(SUKAN) VIOS CHALLENGE 2025 (PUSINGAN 4) PERLUMBAAN 1

Spread the love

SEPANG, 9 JANUARI 2026 — Aksi di litar mencapai tahap paling mendebarkan apabila perlumbaan pertama daripada dua perlumbaan penutup musim Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge menyaksikan calon ‘kuda hitam’ mengatasi pilihan utama kejuaraan keseluruhan, sekali gus menjadikan perebutan gelaran masih terbuka luas.

Dengan hanya satu perlumbaan terakhir berbaki dan hadiah wang tunai berjumlah RM300,000 menjadi taruhan, juara keseluruhan bagi Kelas Super Sporting, Sporting dan Rookie hanya akan ditentukan selepas bendera penamat dikibarkan esok (10 Januari). Litar South Track sepanjang 2.609km di Litar Antarabangsa Petronas Sepang yang digunakan buat pertama kali dalam Vios Challenge, terbukti lebih teknikal, taktikal dan mencabar untuk semua pemandu.

KELAS SUPER SPORTING

Dalam Kelas Super Sporting elit, Ady Rahimy dari Laser Motor Racing mengetuai perlumbaan dari petak utama untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama, 1.4 saat di hadapan William Ho (Toyotsu Racing), manakala Amer Harris yang mewakili KMS 333 Motorsports melengkapkan kedudukan tiga teratas.

Ady membuat permulaan cemerlang dengan mendahului ke selekoh pertama perlumbaan 30 minit itu, dan pada kemuncaknya berjaya melebarkan jurang pendahuluan sehingga 5.4 saat ke atas Ho menjelang pusingan ke-15. Namun, kelebihan tersebut berkurangan dengan pantas apabila kereta keselamatan dikerahkan pada pusingan ke-16, dengan baki 8 minit perlumbaan untuk mengalihkan kereta Vios milik Kenneth Koh (PCM Group Racing Team) yang terhenti di atas litar.

“Amat menggembirakan untuk kembali ke podium kemenangan selepas musim yang sangat mencabar buat saya. Walaupun saya tidak lagi bersaing untuk kejuaraan keseluruhan, kemenangan ini amat penting untuk mengukuhkan kedudukan saya di tempat ketiga keseluruhan,” kata Ady, yang sebelum ini berdepan masalah kesihatan pada Pusingan 2 serta tayar pancit pada Pusingan 3 yang menamatkan peluangnya lebih awal dalam perebutan gelaran keseluruhan 2025.

Dengan hanya beberapa mata memisahkan Freddie Ang (Telagamas Toyota) dan Mitchell Cheah (Team Prima Pearl SP Selatan) dalam perebutan gelaran juara keseluruhan Musim 8, Ang terpaksa berpuas hati di tempat kelima manakala Cheah menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh. Ang melalui perlumbaan yang getir dengan pertukaran kedudukan beberapa kali bersama Koh sebelum menerima tekanan daripada Amer dan Nabil Azlan (Wheelcorp). Koh kemudiannya menarik diri, manakala Amer yang berada di tempat keempat berjaya memintas Ang pada peringkat akhir perlumbaan dan seterusnya memintas Bradley Benedict (PS Otomobil) untuk meraih tempat ketiga pada pusingan terakhir.

Pemenang keseluruhan Kelas Super Sporting akan menerima RM80,000, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan membawa pulang RM60,000 dan RM40,000.

KELAS SPORTING

Bintang remaja dan bekas juara Rookie Toyota GAZOO Racing Malaysia, Adam Mikail, mempamerkan perlumbaan penuh aksi dalam Kelas Sporting (amatur) untuk menjuarai perlumbaan 30 minit, 3.3 saat di hadapan pencabar terdekatnya.

Pemandu G-Mart Motorsport itu bermula dari petak kedua sebelum memecut ke hadapan, dengan Nick THZ (Motul by Awesome Racing Team) dan Taj Izrin Aiman (Saksama Motorsports) mengekori rapat. Enam pusingan awal menyaksikan pertarungan sengit antara Adam dan Nick dengan beberapa detik cemas serta pertukaran kedudukan, namun Adam kekal tenang untuk mempertahankan pendahuluan tipis. Taj menamatkan perlumbaan di tempat ketiga tetapi dikenakan penalti, sekali gus menaikkan Ng Khai EE (HLT Crestmax Motorsports) ke podium.

“Ia perlumbaan yang sangat mencabar, terutamanya dengan Nick yang sama pantas dan defensif. Detik paling bermakna tentunya apabila berjaya melintasi garisan penamat di tempat pertama,” kata Adam.

Sementara itu, bekas pemandu Rookie Jwan Hii, yang berada di landasan kukuh untuk menjuarai gelaran keseluruhan, menamatkan perlumbaan di tempat keempat untuk Hong Huat X Armada KK Racing dan akan memulakan Perlumbaan 2 dari barisan kedua grid.

KELAS ROOKIE

Walaupun tumpuan terarah kepada Rahul Dev dan Ian James yang hanya dipisahkan 4 mata (masing-masing 147 dan 143 mata) dalam perebutan gelaran keseluruhan Rookie, Harkiesh Geeva tampil mengejutkan dengan menjuarai Perlumbaan 1.

Harkiesh menamatkan perlumbaan hanya satu saat di hadapan Rahul, manakala Aydan Khaliq berada di tempat ketiga. Keputusan tersebut menjadikan gelaran keseluruhan Rookie kini kembali terbuka secara matematik kepada empat pemandu teratas. James gagal memanfaatkan Perlumbaan 1 dan menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam kalangan Rookie, di belakang Genevieve Ooi.

PERLUMBAAN VIOS CLASSIC

Dalam Perlumbaan 1 edisi sulung Vios Classic Race, gandingan Thailand Surasak Dakeng dan Varunchit Wattanathanakun dari RUK Team Nexzter PMC 52 memacu Vios generasi kedua mereka untuk menjuarai acara 1 jam tersebut, namun kemudiannya dikenakan penalti dan terpaksa berpuas hati di tempat keempat.

Keputusan itu menaikkan Alister Yoong dan Aman Nagdev (Axle Sports) ke tempat pertama, diikuti Lim Yoong Kit dan Kenneth Koh di tempat kedua, serta Loke Yin Yi dan Kenny Lee (Kegani Racing Academy) di tempat ketiga.

Siri Vios Classic Race menampilkan semula generasi terdahulu kereta perlumbaan Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge. Perlumbaan ini membenarkan sehingga dua pemandu untuk berkongsi sebuah kereta, dengan hentian pit wajib selama 2 minit. Kereta kekal dalam spesifikasi standard kilang tanpa sebarang pengubahsuaian bagi memastikan perlumbaan yang adil dan sengit. Perlumbaan 2 akan menggunakan format grid terbalik, di mana pemenang akan bermula dari tempat keenam.

Pemenang setiap perlumbaan akan menerima RM10,000, diikuti RM8,000 untuk tempat kedua dan RM6,000 bagi tempat ketiga. Pemandu di tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima RM4,000 dan RM2,000.

Jangan lepaskan Perlumbaan Akhir (Perlumbaan 2) Vios Challenge Musim 8! Ikuti semua aksi menerusi saluran media sosial Toyota GAZOO Racing Malaysia untuk kemas kini langsung, sorotan perlumbaan dan kandungan di sebalik tabir:

  • Facebook: facebook.com/tgrmy
  • Instagram: instagram.com/tgrmalaysia
  • YouTube: youtube.com/@tgrmalaysia

Untuk maklumat lanjut mengenai jadual perlumbaan, butiran pemandu dan kemas kini terkini, layari:
www.toyota.com.my/en/tgrmalaysia

KEPUTUSAN KESELURUHAN – PERLUMBAAN 1

SUPER SPORTING

  1. Ady Rahimy — Laser Motor Racing
  2. William Ho — Toyotsu Racing
  3. Amer Harris — KMS 333 Motorsports

SPORTING

  1. Adam Mikail — G-Mart Motorsport
  2. Nick THZ — Motul by Awesome Racing Team
  3. Ng Khai EE — HLT Crestmax Motorsports

ROOKIE

  1. Harkiesh Geeva
  2. Justin Rahul Dev
  3. Aydan Khaliq

VIOS CLASSIC RACE

  1. Alister Yoong / Aman Nagdev — Axle Sports
  2. Lim Yoong Kit / Kenneth Koh
  3. Loke Yin Yi / Kenny Lee — Kegani Racing Academy


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *