KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan (FTAA/POWP) dengan bangganya mengumumkan penganjuran larian Kuala Lumpur Cross Country 2026 yang bakal berlangsung pada 5 Julai 2026 bertempat di Padang Merbok. Edisi kali ini tampil lebih bermakna dengan penyertaan istimewa seramai 50 kanak-kanak dari Kampung Orang Asli Batu 16, Gombak.
Inisiatif melibatkan komuniti Orang Asli ini diumumkan oleh Presiden FTAA, Datuk Seri Dr. V. Pulainthiran, sebagai langkah strategik persatuan untuk menjadikan sukan olahraga lebih inklusif dan merakyat. Penyertaan kumpulan pertama ini ditaja sepenuhnya oleh Kelab Rotary Hartamas.
Sukan Inklusif: Olahraga Untuk Semua
Datuk Seri Dr. V. Pulainthiran menegaskan bahawa FTAA komited untuk memberikan akses kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang.
“Olahraga adalah untuk semua. Kami mahu anak-anak Orang Asli merasai sendiri pengalaman menyertai kejohanan sukan yang teratur. FTAA sedia bekerjasama dengan lebih banyak organisasi bagi memastikan komuniti yang kurang mendapat pendedahan dapat terus diperkasakan melalui sukan,” ujar beliau.
Edisi Ke-41: Menggamit Nostalgia, Memacu Kecergasan
Mula diperkenalkan pada tahun 1985 sebagai Go For It FTKLAA Cross Country, acara ini merupakan antara larian tertua di Malaysia yang masih bertahan sehingga kini. Bagi meraikan kematangan penganjurannya, FTAA memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Veteran Lelaki dan Wanita bagi jarak 15km dan 10km untuk peserta berusia 40 tahun ke atas.
Sebanyak 13 kategori ditawarkan tahun ini bagi memenuhi profil pelari yang pelbagai:
-
15km (Jalan Raya): Terbuka (18+ tahun) & Veteran (40+ tahun).
-
10km (Merentas Desa): Terbuka (18+ tahun) & Veteran (40+ tahun).
-
7km (Merentas Desa): Remaja (13–17 tahun).
-
3km (Merentas Desa): Kanak-kanak sekolah rendah (9–12 tahun).
-
5km (Fun Run): Terbuka kepada semua.
Sokongan Padu Penaja dan Komuniti
STM Lottery (Sports Toto) kembali menggalas tanggungjawab sebagai penaja utama buat kali kelapan sejak 2018. Pengurus Besar Komunikasi dan Kelestariannya, Giam Say Khoon, menyatakan komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan sukan akar umbi dan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kota.
Setakat ini, larian ini telah merekodkan pendaftaran yang amat memberangsangkan. Dengan 1,150 pendaftaran awal (tidak termasuk 500 penyertaan dari STM Lottery), pihak penganjur menjangkakan jumlah keseluruhan bakal mencecah lebih 3,000 peserta, sekali gus menghampiri sasaran awal 3,500 pelari.
Butiran Acara:
-
Tarikh: 5 Julai 2026 (Ahad)
-
Masa: 6:00 Pagi
-
Lokasi: Padang Merbok, Kuala Lumpur (Laluan melalui Bukit Tunku & Taman Tugu)
-
Penganjur: FTAA dengan kerjasama Kita Pelari Malaysia & DBKL
Larian Merentas Desa Kuala Lumpur 2026 bukan sekadar perlumbaan fizikal, malah ia merupakan platform untuk menikmati kehijauan bandar raya sambil mengeratkan silaturahim komuniti. Pihak penganjur mengalu-alukan penyertaan daripada semua individu, keluarga, dan atlet berpengalaman.
