Kuala Lumpur, 9 Disember 2022 – Maybank Islamic Berhad hari ini mengumumkan pelancaran kempen Add Good to Cart, satu inisiatif sosial bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menyeru orang ramai untuk menderma kepada tabung kecemasan komuniti.
Dengan kerjasama rakan pelaksana, MERCY Malaysia, inisiatif sosial ini menyasarkan untuk mengumpul RM100,000 menjelang Mei 2023. Dana yang dikumpul daripada projek ini akan disumbang kepada tindak balas kecemasan, pemulihan, mitigasi dan persiapan semasa bencana demi kemanusiaan dan perkembangan berkaitan kesihatan. Bermula 12 Disember dan seterusnya, rakyat Malaysia boleh melayari laman web MERCY Malaysia dan pilih ikon kempen Add Good to Cart untuk menderma ke tabung kecemasan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican berkata, sebagai sebuah institusi terkemuka yang membentuk masa depan Kewangan Islam, Maybank Islamic komited dalam memainkan peranan di Malaysia dengan menggunakan capaian dan sumbernya demi kebaikan bersama.
“Inisiatif Add Good to Cart digelar sedemikian kerana kita melihat ramai rakyat Malaysia hari ini telah beralih kepada membeli-belah secara dalam talian. Dengan wujudnya trend ini, kami ingin meningkatkan kesedaran tentang manfaat apabila menyumbang kepada dana kecemasan dan pada waktu yang sama, menyeru pembeli dalam talian agar sebaiknya menderma lebih awal dan bukannya pada waktu kecemasan sahaja,” ujar beliau.
“Kita telah pun melihat apabila keadaan sesetengah masyarakat menjadi sukar, rakyat Malaysia sangat bermurah hati untuk membantu mereka yang memerlukan. Kami berharap inisiatif Add Good To Cart ini mampu memberikan kesan yang sama,” ujar Dato’ Mohamed Rafique dan beliau berkata inisiatif ini juga selaras dengan matlamat dan komitmen kelestarian M25 Kumpulan Maybank untuk meningkatkan taraf kehidupan 1 juta isi rumah di seluruh Asia Tenggara (ASEAN) menjelang 2025.
Shareen Shariza Dato’ Abdul Ghani, pengarah eksekutif MERCY Malaysia berkata, “Kami berbesar hati dan teruja dengan inisiatif terbaharu bersama Maybank Islamic yang menyediakan medium pengumpulan dana untuk orang ramai memberi sumbangan. Kerjasama ini merupakan usaha terbaik yang melibatkan orang awam yang memanfaatkan sumber dan kepakaran masing-masing untuk mengembangkan bantuan kemanusiaan.”
Tambah beliau, “Salah satu masalah utama yang kami hadapi sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ialah pengumpulan dana lestari, yang membolehkan kami melakukan tindakan kemanusiaan yang tepat pada masanya, terutamanya semasa kecemasan. Kami berharap agar kami dapat memudahkan semua rakyat Malaysia untuk menyumbang demi kebaikan bersama menerusi kerjasama dan kempen ini.
“MERCY Malaysia menggunakan pendekatan Pembangunan Kemanusian Nexus yang memerlukan kami untuk menangani kelemahan komuniti secara berterusan iaitu sebelum, semasa dan selepas krisis. Oleh itu, usaha kami berterusan pada semua peringkat tindakan kemanusiaan. Dengan sokongan pembiayaan,
kami mampu mengukuhkan kemampuan untuk memberikan penyelesaian berkaitan kesihatan secara berkesan ke arah membentuk komuniti berdaya tahan,” ujar Shareen.
Rakyat Malaysia kini boleh menyumbang kepada dana bantuan kecemasan, Add Good to Cart di https://www.mercy.org.my/agtc/
Untuk maklumat lanjut mengenai Add Good to Cart, sila layari https://www.maybank2u.com.my and https://mercy.org.my