(HIBURAN) ASTRO RIA LANCAR PROGRAM REALITI “AWAK KAT MANA”

Spread the love

SAM_7829

Bagi mencapai matlamat untuk mengukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju utama kandungan dalam dunia penyiaran, pihak Astro Ria dengan berbesar hati membawakan sebuah lagi program realiti terbaru yang menggabungkan konsep permainan dan diari kembara ke pelbagai destinasi menarik di serata Eropah iaitu Awak Kat Mana khusus buat tontonan seisi keluarga. Program 13 buah episod ini akan ditayangkan pada setiap hari Khamis, jam 9.30 malam bermula 13 Ogos 2015 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan siaran serentak di Ria HD (123). SAM_7756

Bakal dikendalikan sepenuhnya oleh selebriti popular iaitu Nabila Huda Suhaimi selaku pengacara, program Awak Kat Mana ini turut menampilkan 26 selebriti tanah air yang akan dibahagikan kepada 13 buah kumpulan yang mana setiap kumpulan terdiri daripada dua peserta. Uniknya lagi, kesemua mereka cuma hanya akan mengetahui siapakah pasangan mereka dan destinasi yang bakal dituju setibanya mereka di lapangan terbang. Lebih menarik lagi adalah apabila setiap pasangan selebriti akan mengunjungi destinasi yang berlainan pada setiap episod.

Awak Kat Mana yang akan bersiaran selama 30 minit bagi setiap episod ini bakal menyaksikan Nabila Huda membawa penonton mengembara ke 13 buah destinasi menarik di serata Eropah iaitu Bucharest, Brussel, Paris, Bordeaux, Barcelona, Milan, Venice, Zagreb, Budapest, Vienna, Bratislava, Munich dan Frankfurt.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, “Setelah sekian lama menyajikan penonton dengan pelbagai program berbentuk hiburan, kami membuat keputusan untuk menambah lagi pilihan rancangan sedia ada dengan sebuah lagi program hiburan berbentuk permainan dan diari kembara yang bukan sahaja menguji tahap ketahanan mental dan fizikal barisan selebriti menerusi pelbagai siri cabaran yang menyeronokkan, tetapi dalam masa yang sama turut menonjolkan keindahan serta keunikan pelbagai destinasi percutian menarik di serata Eropah.

Sebanyak 13 buah destinasi menarik telah kami terokai untuk dikongsi bersama para penonton. Saksikan keunikan setiap destinasi yang mempunyai keindahan berbeza yang begitu menakjubkan dan mempesonakan. Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada penonton untuk mendapatkan sedikit sebanyak gambaran sebenar destinasi yang telah dilawati ini.

Selain dari itu, kami turut menjangkakan program ini bakal mencetuskan fenomena baru sekaligus dapat menawan hati para penonton kerana formatnya yang unik dan menghiburkan. Awak Kat Mana sangat sesuai untuk ditonton seisi keluarga.

Pemilihan Nabila Huda sebagai pengacara juga dilihat amat bersesuaian berdasarkan kepada karektor beliau yang lincah dan bersahaja, menepati konsep program ini. Kami percaya Nabila mampu mengacarakan program ini dengan sentuhan dan gayanya yang tersendiri sekaligus memikat hati para penonton untuk terus melekat di kaca televisyen.”

26 selebriti yang bakal terlibat dengan program Awak Kat Mana terdiri daripada 10 selebriti perempuan iaitu Sharifah Sakinah, Sherry Al Hadad, Anzalna Nasir, Elfira Loy, Raja Ilya, Ieda Moin, Adeline Tsen, Chacha Maembong, Nad Zainal, Sherry Ibrahim serta 16 selebriti lelaki iaitu Iqram Dinzly, Atu Zero, Syed Ali, Izzue Islam, Zalif Sidek, Alam Wakaka, Farish Aziz, Rahmat Mega, Syazwan Zulkifly, Fattah Amin, Aedy Ashraf, Nabil Mahir, Syahrul Ridzuan, Saiful Zero, Nas-T, Harris Baba.

Raqim turut menambah, ”Proses pemilihan setiap barisan selebriti terlibat ini juga telah dilakukan dengan mengambil kira banyak elemen-elemen penting yang mana antaranya termasuklah kekuatan fizikal dan mental untuk mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.

Ini adalah penting bagi memastikan produksi kami berjaya mengumpulkan sekumpulan selebriti yang menarik dan pastinya mempunyai nilai-nilai komersial untuk menambat hati para penonton supaya terus melekat di kaca televisyen. Kami juga gembira dan berterima kasih dengan komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh barisan selebriti yang terlibat untuk menjayakan program ini.

Saya mewakili pihak Astro Ria secara jujurnya berasa amat teruja dan tidak sabar untuk mengikuti perjalanan kesemua selebriti ini dalam menyahut cabaran bagi mengatasi kelemahan di samping saling melengkapi kekuatan diri masing-masing sebagai sebuah pasangan untuk menyelesaikan cabaran yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan.”

Setelah pasangan selebriti tiba di destinasi yang ditetapkan, mereka akan diberikan sebuah kotak yang mengandungi sekeping kad kredit yang berjumlah RM10,000.00, seutas jam randik atau ‘stopwatch’ dan sekeping kad cabaran. Mereka dibenarkan untuk menggunakan kad kredit tersebut untuk membeli sebarang makanan, minuman, pengangkutan, perkhidmatan internet ataupun untuk mendapatkan petunjuk bagi menyelesaikan cabaran yang diberi.

Menerusi program Awak Kat Mana, setiap pasangan selebriti berpeluang untuk memenangi ganjaran yang bernilai RM10,000.00 dengan syarat mereka tidak boleh membelanjakan lebih dari jumlah kredit yang telah diperuntukkan kepada mereka. Lebih banyak mereka berjimat, lebih besar jumlah wang yang boleh dibawa pulang.

Cabaran tersebut perlu diselesaikan dalam tempoh masa 5 jam yang mana mereka perlu mencari barang misteri yang telah ditetapkan. Jika mereka tidak berjaya menyelesaikan cabaran yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan, mereka tidak akan dapat membawa pulang sebarang ganjaran.

Jangan lupa temujanji anda untuk menonton program Awak Kat Mana pada pada setiap hari Khamis, jam 9.30 malam bermula 13 Ogos 2015 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan siaran serentak di Ria HD (123).


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *