpm, dengan nisbah mampatan 9.1:1. Enjin ini menampilkan ukuran piston dan lejang 57.3 × 57.9 mm, dipadankan dengan transmisi 5-kelajuan dan pacuan akhir jenis rantai. Sistem penyejukan adalah jenis cecair, manakala sistem pencucuhan menggunakan ECU dan dihidupkan melalui sistem penghidup elektrik. Motosikal ini turut dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 11 liter bagi menyokong perjalanan lebih jauh, serta klac jenis multi-plat basah untuk pertukaran gear yang lebih lancar dan responsif.

Dari segi suspensi, KTNS TT-Classic 150 menggunakan fork teleskopik di bahagian hadapan serta penyerap hentak teleskopik tunggal boleh laras di bahagian belakang, memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kawalan dalam pelbagai keadaan jalan. Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal di hadapan dengan angkup dua piston dan cakera tunggal di belakang dengan angkup satu piston bagi memastikan prestasi membrek yang cekap dan selamat.

Motosikal ini dipadankan dengan tayar dwi-guna (dual-purpose) bersaiz 110/90-18 di hadapan dan 120/90-17 di belakang, yang dipasang pada rim aluminium aloi, menawarkan cengkaman serta keupayaan tunggangan yang lebih baik di permukaan jalan bercampur.

Dari segi dimensi, KTNS TT-Classic 150 mempunyai ukuran 2,180 mm panjang, 918 mm lebar dan 1,160 mm tinggi, dengan jarak roda 1,400 mm, ketinggian tempat duduk 840 mm serta kelegaan tanah setinggi 300 mm. Motosikal ini mempunyai berat kering 130 kg, menjadikannya ringan serta mudah dikendalikan oleh pelbagai peringkat penunggang.

Bagi ciri-ciri kemudahan dan teknologi, KTNS TT-Classic 150 dilengkapi paparan meter LCD berwarna, sistem kunci mekanikal serta sistem pencahayaan LED sepenuhnya yang merangkumi lampu isyarat, lampu kecemasan, lampu hadapan, lampu belakang dan lampu nyalaan siang (DRL). Ciri tambahan lain termasuk rekaan tempat duduk anti-gelincir, ekzos gaya scrambler, bar pelindung, pelindung tangki serta ruang simpanan hadapan bagi menambah kepraktisan penggunaan harian.

Motosikal ini turut menggunakan bateri 12V3Ah bagi menyokong komponen elektronik serta sistem pencahayaan. Dengan pengenalan KTNS TT-Classic 150, jenama KTNS menandakan kemunculan semula dalam pasaran Malaysia dengan menawarkan pilihan motosikal yang menampilkan gabungan reka bentuk klasik, teknologi moden serta kepraktisan untuk kegunaan harian.

Dengan setiap pembelian mana-mana model KTNS TT-Classic 150, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *