(SUKAN) AEON CREDIT MEMPERKUKUHKAN JENAMA DAN PEMBANGUNAN BAKAT SEBAGAI PENAJA UTAMA UNTUK HAKIM DANISH BERAKSI DI SAINGAN MOTO3™

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Februari 2026 – AEON Credit Service (M) Berhad (“AEON Credit” atau “Kumpulan”) memperkukuhkan komitmen dalam pembangunan bakat muda berprestasi tinggi apabila tampil sebagai penaja utama pasukan MSi Racing Team bagi menghadapi saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (“MotoGP”) dalam kelas Moto3™ musim 2026.

Pelaburan strategik selama setahun ini menandakan langkah progresif AEON Credit dalam menyokong ekosistem sukan permotoran negara, khususnya sebagai pemangkin utama dalam memacu potensi pelumba berbakat negara, Hakim Danish Ramli, yang bakal meneruskan perjalanan di pentas dunia.

Inisiatif berimpak tinggi ini merupakan kesinambungan kepada sokongan berterusan AEON Credit terhadap pelumba berusia 19 tahun itu, selepas merealisasikan penyertaan wildcard Moto3™ di Grand Prix (“GP”) Malaysia tahun lalu.

Keputusan untuk memeterai kerjasama strategik ini dibuat susulan prestasi cemerlang dan konsisten yang dipamerkan Hakim Danish sepanjang musim 2025, khususnya dalam dua kejuaraan utama di Eropah iaitu FIM JuniorGP (“JrGP”) dan Red Bull MotoGP Rookies Cup.

Hasil pencapaian tersebut, pelumba yang lahir daripada program pembangunan Litar Antarabangsa Sepang (“SIC”) itu bukan sahaja berjaya menaiki podium dalam saingan JrGP, malah mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup di kedudukan ketiga keseluruhan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek terbaik Asia di pentas dunia. Menerusi kerjasama ini, pasukan berkenaan akan beroperasi di bawah penjenamaan baharu iaitu AEON Credit–MT–MSi dan dijangka menyediakan platform sokongan menyeluruh bagi memastikan kesinambungan prestasi serta perkembangan kerjaya Hakim Danish di peringkat tertinggi.

Inisiatif ini juga menyokong objektif penjenamaan dan pemasaran AEON Credit yang lebih luas dengan meningkatkan kehadiran jenama di platform sukan permotoran antarabangsa sekaligus memperkukuhkan penglibatan dengan pelanggan dan komuniti, serta memperlihatkan Kumpulan menyokong pembangunan bakat belia dalam jangka masa panjang.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Credit, Encik Daisuke Maeda, menekankan bahawa inisiatif ini mencerminkan visi jangka panjang Kumpulan untuk mengukuhkan kehadiran jenamanya serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan sukan berprestasi tinggi di Malaysia.

“Kerjasama ini merupakan satu pelaburan strategik yang berlandaskan kepercayaan kami terhadap nilai disiplin, ketekunan dan peluang yang ditawarkan oleh sukan permotoran sebagai platform pembinaan generasi masa hadapan.”

“Sukan permotoran selari dengan nilai teras AEON Credit yang menekankan ketabahan, semangat juang dan keunggulan. Kami komited untuk membina ekosistem yang mampan bagi melahirkan juara dan ikon sukan negara pada masa hadapan.”

“Kesungguhan serta kematangan prestasi yang ditunjukkan oleh Hakim Danish sepanjang musim 2025, khususnya ketika aksi wildcard di GP Malaysia, telah mengukuhkan keyakinan kami. Walaupun bersaing atas tiket wildcard, beliau membuktikan kemampuan sebenar dirinya. Melalui kerjasama AEON Credit–MT–MSi, kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran jenama dalam komuniti sukan permotoran sambil menyediakan persekitaran yang stabil agar bakat muda seperti beliau dapat terus berkembang dan mencapai tahap lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Hakim Danish menyifatkan sokongan AEON Credit sebagai suntikan motivasi utama dalam menghadapi cabaran baharu di saingan Moto3™.

“Sokongan berterusan daripada AEON Credit ini merupakan pembakar semangat terbesar buat saya. Fokus saya kini sepenuhnya untuk membalas kepercayaan yang diberikan dan memberikan prestasi terbaik di pentas dunia.”

“Berita ini pastinya meningkatkan motivasi saya, khususnya menjelang perlumbaan GP Thailand yang dijadual berlangsung dari 28 Februari hingga 1 Mac ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AEON Credit, Litar Antarabangsa Sepang (“SIC”) serta ZK Racing yang bekerja keras memastikan kerjasama berprestij ini dapat direalisasikan.” katanya.

Sebagai rekod, AEON Credit dan ZK Racing sebelum ini telah memeterai perkongsian strategik bagi pembangunan sukan permotoran Malaysia menerusi Blueprint Pembangunan Sukan Permotoran Malaysia (MDEV), iaitu pelan pembangunan bakat dua roda yang dirangka secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (“KBS”) serta SIC.

Dalam perkembangan sama, Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, menyifatkan kehadiran AEON Credit sebagai penaja utama tepat pada masanya.

“Komitmen dan pelaburan daripada AEON Credit memberi impak besar kepada kesinambungan program pembangunan yang kami rangka. Tanpa sokongan kukuh daripada rakan korporat strategik seperti AEON Credit, adalah sukar untuk meletakkan bakat muda negara di pentas dunia,” katanya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *