Bertempat di Surau Perdana, Damansara Perdana telah berlangsungnya Forum Perdana sempena Maal Hijrah yang membariskan tiga panel penceramah terkenal iaitu Ustaz Abdullah Khairi, Prof Madya Dato Mohd Izhar dan Ustaz Haslin Bollywood. Di pengerusikan oleh Al-Fadhil Ustaz Akil Hayy yang juga kariah dan sebahagian jawatankuasa surau berkenaan telah berjaya menarik kehadiran 700 jemaah dan anak-anak qariah Damansara Perdana dan kawasan sekitarnya.
Mengambilkira kesibukkan jadual tiga penceramah ini, 3 September 2023 dipilih sebagai tarikh kesepakatan untuk pelaksanaan program ala Forum Perdana ini. Jawatankuasa surau mengambil masa hampir sebulan setengah untuk mendapatkan tarikh yang sesuai bagi ketiga-tiga penceramah tersebut untuk bergabung di dalam program tersebut.
Mengimbau sejarah penubuhan surau ini 15 tahun dahulu, ia diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Haji Mustapha Kamal Abu Bakar yang merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan hartanah Malaysia. Beliau diberi jolokan “Raja Perumahan Mampu Milik” kerana bertanggungjawab membangunkan lebih 12,000 rumah kos rendah di Selangor dan Perak. Beliau ialah pengasas Kumpulan EMKAY, syarikat hartanah yang ditubuhkan pada 1983. Surau ini dibina oleh arwah sebagai satu tanggungjawab sosial bagi keperluan pengembangan agama bagi masyarakat setempat di mana syarikat beliau ada membangunkan beberapa projek perumahan setempat.
Surau Perdana, Damansara Perdana mengalami pasang surutnya apabila bangunan ini pernah ditutup dan diletakkan di bawah pengawasan Majlis Agama Negeri Selangor sebelum dibuka semula dan diserahkan kepada pengurusan surau terkini. Surau ini juga telah ditambahbaik dari segi kemudahan dan infrastruktur tambahan bagi kemudahan jemaah hasil sumbangan ikhlas daripada ahli-ahli keluarga Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Haji Mustapha Kamal Abu Bakar sendiri. Peningkatan kemudahan ini juga membolehkan surau ini diberi kebenaran untuk melaksanakan Solat Jumaat oleh Majlis Agama Negeri Selangor bagi memudahkan urusan umat islam yang berkerja di sekitar Damansara Perdana.
Bergerak ke hadapan, wakil jawatankuasa Surau Perdana, Damansara Perdana berharap ada pihak-pihak atau syarikat korporat mahupun individu yang sudi membantu dan menderma dalam bentuk tunai atau barangan bagi mengimarahkan lagi program dan kebajikan masyarakat setempat disini dan berdasarkan kesinambungan program, pihak jawatankuasa Surau Perdana, Damansara Perdana akan melaksanakan satu lagi forum agama Maulidur Rasul bersama Dato’ Haji Badli Shah bin Haji Alauddin yang merupakan Timbalan Mufti Negeri Pahang pada 19 September 2023.
Surau Perdana,
No 13, Jalan PJU 8/6,
Damansara Perdana,
47820 Petaling Jaya,
Selangor
INFAQ/DERMA : 562768410434 (Maybank)