Pusingan Malaysia bagi AUTOBACS SUPER GT Series 2026 bakal menyaksikan gabungan unik jentera perlumbaan dan pelari dalam satu hujung minggu perlumbaan yang penuh aksi di Litar Antarabangsa Sepang Petronas.
Seiring dengan penganjuran perlumbaan GT500 dan GT300, iaitu kelas utama perlumbaan SUPER GT Jepun, HARO Sports & Entertainment Sdn Bhd selaku pemegang hak dan penganjur pusingan Malaysia SUPER GT bersama Alumni Look East Policy Society (ALEPS) telah mengumumkan penganjuran satu acara istimewa iaitu perlumbaan lari berganti-ganti tradisional Jepun pada waktu malam.
Dianjurkan oleh ALEPS, acara ALEPS Ekiden diinspirasikan daripada perlumbaan jarak jauh berganti-ganti Jepun yang dikenali sebagai “Ekiden”. ALEPS yang ditubuhkan pada tahun 1988 dianggotai oleh graduan Malaysia dari universiti dan kolej di Jepun, dan berperanan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta mempromosikan etika kerja dan budaya “Pandang Ke Timur”.
Penganjuran ALEPS Ekiden yang kini memasuki edisi ketiga di Malaysia telah menjadi acara ikonik bagi memupuk semangat kerja berpasukan, disiplin serta persahabatan berpanjangan antara Malaysia dan Jepun. Bagi tahun 2026, acara ini akan tampil dengan format larian malam yang dijadualkan berlangsung pada 20 Jun, sempena hujung minggu perlumbaan SUPER GT, bagi mewujudkan suasana eksklusif dan premium untuk peserta serta penonton.
Setiap pasukan akan terdiri daripada empat orang pelari, dengan setiap pelari melengkapkan jarak 5.543 kilometer, iaitu satu pusingan penuh Litar Antarabangsa Sepang Petronas, secara berganti-ganti. Para pelari akan membawa “Tasuki” (selempang relay) di atas permukaan asfalt bertaraf dunia Sepang dalam suhu yang lebih sejuk, dikelilingi suasana meriah bercahaya neon dan kehangatan acara sukan permotoran antarabangsa, sambil menikmati sambutan budaya Jepun menerusi SUPER GT Malaysia Festival.
“Penekanan Ekiden terhadap kerja berpasukan dan ketepatan mencerminkan standard profesional yang dapat dilihat di lorong pit sukan permotoran. Melalui kolaborasi ini serta sokongan berprestij Kedutaan Jepun, acara ini diharapkan dapat diwujudkan sebagai sebuah festival gaya hidup menyeluruh yang menggabungkan perlumbaan larian kompetitif dan sukan permotoran elit,” kata Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment, Fahrizal Hasan.
Kembalinya siri AUTOBACS SUPER GT ke Malaysia pada tahun 2025 telah menarik kehadiran luar jangkaan seramai 75,977 peminat dan penonton sepanjang hujung minggu perlumbaan selama dua hari.
Selain perlumbaan, SUPER GT Malaysia Festival turut dianjurkan sebagai sebuah karnival untuk peminat perlumbaan dan keluarga, menampilkan festival budaya dan makanan bertemakan Jepun, konsert pasca-perlumbaan GT Live, pameran automotif, autoshow serta jualan barangan rasmi. Pusingan Malaysia SUPER GT juga menyaksikan penganjuran sulung GR86 Cup Malaysia Series dan Pusingan 2 GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge, perlumbaan satu model.
“Tarikan-tarikan ini akan terus menjadi nadi kepada sambutan sepanjang hujung minggu perlumbaan, di samping pelbagai lagi aktiviti baharu yang sedang dimuktamadkan bagi menjadikan SUPER GT Malaysia Festival tahun ini lebih besar dan lebih mengujakan,” tambahnya.
SUPER GT Malaysia Festival 2026 dianjurkan sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.

