(SEMASA) TABUNG TV3 BERSAMAMU MENERIMA SUMBANGAN RM 48,996 DARIPADA JULIE’S

Sesi Penyampaian Cek Julie's Kepada Tabung TV3 Bersamamu (2)

Aktiviti kemasyarakatan “TV3 & TV9 Uli – Uli Biskut Raya Bersama Julie’s” yang telah berlangsung pada 15 Julai 2012 di kilang biskut Julie’s di Masjid Tanah, Melaka sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan melibatkan lebih 500 penyertaan daripada orang ramai serta kehadiran personaliti TV, chef dan artis popular tanahair.

Selain acara padang yang turut menganjurkan Pertandingan Dekorasi Biskut Raya, pihak Julie’s juga mengambil kesempatan itu untuk melancarkan produk terbaru – Biskut Kismis Lembut ’Fruits’ More Sultana Biscuits’ yang menyumbangkan satu Ringgit daripada setiap pek yang terjual kepada Tabung TV3 Bersamamu dari bulan Julai 2012 hingga bulan Ogos 2012.

Hasil jualan Biskut Kismis Lembut ’Fruits’ More Sultana Biscuits’ di seluruh Malaysia selama 2 bulan itu berjaya mengumpul RM48,996 untuk tujuan tersebut. Justeru, suatu sesi penyerahan sumbangan kepada Tabung TV3 Bersamamu telah berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama pada 28 Februari 2013. Sumbangan tersebut diserahkan oleh Cik Rigel Oye, Penolong Pengurus Besar Julie’s kepada Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9.

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, “Sudah 2 tahun, TV3 dan TV9 menganjurkan kempen ‘Uli-Uli Biskut Raya’ bersama penaja, Julie’s. Aktiviti bercorak kemasyarakatan ini merupakan satu platform unik bagi para penonton setia TV3 dan TV9 untuk turut bersama staf Julie’s, orang ramai dan para selebriti untuk menjayakan Pertandingan Dekorasi Biskut Raya yang terbesar. Biskut-biskut yang disediakan pada hari tersebut diagihkan kepada rumah-rumah kebajikan di Melaka, hentian rehat & rawat dan plaza tol lebuhraya yang terpilih.”

“Program kemasyarakatan itu tidak terhenti pada hari tersebut, malah kami berbesar hati dengan niat murni Julie’s untuk menyumbangkan sebahagian daripada hasil jualan sepanjang bulan Julai dan Ogos pada tahun lalu kepada Tabung TV3 Bersamamu. Kami berharap agar kerjasama erat yang terjalin dengan Julie’s akan terus membawa manfaat kepada semua pihak. Selain itu, kami juga mengalu-alukan badan-badan korporat yang lain untuk memberi sumbangan kepada Tabung TV3 Bersamamu.” Tambah Cik Sherina.

Encik Su Chin Hock, Pengarah Urusan Kumpulan Julie’s berkata, “Dengan semangat perkongsian kasih sayang, kempen ini dapat menggalakkan orang ramai menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Terdapat ramai orang di seluruh negara hidup dalam keadaan yang daif, saya percaya kempen menderma ini akan dapat memperbaiki dan meningkatkan kehidupan mereka yang kurang bernasib baik. “

Julie’s berharap agar lebih ramai orang akan terus menyalurkan dan berkongsi kasih sayang mereka setiap hari yang akan menjadikan masyarakat kita lebih mengambil berat antara satu sama lain dan hidup dalam suasana yang harmoni.

Untuk makluman, seramai 500 orang peserta telah mengambil bahagian pada acara tersebut terdiri daripada orang awam termasuklah ahli-ahli MyTV3, wargakerja Media Prima Berhad dan syarikat Julie’s sendiri. Acara yang bermula seawal jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang merangkumi beberapa aktiviti seperti demo hiasan oleh chef, pertandingan dekorasi biskut raya, tele-match di pentas utama, penampilan maskot, sesi penyampaian hadiah kepada pemenang dan persembahan istimewa daripada finalis Mentor 6, Zatul, Anas serta Kumpulan OAG.

Para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan yang diketuai oleh chef terkenal iaitu Chef Ismail, Chef Zam, Chef Zaidah dan Chef Rose. Antara artis yang memeriahkan acara itu termasuk Ryzal Jaafar, Erry Putra, Almy Nadia, Faralyna Idris, Aishah Ilias, Syazwan Zulkifly, Talha Harith, Zalif Sidek, Nelydia Senrose, Azuan Mazlan, Riz Amin, Abdul Munir, Anis Nabilah, Syed Mohd Khair dan ramai lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *