Tiada siapa yang mampu menyangkal bahawa rancangan realiti siri pertandingan nyanyian yang terkenal di seluruh dunia, American Idol telah berjaya mencipta ramai penyanyi hebat. Antaranya Kelly Clarkson yang telah 3 kali memenangi anugerah Grammy dan Philip Philips yang mempunyai lagu single hit terlaris berjudul “Home.” Ternyata produk yang dihasilkan siri berjaya mendapat tempat di industri muzik di seluruh dunia. Lantas ntv7 kini menyiarkan rancangan American Idol musim ke-13 buat tontonan rakyat Malaysia bermula 22 Mac lalu dan akan bersiaran setiap hari Sabtu, jam 8.30 malam.
Musim terkini membariskan barisan juri selebriti – Keith Urban, Jennifer Lopez dan Harry Connick Jr. – manakala juri tetap Randy Jackson akan memegang tanggungjawab baru di sebalik tabir sebagai mentor para peserta dan Ryan Seacrest meneruskan tugasnya sebagai pengacara rancangan ini.
Saluran ntv7 yang sentiasa memberikan variasi rancangan hiburan terbaik buat para penontonnya menyiarkan rancangan American Idol buat kali pertama yang kini telah masuk musim ke-13 yakin bahawa rancangan seperti ini mampu memberi kepelbagaian dalam barisan kandungan saluran itu tahun ini.
“Kami amat teruja untuk membawakan rancangan realiti nyanyian popular Amerika ini kepada para penonton untuk melihat gabungan juri baharu yang pastinya memberikan respon dinamik selain menghiburkan dan mempesonakan para penonton dengan vokal para peserta musim ini”, kata Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV.
“Kami amat yakin dengan rancangan ini kerana kami percaya bahawa para penonton dan peminat-peminat American Idol tidak jemu untuk merasai pengalaman para peserta bermula dari sesi ujibakat sehingga pemenang musim ini diketahui. Siapa yang tidak ingin menjadi sebahagian daripada perjalanan para peserta ini yang bakal menjadi bintang berjaya suatu hari nanti?” tambah Airin.
Apa yang berbeza dalam musim ini ialah kombinasi tiga nama besar dalam industri muzik; Jennifer Lopez, Keith Urban dan Harry Connick Jr. dipertemukan untuk menjadi mentor dan pengkritik kepada para peserta. Harry menyertai panel juri itu dengan pengalaman besarnya dalam bidang muzik. Datang dari New Orleans, Harry memulakan kerjaya seawal umur 5 tahun dan terus membuktikan kebolehannya apabila telah memenangi Anugerah Grammy sebanyak tiga kali, Primetime Emmy Awards sebanyak dua kali dan pelbagai pencalonan di Tony Awards.
Manakala bintang sensasi Jennifer Lopez (75 juta rekod terjual di seluruh negara dan dinobatkan No. 1 oleh Forbes sebagai Most Powerful Celebrity in the World pada tahun 2012) dan Keith Urban (pemenang empat kali anugerah Grammy award dan lima anugerah daripada Academy of Country Music Awards) ternyata bukan panel amatur bagi American Idol. Ternyata kehadiran Harry musim ini dengan personaliti lantang dan tegas pastinya memberikan jalan sukar buat para peserta.
“Apabila American Idol menawarkan saya selaku mentor beberapa tahun lalu, saya rasa seperti tawaran yang sesuai dan semulajadi dengan diri saya. Kemudian mereka menghubungi dan bertanya sama ada saya ingin menjadi juri. Menjadi juri berbeza daripada menjadi seorang mentor kerana saya tidak begitu tertakluk kepada interaksi sebagai mentor tetapi memerlukan saya berkongsi pandangan dengan lebih ramai orang dan membantu mereka memperbaiki mutu bakat mereka”, terang Harry.
Harry berjaya menjadikan musim ini lebih bermakna dan berkredibiliti dengan pandangan dan kritiknya yang membina selain personalitinya yang nakal dan ceria. Malah sikap spontan Harry mendapat perhatian daripada peserta musim itu yang mengakui sebagai peminatnya sejak dari kecil.
Tahun ini terdapat beberapa perubahan yang dilakukan oleh penerbitnya untuk menambah elemen kejutan untuk sentiasa kekal segar dan relevan kepada para penonton. Antaranya ialah dengan persembahan spontan yang harus dilakukan peserta. Malah rendisi senarai lagu juga disuntik susunan muzik baru untuk disesuaikan peserta muda yang mungkin kurang biasa dengan lagu-lagu lama.
Impak rancangan American Idol terhadap industri hiburan dunia bukan sahaja menerusi kaca televisyen malah berjaya membawa generasi baru bersatu dalam mempamerkan bakat dan kebolehan mereka untuk dijadikan bintang seterusnya. Setiap musim sentiasa dilihat mendapat respon baik menerusi penyertaan para peserta. Musim ini sesi ujibakat akan membawa para juri untuk ke beberapa lokasi seperti Atlanta, Austin, Boston, Detroit, Omaha, Salt Lake City dan San Francisco.
Seperti biasa, barisan panel akan memberikan komen membina dan pedas bagi memastikan perkembangan setiap peserta namun rakyat Amerika bakal menentukan nasib para peserta ini. Tonton American Idol musim ke-13 setiap hari Sabtu jam 8.30 malam di Saluran Ceria Anda, ntv7.
Maklumat lanjut layari www.ntv7.com.my