Lebih 400 pelumba kereta dan superbike akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-67 dengan aksi di dalam litar hujung minggu ini (31 Ogos-1 September 2024) sempena Perlumbaan Merdeka Malaysia Speed Festival yang dipacu oleh PETRONAS Primax di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.
Aksi perlumbaan hujung minggu bermula pada malam Sabtu (31 Ogos 2024) dengan MSF MegaLap Time Attack dari 7 malam hingga 11 malam untuk menobatkan juara yang berjaya menawan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang dengan masa yang terpantas.
Aksi di dalam litar bersambung pada hari Ahad (1 September 2024) yang akan menyaksikan perlumbaan bermula dengan acara MSF Superbikes yang merangkumi 12 pusingan melibatkan enam kelas perlumbaan dengan lebih 70 pelumba. Ini akan diikuti dengan Piala MSF Saga Merdeka 75 iaitu perlumbaan “mini enduro” selama 75 minit dengan dua pemandu bagi setiap kereta.
Kemuncak hujung minggu ialah Perlumbaan Merdeka – yang diadakan secara tradisinya sempena memperingati hari kebangsaan – iaitu perlumbaan endurance atau jangkamasa panjang melibatkan 340 pelumba dan 170 kereta yang akan bertarung di dalam 6 kelas perlumbaan berbeza melibatkan 99 pusingan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang yang berjarak 5.543km.
“Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan kolaborasi bersama PETRONAS yang dipacu oleh PETRONAS Primax di dalam Perlumbaan Merdeka tahun ini. Perlumbaan Merdeka telah berkembang menjadi salah satu acara tahunan yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar perlumbaan tempatan untuk peminat kerana kepelbagaian kelas perlumbaan yang ditawarkan. Dengan sokongan Petronas, kami berharap dapat meningkatkan lagi pengalaman dan keterujaan ini untuk para peserta dan peminat perlumbaan bergerak ke hadapan,” kata Pengasas MSF Adian Yein Khalid.
Enam kelas perlumbaan yang dipertandingkan dalam Perlumbaan Merdeka termasuk: Rennplatz Standard Production; Rennplatz Standard Production Max; Vision HKS Super Touring; Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup; Super 1800; and MSF Super Production. Secara keseluruhan sejumlah RM50,000 berbentuk hadiah wang tunai disediakan untuk dimenangi tiga pemenang teratas dalam kesemua enam kelas perlumbaan.
Kelas Rennplatz Standard Production dan Rennplatz Standard Production Max akan menawarkan hadiah wang tunai yang paling lumayan dengan juara berpeluang memenangi wang tunai RM6,200 manakala RM2,950 dan RM1,850 diperuntukkan bagi pemenang tempat kedua dan ketiga.
Juara kategori Vision HKS Super Touring dan Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup, akan menerima habuan wang tunai berjumlah RM5,700. Sebanyak RM2,950 dan RM1,850 akan menjadi milik pemenang tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, juara, tempat kedua dan ketiga kelas MSF Super 1800 dan MSF Super Production akan menerima RM4,200 dan RM1,750 dan RM1,050.
Buat pertama kalinya, hadiah wang berjumlah RM1,000 untuk juara dan RM300 dan RM200 masing-masing untuk pemenang tempat kedua dan ketiga, juga akan ditawarkan kepada pemenang dalam perlumbaan MSF Superbikes. Enam kelas perlumbaan dua roda termasuk: Super Rookie; GP X; GP Pro; GP Masters; All-Stars; dan Super Sport.
Untuk MSF MegaLap Time Attack pada hari Sabtu (31 Ogos 2024), pas akses paddock berharga RM20 dan boleh didapati dari Paddock Trek Selatan. Acara bermula pada pukul 7 malam hingga 11 malam.
Untuk perlumbaan pada Ahad (1 September 2024), pintu akan dibuka bermula jam 3 petang dan pas akses Paddock Trek Utara dijual pada harga RM35 manakala caj parkir adalah RM10. Pas boleh diperolehi di pintu masuk ke Trek Utara pada hari perlumbaan. Kemasukan ke grandstand utama untuk penonton pada kedua-dua hari adalah percuma.