(SEMASA) Operator Medan Selera Digital dan Firma Teknologi Makanan, ZING, Terima Pelabur Utama bagi Pusingan Pendanaan Siri A Bernilai AS$10 Juta untuk Memacu Perluasan Perniagaan Serantau

Spread the love

Kuala Lumpur, 26 April 2022 – Operator medan selera digital dan firma teknologi makanan, Zing Ventures (“ZING”), telah berjaya mendapat pelabur utama dalam pusingan pendanaan Siri A bernilai AS$10 juta menerusi Tisana Ventures. Dana tersebut akan digunakan untuk memacu pelan perluasan perniagaan serantau kumpulan secara agresif, pada masa sama mengukuhkan tapak perniagaannya di Malaysia. ZING merancang untuk memasuki pasaran Singapura menjelang suku keempat 2022 dan Indonesia pada tahun 2023.

Dengan pandemik semasa mempercepatkan usaha-usaha pendigitalan dan mempengaruhi tabiat pemakanan, segmen penghantaran makanan, dapur awan (“cloud kitchen”) dan medan selera digital telah menunjukkan pertumbuhan eksponen. Model perniagaan unik ZING telah memberikan nafas baharu dalam industri makanan dan minuman (“F&B”).

Medan selera digital ZING adalah hibrid sebuah medan selera dan dapur penghantaran yang memperkasakan jenama-jenama F&B untuk berkembang maju dalam pasaran yang semakin maya dan digital hari ini. Menawarkan kedua-dua segmen fizikal dan maya yang bergabung dengan dapur-dapur penghantaran pelbagai jenama dan solusi katering, jenama-jenama F&B menerusi ZING akan mampu menerima manfaat terhadap peningkatan permintaan bagi khidmat penghantaran makanan serta pengalaman menjamu selera pelbagai pilihan untuk pelanggan.

Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kewangan (“CFO”) ZING, Ehon Chew, “Pendekatan unik kami terhadap segment F&B ini telah terbukti berjaya dalam menangani cabaran-cabaran kritikal pasaran yang menghalang kebanyakan perniagaan terlibat daripada meneroka potensi penuh mereka. Menerusi ekosistem teknologi terkini dan solusi-solusi turnkey khusus ZING, kami telah membantu banyak jenama F&B untuk mengatasi kesukaran dalam perluasan dan peningkatan perniagaan secara konvensional di peringkat tempatan dan tidak lama lagi, ke pasaran antarabangsa, tanpa keperluan perbelanjaan modal yang tinggi.”

ZING telah mempunyai tapak perniagaan yang kukuh di Malaysia dengan 10 medan selera digital yang sedang beroperasi dan lebih 16 yang masih di peringkat pembangunan menerusi tiga (3) jenama utama – My Virtual Foodhall, TasteHere dan United States of Food. Setiap medan selera digital menempatkan sehingga 40 jenama restoran maya.

Suntikan dana baharu ini akan terus mempertingkatkan pengaruh ZING dalam landskap F&B serantau, pada masa sama menawarkan pengalaman F&B yang tersendiri.

Setakat ini, ZING bekerjasama dengan lebih 40 rakan jenama F&B. Antara yang utama adalah Nathan’s Famous, jenama hot dog terkemuka dunia dengan sejarah selama 100 tahun; Cold Stone Creamery, rantaian aiskrim popular dari Amerika Syarikat; The Majapahit, satu rantaian restoran terkemuka di Malaysia; Chagee, sebuah rumah teh berkonsep artisan dari China; Tail & Fin, rantaian Poke popular dari Las Vegas; Goobne, restoran berkonsep ayam panggang #1 dari Korea Selatan dan Union Artisan Coffee, satu rantaian kafe terkenal di Malaysia.

Menekankan penggunaan teknologi secara strategik oleh ZING dalam mengukuhkan jenama-jenama F&B, Dr Koh Wee Lit, Pengasas Bersama dan CTO ZING menjelaskan, “Industri F&B selalunya kaya dengan data tetapi miskin maklumat. Dengan memanfaatkan teknik penggalian data berteknologi terkini yang disediakan ZING, jenama-jenama dapat memahami pelanggan mereka dengan lebih baik. Pandangan yang diperoleh ini merupakan kunci dalam meningkatkan pengalaman pelanggan serta aras kepuasan mereka. Ini tentunya satu solusi menang-menang bagi pelanggan serta jenama.”

“Pada dasarnya, elemen yang membezakan ZING adalah teknologi yang dijalinkan ke dalam DNA operasi kami. Secara keseluruhan, pasukan ZING mempunyai pengalaman selama hampir 200 tahun, bukan sahaja dalam bidang pembangunan teknologi tetapi pengoperasian jenama-jenama F&B terkemuka di seluruh dunia,” tambah Dr Koh.

Pendanaan Siri A tersebut akan diterajui secara strategik oleh Tisana Ventures, sebuah firma pemilikan keluarga usahawan teknologi terkenal serta pemimpin korporat dalam sektor minyak dan gas (O&G), Encik Zainal Abidin Abdul Jalil.

Zainal mempunyai sejarah yang mengagumkan dengan berkhidmat di bahagian operasi global di ExxonMobil sebelum menerajui Malakoff, sebuah syarikat pengeluar tenaga bebas. Pada masa ini beliau merupakan Ahli Lembaga Dagang Nexchange Berhad (DNex), sebuah syarikat penyedia perkhidmatan teknologi dan tenaga di Malaysia. Zainal memainkan peranan penting dalam mengubah DNex, yang sebelum ini dikenali sebagai Time Engineering Berhad, kepada sebuah syarikat gergasi yang dikenali hari ini.

“Saya percaya akhirnya firma-firma teknologi di Asia Tenggara mendapat tumpuan pelbagai pihak – terbaharu terbukti menerusi penyenaraian penting Grab dan GoTo. Dari aspek fintech dan teknologi makanan, saya percaya kita hanya baru dapat melihat potensi segmen ini. Menerusi ZING dan pendekatan unik mereka untuk memacu pertumbuhan jenama F&B secara maya dan fizikal, kami percaya akan potensi besarnya untuk jangka panjang. Malah, tidak mustahil mereka mencapai kejayaan yang serupa seperti firma-firma terkemuka lain pada skala global. Pelaburan Kumpulan kami dalam ZING menggambarkan keyakinan ini dan terus memastikan sinergi periagaan bersama portfolio pelbagai kami,” ujar Zainal.

Crowe Growth Consulting, sebuah firma ahli Crowe Global, telah dilantik sebagai pengurus perniagaan bagi pusingan pendanaan berkenaan. Pusingan ini adalah susulan kejayaan pusingan pra-Siri A yang telah disempurnakan pada pertengahan 2021.Pelaburan pra-Siri A sebelum ini telah disertai pelbagai pelabur yang berminat termasuk The Longfort Group, sebuah firma ekuiti swasta serantau.

Dana-dana ini membentuk pemangkin kepada pertumbuhan pesat ZING di Malaysia pada tahun 2021, sungguhpun mendepani salah satu langkah kawalan pandemik dan pergerakan yang paling ketat di dunia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *