(SUKAN) ATM Hampiri Separuh Akhir, Southern Tigris Hidupkan Semula Peluang

Spread the love

IMG 2

Kuala Lumpur (15 November 2015) – Angkatan Tentera menebus kecewa aksi longlai dalam kekalahan kepada East Coast Surfers semalam dengan menterjemahkan aksi bertenaga untuk menewaskan Northern Rangers 3-0 dan semakin hampir untuk mengiringi Black Panthers ke separuh akhir SepakTakraw League Malaysia 2015.

Tatkala kemenangan hadir sebagai perkembangan menggembirakan di kem ATM yang bakal membuat perhitungan terakhir menentang City Flyers minggu depan, kekalahan pula menyaksikan Northern Rangers tersingkir dari persaingan ke separuh akhir selepas hanya mengutip dua mata daripada enam perlawanan.

IMG 1

“Saya memberi motivasi kepada pemain selepas kekalahan semalam, di mana pemain tidak berada di tahap sebenar mereka. Pemain tahu mereka perlu bangkit dan mereka buktikannya di atas gelanggang. Hari ini kami betul-betul bersedia dan kemenangan ini bagi saya sebenarnya sudahpun melayakkan kami ke separuh akhir cuma aksi terakhir menentang City Flyers adalah untuk perbaiki kedudukan ranking antara 1 hingga 4,” ujar jurulatih ATM, Aswadi Abdullah.

Dibantu servis hampir sempurna oleh Tunku Azwari dan libasan padu Khairudin Adenan, regu pertama ATM mendominasi sepenuhnya perlawanan pembukaan dan tidak berdepan masalah besar untuk mencatat kemenangan 21-14, 21-13 dalam aksi yang berlanjutan lebih satu jam.

Regu kedua ATM gandingan trio pelatih kebangsaan Nazmi Najib, Muhaimi Che Bongsu dan Shakirin Nasir bagaimanapun tidak diberi laluan mudah oleh Kamal Aizat, Zul Effendi Sumari dan Hanafiah Dollah. Menang 21-19 pada set pertama, ATM diheret beraksi di set penentuan apabila tewas 19-21 pada set kedua namun kembali dominan apabila mencatat kemenangan mudah 21-7 sekaligus mengesahkan mata kemenangan ATM.

Gandingan Zulfikar Mat Amin, Nazuha Nadzli dan Asrie Isa melengkapkan kemenangan mutlak 3-0 buat ATM selepas mencatat kemenangan 21-16, 21-12 ke atas Hanif Rosli, Faizal Adnan dan Norzulhemy.

Dalam pada itu, Southern Tigris memastikan peluang mereka untuk mengintai kedudukan empat teratas belum tertutup apabila menghadiahkan kekalahan kelima berturut-turut kepada Green Titans sekaligus menutup terus harapan pasukan dari Melaka itu untuk ke separuh akhir meskipun mempunyai baki dua perlawanan untuk diharungi.

Southern Tigris yang kecundang kepada Black Panthers semalam, tampil dengan prestasi yang lebih baik dan mengutip mata pertama selepas Haidzir Rashid, Tarmizi Omar dan Sofian Rahim menewaskan Zainurin Daud, Ridzuan Azman dan Azwan Yahya 21-14, 21-18.

Kegarangan pelibas kebangsaan, Masran Rahman yang memegang rekod selaku kelajuan rejaman terpantas STL 2015 membantu Green Titans untuk kembali dalam permainan apabila regu kedua mereka yang turut diperkuatkan Shahidan Ali dan Syazreenqamar Salehan mengikat kedudukan 1-1 menerusi kemenangan 21-17, 19-21, 21-17 ke atas Azam Sah Rabu, Azmi Kadir dan Zamree Dahan.

Meskipun Green Titans memberi tentangan sengit dalam misi mencari kemenangan pertama, pertarungan dramatik menghiburkan di set ketiga yang berlangsung tiga set menjadi milik Southern Tigris apabila Norhamizi Nordin, Shamsulhairi Saidi dan Norhafizi Abdul menang dengan keputusan 21-14, 18-21, 21-18.

Kemenangan membolehkan Southern Tigris kembali memintas Gomo Warriors di kedudukan kelima kumpulan dengan enam mata – jumlah mata yang sama dengan City Flyers dan East Coast Surfers namun mereka sudah beraksi lebih satu perlawanan.

Jurulatih Southern Tigris Nordin Sabarudin bagaimanapun optimis pasukannya akan layak ke separuh akhir, “Minggu depan kita akan menentang Gomo Warriors, saya yakin dengan pemain saya. Yang penting pemain tidak boleh ulangi kesilapan seperti hari ini. Kita masih lemah ketika bertahan dan servis banyak keluar.

“Pemain perlu tumpukan perhatian pada perlawanan. Kita buat kesilapan mudah dan beri mata mudah kepada lawan. Macam regu ketiga tadi, mereka sepatutnya boleh menang straight set tapi banyak kesilapan di set kedua dan kita dihukum. Saya harap pemain akan belajar dan perbaiki kesilapan ini kerana minggu depan adalah penentu bagi kita,” tambahnya.

Selepas berakhirnya saingan minggu keempat, hanya Black Panthers sudah mengesahkan tempat di separuh akhir manakala nasib kesemua lima pasukan – ATM, City Flyers, East Coast Surfers, Southern Tigris dan Gomo Warriors akan diketahui minggu depan apabila berlangsungnya perlawanan terakhir peringkat kumpulan STL 2015.

KEPUTUSAN :

Southern Tigris mng Green Titans (2-1)

ST ‘A’ mng GT ‘A’ (21-14, 21-18)

ST ‘B’ kk GT ‘B’ (17-21, 21-19, 17-21)

ST ‘C’ mng GT ‘C’ (21-14, 18-21, 21-18)

ATM mng Northern Rangers (3-0)

ATM ‘A’ mng NR ‘A’ (21-14, 21-13)

ATM ‘B’ mng NR ‘B’ (21-19, 19-21, 21-7)

ATM ‘C’ mng NR ‘C’ (21-16, 21-12)


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *