“Ribbit” – sebuah cereka animasi 3D mengisahkan seekor katak yang mengalami krisis identiti telah memenangi anugerah “Filem Keluarga Terbaik” semasa tayangan perdana dunia di Niagara Integrated Film Festival (NIFF) 2014 yang berlangsung di Canada pada 21hb Jun 2014.
Filem Ribbit diarahkan oleh Chuck Powers menggunakan suara-suara artis terkenal Hollywood seperti Sean Astin (Lord of the Rings), Tim Curry (The Hunt for Red October) dan pelawak antarabangsa Russell Peters (Fast Food Nation) di mana rakaman suara telah dilakukan di Los Angelas, California. Pra produksi serta pasca produksi telah dijalankan sepenuhnya di Cyberjaya, Malaysia sementara produksi animasi telah dijalankan di Cyberjaya dan Mumbai, India. Segala proses rendering telah dilakukan di Hong Kong, China, sekali gus menjadikan “Ribbit” sebuah projek global yang berlatarbelakangkan hutan Amazon.
Filem ini sudah mendapat tempahan melebihi 80 buah negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Rusia, Jerman, Jepun, China, Korea Selatan dan kebanyakkan negara tersebut akan mengalih bahasa ke bahasa tempatan mereka. Malah, pengedar di Jerman telah mengesahkan edaran filem “Ribbit” sebanyak 250 skrin berbanding dengan edaran sebanyak 70 skrin di Malaysia dan Brunei; sekaligus menjanjikan prospek yang baik bagi “Ribbit” secara keseluruhan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Filem ini juga telah diadaptasikan ke dalam Bahasa Malaysia diarahkan oleh pengarah filem tempatan Mamat Khalid dan menampilkan suara-suara artis tempatan seperti Johan Raja Lawak, Elfira Loy, Awie, Datuk Aznil Hj Nawawi, Izzue Islam, AR Badul, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.
Peneraju utama dan strategis projek ini, Norman Abdul Halim sebagai Penerbit Eksekutif, juga selaku Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU berkata, “Kami amat berbesar hati dan teruja setelah menerima pengiktirafan dalam penglibatan pertama kami dalam arena animasi. Kami telah berkecimpung di dalam perniagaan industri hiburan sejak tahun 1992, walaubagaimanapun, menyedari bahawa cara terbaik untuk kami menembusi pasaran global adalah melalui filem-filem animasi dan rancangan televisyen. Bagi penghasilan filem “Ribbit,” kami telah mengumpulkan bakat-bakat hebat di rantau ini.”
Filem ini turut menampilkan dua buah lagu sebagai runut bunyi iaitu “Destiny” dan “Magical Moment” (bagi versi Bahasa Melayu, lagu yang sama dirakamkan semula dengan judul “Dikau Saja”). Penciptaan lagu “Destiny” menggabungkan dua bintang terkenal dari Amerika Syarikat, Supreme I-Self (Wu-Tang Clan) dan DJ Motiv8 (DJ rasmi Black Eyed Peas). Penggambaran klip video lagu ini telah dijalankan di Los Angeles dan kerja-kerja CGI & animasi dilakukan sepenuhnya di Malaysia. Bagi “Magical Moment” Jaclyn Victor telah digandingkan bersama kumpulan Az Yet, sebuah kumpulan R&B terkenal di era 90-an. Lagu ciptaan Edry Abdul Halim dan lirik oleh Shawn Rivera (Az Yet) ini merupakan detik permulaan perkenalan antara Jaclyn dan Shawn yang kini bergelar suami isteri. “Dikau Saja” dendangan kumpulan Forteen merupakan adaptasi lagu “Magical Moment” dalam Bahasa Melayu.
“Ribbit” menceritakan tentang seekor katak yang mengalami krisis identiti mengembara di hutan dalam pencarian halatuju hidupnya yang sebenar; menyedari bahawa menjadi seekor katak yang beracun adalah lebih baik dari menjadi seorang putera raja. Filem ini bakal menemui penonton pada 4hb September 2014 dan juga bakal diedarkan dalam format Stereoscopic 3D di pawagam-pawagam terpilih.
Dikesempatan ini, Kumpulan Syarikat KRU ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Multimedia Development Corporation (MDeC) diatas segala sokongan bagi menjayakan filem “Ribbit”.
Versi Bahasa Inggeris dibintangi :
Ribbit Sean Astin
Terrence Tim Curry
Deepak Russell Peters
Sandy Cherami Leigh
Marcella Amelia Henderson
Luciano Elza Irdalynna
Rafa Elza Irdalynna
Kai Sonny Franks
Ollie Sonny Franks
Jojo Christina Orow
Spider Kenny Dowle
Witch Doctor Valentine Cawley
Princess Heidi Schunover
Versi Bahasa Malaysia dibintangi :
Ribbit Johan Raja Lawak
Siti Elfira Loy
Kulup Awie
Mat Rompi Dato’ Aznil Hj Nawawi
Misya Misya The Glam Girls
Alia Alia The Glam Girls
Yati Yati The Glam Girls
Balan Adam AF
Milah Nuur Jihan Musa
Ollie Munir Phyne Ballers
Labah-Labah Izzue Islam
Dukun Istana One Forteen
Puteri Noorisnainy Ali
Suara Tambahan:
AR Badul, Sharifah Sakinah, Qasri, Hani Safia, Ariff Shah, Azhar Bin Ismail, Hapil Hanizan, Ahmad Faiz Muhammad, Syed Mustaza Al Jafree, Mohd Shawarni