VIPER NIZA RACING MALAYSIA SERTAI MICHELIN 12 JAM SPA FRANCORCHAMPS

Spread the love

Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia memulakan kempen perlumbaan ketahanan Eropah mereka hujung minggu ini (18-20 April 2025) dengan penyertaan dalam perlumbaan Michelin 12 Jam Spa Francorchamps di Belgium.

Krew sepenuhnya dari Malaysia yang diketuai oleh pelumba Douglas Khoo, Dominic Ang dan Melvin Moh telah mendaftar dalam kelas GT3/AM dan akan mengemudi Mercedes-AMG GT3 Evo dalam perlumbaan yang menyaksikan sekurang-kurangnya 10 pengeluar kereta berbeza dan 40 buah kereta daripada lima kelas utama bersaing. Dalam kelas mereka, Mercedes-AMG GT3 Evo milik Viper Niza Racing akan bersaing dengan jentera seperti Lamborghini Huracan GT3 Evo, Audi R8 LMS GT3 Evo II, dan Aston Martin Vantage AMR GT3 Evo.

Litar Spa Francorchamps merupakan antara litar paling bersejarah dalam perlumbaan antarabangsa dan juga terkenal sebagai salah satu litar berkelajuan tinggi di dunia dengan panjang keseluruhan 7.004km dan mempunyai 19 selekoh. Ia juga terkenal dengan keadaan cuaca yang sangat tidak menentu. Litar ini mula digunakan sebagai litar sepanjang 14.1km pada tahun 1925 sebelum dipendekkan kepada panjang semasa atas sebab keselamatan pada tahun 1979, dan sejak itu telah menjadi tuan rumah kepada Grand Prix Formula Satu Belgium setiap tahun (kecuali pada tahun 2003 dan 2006).

Walaupun terkenal dengan reputasi mencabarnya, litar ini menyimpan kenangan manis buat pasukan Viper Niza Racing. Ketiga-tiga pelumba pernah mencipta kejayaan dengan menjuarai kelas PRO/AM dalam perlumbaan sulung TCR SPA500 (500 pusingan) pada tahun 2019, memandu Seat Cupra TCR DSG, pada kunjungan pertama mereka ke Spa Francorchamps.

Spa Francorchamps mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam hati kami – ia sememangnya litar yang sangat mencabar dengan ciri-ciri berkelajuan tinggi dan cuaca yang berubah-ubah, tetapi ia juga merupakan lokasi kepada salah satu pencapaian terbaik kami dalam perlumbaan antarabangsa. Kembali ke sini dalam jentera GT3 yang lebih berkuasa tahun ini sudah tentu memberikan cabaran baru, tetapi krew dan pelumba tetap fokus dan optimistik. Berdasarkan pengalaman lepas dalam perlumbaan ketahanan, matlamat utama adalah untuk menamatkan perlumbaan, dan berdiri di atas podium akan menjadi bonus yang sangat manis,” kata pelumba utama dan Prinsipal Pasukan, Khoo.

“Tahun 2025 menandakan tahun ketiga kami bersaing dalam kelas GT3 dengan dua jentera yang berbeza. Ia merupakan satu proses pembelajaran yang curam dalam kelas perlumbaan yang sangat kompetitif, sudah tentu dengan insiden dan kekecewaan tersendiri, namun kami semakin menunjukkan kemajuan. Pakej baharu untuk 2025 lebih kompetitif, dan kami nampaknya semakin serasi dengannya serta yakin ini akan membawa kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.”

Keyakinan pasukan untuk hujung minggu ini turut dipacu oleh kemenangan terbaru mereka dalam kelas GT AM Masters serta tempat kedua dalam kelas GT AM di perlumbaan Motul 12 Jam Sepang. Bagi pelumba Ang pula, perlumbaan di Spa Francorchamps menandakan tugasan pemanduan berturut-turut, selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 keseluruhan dan tempat ke-4 kelas SIL/AM dalam GT World Challenge Asia di Sepang minggu lalu.

Selepas Spa Francorchamps, Viper Niza Racing akan meneruskan cabaran ke:

  • 12 Jam Misano di Itali (23-24 Mei)

  • 12 Jam Paul Ricard di Perancis (3-5 Julai)

  • 24 Jam Barcelona di Sepanyol (26-28 September)

  • Shanghai 8 Jam pada Oktober

Viper Niza Racing terus mendapat sokongan daripada Motul untuk tahun 2025, dengan penaja lain termasuk Endless & Momentum Autoparts; IWC sebagai Jenama Jam Rasmi; dan Hotel Jen Orchard Gateway di Singapura.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *