Petaling Jaya, 9 Ogos 2022 – Berita gembira buat peminat bola sepak tempatan kerana TV9 akan menyajikan aksi Liga Super Malaysia ke kaca televisyen anda!
Persaingan Liga Super Malaysia kini berada di pertengahan musim. Memasuki hari perlawanan ke-15, TV9 akan membawa perlawanan antara Terengganu FC yang akan menerima kunjungan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT). Perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada hari Rabu, 10 Ogos, jam 8:45 malam. Saksikan barisan pemain bintang JDT seperti Bergson, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi, serta pemain-pemain hebat Terengganu seperti Kpah Sherman, Kipré Tchétché dan Faisal Halim.
“Sebagai peminat tegar bola sepak tempatan, saya cukup teruja dengan perkembangan ini, di mana TV9 akan menyiarkan kandungan sukan yang menarik dan terkini. Kami akan terus memberi ruangan kepada penggemar bola sepak dan rakyat Malaysia untuk menonton sukan kegemaran mereka di TV9 sebagaimana yang telah dijanjikan. Marilah kita bersama-sama memberi semangat demi bola sepak tanah air dan memeriahkan lagi Liga Super Malaysia yang akan ditayangkan di TV9.” kata Dato’ Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima.
Menurut Hanif Miswan, pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), penyampai radio Buletin FM dan pengacara serta pengulas bola sepak Liga Super Malaysia, “Walaupun Liga Super Malaysia sudah berada di pertengahan musim, saya cukup gembira apabila TV9 akan menyiarkan perlawanan-perlawanan yang akan datang. Aksi bola sepak tempatan lebih mudah ditonton, jadi saya sangat teruja untuk menonton sukan kegemaran ramai ini bersama-sama penonton di TV9. Jangan lupa untuk memberi sokongan kepada kesemua pasukan yang bersaing di Liga Super Malaysia!”
Penyiar Rasmi Liga Super Malaysia – unifi TV, telah mengambil langkah untuk memanjangkan hak penyiaran ini ke TV9, demi para peminat bola sepak tempatan. Mengulas mengenai hal ini, Ketua Pegawai Komersial Telekom Malaysia Berhad (TM), Anand Vijayan berkata, “Bola sepak adalah salah satu sukan utama dan mendapat tempat di hati ramai peminat sukan. Kerjasama terbaharu yang dijalinkan bersama TV9 membolehkan Liga Super Malaysia ditonton oleh lebih ramai penyokong sukan ini. Selain daripada dapat menonton perlawanan-perlawanan ini melalui saluran unifi Sports, aplikasi unifi PlayTV dan saluran YouTube unifi, Liga Super Malaysia kini bersiaran di TV9 dan kami berharap para peminat dapat menikmati perlawanan-perlawanan ini sebaik mungkin bagi menyemarakkan lagi bola sepak tempatan.”
Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan berkata: “Hubungan sukan bola sepak dengan syarikat televisyen tempatan sentiasa memiliki hubungan cukup istimewa sejak daripada zaman dahulu lagi. Sudah pasti MFL mengalu-alukan kedatangan TV9 sebagai Rakan Penyiar siaran langsung Liga Malaysia pada tahun ini. Apa yang MFL harapkan sokongan teguh daripada penaja, penyokong dan rakan penyiar akan terus memberikan nilai-nilai kepada Liga Malaysia di mana Liga Malaysia adalah liga kita bersama.”
TV9 memulakan siaran Liga Super 2022 dengan perlawanan di antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim pada hari Rabu, 10 Ogos, 8:45 malam, diikuti dengan perlawanan Kuala Lumpur City FC lawan Negeri Sembilan FC pada hari Khamis, 18 Ogos, 8:00 malam, manakala perlawanan-perlawanan sengit seterusnya yang melibatkan pasukan kegemaran anda akan diumumkan melalui media sosial TV9.
Pastikan anda bersama-sama memberikan sokongan padu kepada pasukan-pasukan kegemaran anda yang disiarkan di TV9! Pasukan mana yang akan menjulang trofi Liga Super Malaysia musim ini?
Jangan lepaskan segala maklumat terkini tentang perlawanan mendebarkan sepanjang Liga Super berlangsung! Ikuti media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial dan layari http://www.xtra.com.my/ untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV9.