Sepang, Malaysia: Litar perlumbaan terkemuka dunia, Litar Antarabangsa Sepang berubah rentak hari ini apabila 20,000 peserta Music Runners™ berlari dan menari sepanjang laluan 5km – dikenali sebagai The Sound Track– sambil dihiburkan dengan pelbagai genre muzik. Larian The Music Run™ oleh AIA Vitality, acara larian sejauh 5km dan festival muzik terunggul, menghidupkan keseronokan di Kuala Lumpur untuk tahun ketiga susulan berakhirnya penganjuran di Taipei pada September lalu.
The Music Run™ merupakan acara larian bukan kompetitif yang menekankan keseronokan dan terbahagi kepada lima Zon Muzik sepanjang 1km – Rock, Pop, Old School, Hip Hop dan Dance. Kuala Lumpur menjadi tuan rumah penganjuran sulung The Music Run™ pada tahun 2014. Sejak itu, acara tersebut telah disertai oleh 100,000 peserta sepanjang 12 edisi penganjurannya di sembilan buah negara, dari Singapura ke Hamburg, sekali gus menjadikannya antara acara larian menyeronokkan yang pesat berkembang di dunia.
Acara bermula pada pukul 3.30 petang dan berakhir dengan Festival Muzik, lengkap dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan dan hiburan di Perkampungan Muzik. Penaja utama, AIA Bhd., telah memainkan peranan penting dalam perkembangan The Music Run™ sejak penganjuran pertamanya di Malaysia pada 2014, menyumbang dalam membawa fenomena tersebut ke rantau Asia lain termasuk bandar raya utama seperti Bangkok, Singapura, Manila dan Shanghai.
Chris Cable, Naib Presiden Kanan Exceed Sports and Entertainment selaku penganjur acara berkenaan berkata, “The Music Run™ oleh AIA Vitality mewakili generasi baharu acara larian menyeronokkan yang mana para peserta boleh secara aktif membentuk dan berkongsi pengalaman yang diraih pada acara tersebut. The Music Run™ mungkin merupakan satu acara global tetapi Music Runners™ di Malaysia benar-benar menjadikan ia sebagai acara terbesar dan terbaik yang pernah dianjurkan.
“Kami amat gembira kerana mendapat sokongan AIA Vitality dalam membawa semula rentak keseronokan ini dan kami berharap acara ini akan dapat memberi aspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.”
Anusha Thavarajah, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd. berkata, “Kami amat teruja menjadi tuan rumah The Music Run™ buat kali ketiga di Kuala Lumpur, dan kali ini di bawah panji AIA Vitality, suatu program kesihatan dan insurans berasaskan sains, yang pertama di Malaysia.
“Penganjuran di Kuala Lumpur telah memecahkan rekodnya sendiri dengan menarik 20,000 Music Runners atau peserta. Sebagai peneraju perkhidmatan insurans di Malaysia, kami komited dalam membantu rakyat Malaysia hidup lebih lama, lebih sihat dan baik. Kami amat gembira melihat begitu ramai individu menyertai acara larian kali ini dan membuat pilihan untuk menjadi lebih sihat,” tambah Anusha.
Acara dimulakan dengan pra-parti di Perkampungan Muzik yang memaparkan kumpulan pop sensasi tempatan, De Fam. Trio yang mula terlibat dalam arena muzik negara pada tahun 2015 dengan single popular mereka #Supergirls, mempersonakan pengunjung dengan persembahan mereka yang termasuk lagu hit With You. Semangat pra-perlumbaan terus bertambah dengan gerakan Zumba, senaman yang menerapkan elemen muzik dan gerak tari yang digemari ramai.
Music Runners™ berlari sepanjang laluan yang dibarisi dengan lebih 120 pembesar suara yang menyiarkan lagu-lagu hit sepanjang lima zon bertemakan muzik yang disediakan. Dengan kerjasama Spotify, The Music Run™ oleh AIA Vitality memperkasakan peserta untuk memilih pilihan lagu larian tersebut dengan membuat undian lagu-lagu kegemaran mereka sebelum acara berkenaan. Undian dilaksanakan secara online menerusi Aplikasi Undian Muzik Spotify dan lagu-lagu yang menerima undian tertinggi akan tersenarai secara rasmi dalam larian tersebut. Setiap Zon Muzik mempunyai senarai lagu tersendiri yang dipilih oleh para peserta larian.
Zon Muzik berbeza juga menghiburkan Music Runners™ dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan yang disediakan. Di Zon Rock, para peserta menyerlahkan bakat bintang rock yang terpendam dengan bergaya bersama motosikal Harley Davidson. Sementara di Zon Pop Petron, bergambar bersama potongan foto pam petrol, Pokeball dan Pokestop. Di Zon Old School AirAsia, Music Runners™ bergembira di ruang perang air dan bergembira mengambil selfie dan wefie dengan potongan gambar bintang-bintang pop dan band old school. Pelari juga berpeluang menyerlahkan daya kreativiti mereka di Dinding Grafiti yang tersedia di Zon Hip Hop manakala Zon Dance dilengkapi dengan tujuh meriam buih yang mengubah ruang tersebut kepada parti buih yang meriah!
Music Runners™ juga berpeluang bergembira dengan menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan di Perkampungan Muzik. Lompatan Bag AIA Vitality dan pertandingan tarian, Dunk Tank AirAsia, Stesen Hangmen Petron dan Pertarungan Gladiator, Dinding Memanjat Berjaya dan Bola Sepak Sumo jelas merupakan aktiviti yang menjadi kegemaran acara berkenaan.
Pada tahun ini, Music Runners™ juga disediakan sajian AIA Vitality Takeout by Chef Malcolm Goh, chef selebriti yang memenangi anugerah, telah menyediakan dua hidangan berkalori rendah untuk dinikmati peserta selepas larian. Pek-pek hidangan itu disediakan untuk menunjukkan bahawa seperti juga muzik yang boleh dihayati dan dikongsi bersama, makanan juga mampu memberikan kesan yang serupa apabila memenuhi keperluan zat badan. Setiap pilihan makanan yang ditawarkan pada harga RM8 itu jelas mematahkan tanggapan bahawa makanan berkhasiat melibatkan kos yang tinggi. Malah, kesemua 3,000 pek makanan yang disediakan Chef Malcolm habis dijual!
Kehadiran DJ Sam Withers memeriahkan lagi Festival Muzik yang mengendalikan dek muzik dengan pilihan muzik tari yang mengujakan, berlatarbelakangkan persembahan sinar laser dan piroteknik yang mempersonakan. Withers merupakan penghibur tetap di pelbagai penganjuran Music Runs di seluruh dunia dengan membawa bersama lagu-lagu yang menghiburkan pengunjung sehingga ke akhir acara.
Exceed Sports and Entertainment menganjurkan pelbagai acara di Bangkok, Beijing, Kuala Lumpur, Manila, Shenzhen, Singapura dan Taipei sepanjang tahun 2016. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web The Music Run (www.themusicrun.com), Facebook (@TheMusicRunMY) atau saluran YouTube (@TheMusicRunGlobal).