KUALA LUMPUR, 29 November — Sambutan ulang tahun ke-50 Lee Swee Kiat Group Berhad (LSK) di MyTOWN Shopping Centre hari ini nyata berjaya menarik tumpuan pengunjung apabila ruang Centre Court dipenuhi orang ramai yang datang untuk menjadi sebahagian daripada majlis yang berteraskan komuniti tersebut, selain untuk menikmati promosi jualan ulang tahun dan cabutan bertuah istimewa.
Acara yang berlangsung dalam suasana santai itu turut diserikan oleh kehadiran duta Napure, Diana Danielle, yang membuat persembahan ringkas sebelum membantu mengendalikan sesi cabutan bertuah ‘Spend & Win’. Turut mencuri perhatian ialah kemunculan Amber Chia, juga merupakan duta Napure, yang hadir memperkenalkan koleksi ‘Blind Box’ edisi terhad Napure, satu strategi jenama terbabit dalam usahanya menarik perhatian peminat-peminat trend yang semakin menjadi kegilaan itu untuk meneroka dunia Napure yang menawarkan pelbagai produk tidur yang inovatif dan premium.
Kempen ‘Spend & Win’ yang menjadi kemuncak sambutan telah berlangsung sejak Mac lalu dan berjaya mengumpulkan lebih 1,800 penyertaan daripada pelanggan yang membuat pembelian minimum RM3,000. Hadiah yang ditawarkan pula bukan calang-calang, antaranya kereta elektrik Proton e.MAS 7, percutian ke Eropah, beg Louis Vuitton, percutian kapal layar Disney, Dyson Airwrap serta peralatan rumah daripada Cuckoo. Cabutan mini turut disediakan dengan hadiah segera seperti percutian ke Bangkok, pas Sunway Lagoon dan makan malam di Menara KL.
Bagi LSK, sambutan ini bukan sekadar mengimbau perjalanan setengah abad syarikat itu dalam industri pembuatan tempatan, tetapi juga usaha menghargai pelanggan yang menyokong mereka sejak awal. Bermula sebagai pengusaha perabot pada 1975, LSK berkembang menjadi antara pengeluar tilam berasaskan lateks paling lama bertapak di negara ini, selain memasarkan jenama antarabangsa seperti Tempur, Englander, Stressless dan Viscopedic.
Pengarah Urusan LSK, Dato’ Eric Lee Kong Sim, menyifatkan ulang tahun ke-50 sebagai satu detik penting yang menggabungkan sejarah syarikat dengan hala tuju masa depannya. “Kejayaan LSK bukan sahaja berpaksikan kekuatan produk, tetapi juga sokongan pengguna serta kerjasama dengan rakan strategik seperti Cuckoo International, yang membantu memperluas tawaran dan segmen pelanggan,” kata beliau.
“Dengan kemunculan Diana Danielle dan Amber Chia menambah keriangan pelanggan-pelanggan setia kami serta pengunjung pusat beli-belah ini yang hadir bersama-sama meraikan ulang tahun ini, kami rasa sambutan 50 tahun LSK ini jadi lebih bermakna,” ujar beliau lagi.
LSK turut mencatat beberapa pencapaian besar sepanjang lima dekad, termasuk penyenaraian di Bursa Malaysia, beberapa pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records serta pensijilan Global Organic Latex Standard bagi produk lateks organiknya. Peralihan syarikat kepada model jualan terus kepada pengguna (D2C) dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga membuka ruang kepada pendekatan lebih moden dalam pemasaran dan khidmat pelanggan.
Pengunjung yang hadir bukan sahaja menantikan keputusan cabutan bertuah, malah mengambil kesempatan menikmati promosi ulang tahun seperti diskaun sehingga 50 peratus untuk tilam tertentu, pemberian bingkai katil designer dan koleksi ‘Blind Box’ eksklusif untuk pembelian terpilih.
Majlis tersebut diakhiri dengan suasana penuh ceria apabila pemenang-pemenang cabutan bertuah diumumkan dan diberikan peluang untuk berinteraksi dan bergambar bersama duta-duta jenama Napure, Diana Danielle dan Amber Chia. LSK menyatakan bahawa sambutan tahun ini menjadi simbol permulaan bab yang seterusnya dalam usaha mereka membina jenama tempatan yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
