(HIBURAN) ASTRO SHAW TEMUKAN SYAFIQ KYLE & BETO KUSYAIRY BUAT PERTAMA KALI DI LAYAR PERAK DALAM  ‘HAK: TUNTUT ATAU TUNDUK’

Spread the love

Petaling Jaya, 21 Mei 2026 – Meneruskan komitmen dalam menghasilkan cerita yang berani, Astro Shaw kembali dengan filem terbaharu, HAK: Tuntut Atau Tunduk, sebuah drama aksi yang mengangkat realiti kehidupan masa kini, dengan kisah tekanan ekonomi yang semakin meningkat, perjuangan untuk terus bertahan, serta pilihan sukar yang terpaksa dibuat apabila terdesak.

Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama Enotech Pictures dan Icon Pictures, serta rakan strategik Etika Sdn Bhd menerusi jenama 7UP dan Mirinda, filem ini dalam fasa produksi dan dijangka menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.

Naskhah ini mendapat sentuhan bakat-bakat kreatif tanah air seperti Ezrie Gazali yang sebelum ini mengarahkan filem Abah Saya Uncle Mike. Manakala, skripnya ditulis penulis terkemuka, Alfie Palermo yang menghasilkan siri premium One Cent Thief, berdasarkan idea asal Santharuban Thurai Sundaram.

Diperhebatkan lagi dengan barisan pelakon filem pecah panggung seperti Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy, HAK: Tuntut Atau Tunduk turut menampilkan Kodi Rasheed, Mimi Lana, Fadhli Masoot, Aziz M Osman, Radhi Khalid, Rubini Sambanthan, El Umar Mokhtar dan Dato Fizz Fairuz. Ini juga menyaksikan Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy bergandingan buat pertama kali di layar perak.

Penggambaran dijalankan di lokasi sekitar pasar awam dan komuniti pangsapuri di Lembah Klang, dan menjadikan HAK: Tuntut Atau Tunduk sebuah pengalaman sinematik yang segar, realistik dan dekat dengan kehidupan seharian masyarakat Malaysia.

Menurut Penerbit Eksekutif HAK: Tuntut Atau Tunduk merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Apa yang menjadikan projek ini lebih menarik adalah buat pertama kalinya, kita dapat menyaksikan dua bakat hebat tanah air, Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy bertembung dalam aksi kejar-mengejar seperti ‘musang memburu ayam’ yang mendebarkan. Penonton bakal melihat mereka bergandingan dalam satu filem bersama barisan pelakon dan pasukan kreatif yang hebat diterajui oleh Ezrie Gazali dan Alfie Palermo.

Kami juga amat berterima kasih kepada Etika, 7UP dan Mirinda atas kepercayaan mereka terhadap projek ini sejak dari awal. Kepercayaan berterusan mereka terhadap visi dan keupayaan kreatif kami, bersama sokongan serta kerjasama kukuh yang diberikan, memainkan peranan besar dalam merealisasikan filem ini.”

Penerbit Eksekutif HAK: Tuntut Atau Tunduk dan idea asal, Santharuban Thurai Sundaram berkata, “Idea cerita ini tercetus daripada pemerhatian terhadap perubahan landskap perniagaan semasa. Saya melihat semakin ramai rakyat tempatan melepaskan peluang dalam bidang perniagaan, sedangkan peluang dan ruang tersebut mula diambil serta dimanfaatkan oleh pekerja asing dan semakin berjaya membina serta mengembangkan perniagaan sendiri dalam pelbagai sektor.

Rentetan daripada itu, saya merasakan isu ini wajar diberi perhatian secara lebih positif dan terbuka. Harapan saya, filem ini dapat membuka mata masyarakat tentang pentingnya rakyat tempatan merebut peluang, membina pemilikan sendiri, dan memainkan peranan lebih besar dalam memajukan ekonomi negara serta komuniti kita sendiri.”

Amy Gan, Penerbit Eksekutif HAK: Tuntut Atau Tunduk dan Naib Presiden Pemasaran Etika berkata, “Di Etika, kami sentiasa percaya untuk mengambil pendekatan yang lebih berani, di mana jenama dan penceritaan dapat digabungkan secara bermakna. Kami teruja untuk terus mengukuhkan kerjasama berteraskan naratif bersama Astro Shaw dengan menyokong karya yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga mencerminkan realiti serta perbualan yang membentuk masyarakat hari ini.

Jenama 7UP dan Mirinda telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia, dengan hadir di ruang-ruang di mana masyarakat berkumpul, bekerja, makan dan berhubung. Menerusi HAK: Tuntut Atau Tunduk, kami melihat peluang untuk menyokong sebuah cerita yang mengetengahkan perbualan sosial yang sememangnya sedang berlaku di sekeliling kita; menyentuh aspek pekerjaan, maruah, pemilikan dan rasa kebersamaan, seterusnya menggalakkan refleksi serta perbincangan yang lebih bermakna.”

Filem ini mengisahkan seorang pegawai operasi yang bertugas di sebuah pasar awam, Hakim (Syafiq Kyle) yang terdesak mencari wang demi kelahiran anak sulungnya. Desakan itu mendorongnya untuk mengambil kesempatan terhadap komuniti sekeliling. Namun apabila dia menemui sebuah beg berisi sejumlah wang, hidupnya mula diburu pihak berbahaya yang sanggup mengancam nyawanya dan keluarga demi mendapatkan semula wang tersebut. Mampukah Hakim melindungi keluarga tersayang sebelum semuanya terlambat?

Dengan naratif yang kuat, pendekatan realistik dan barisan pelakon berkaliber, HAK: Tuntut Atau Tunduk dijangka menjadi antara filem tempatan paling dinanti.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *