(HIBURAN) Astro Ria turut umum secara rasmi barisan tenaga pengajar dan pengacara yang bakal menerajui Akademi Fantasia 2014

Spread the love

IMG_8423AF small

Pengumuman rasmi mengenai dua belas orang pelajar terpilih serta barisan tenaga pengajar dan pengacara program yang bakal terlibat dengan program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) telahpun diumumkan oleh pihak Astro.

Dua belas orang pelajar telah dikenal pasti menerusi sesi saringan pemilihan yang teliti adalah terdiri daripada enam orang pelajar lelaki iaitu AZWAN; [Azwan Satar, 30, Johor], EWAL; [Ikhwal Hafiz Ismail, 22, Perak], FIRMAN; [Mhd Firman Bansir, 25, Sabah], AMAN; [Mohd Razman Abd Aziz, 21, Melaka], ZARIF; [Muhd Zharif Mohd Kamil, 26, Johor] dan FAREZ; [Muhammad Fareezuan Adnan, 19, Kuala Lumpur]. 

 

Manakala enam orang lagi ialah pelajar perempuan iaitu ADEL; [Adeline Joyce Masidah, 21, Sabah], MUNA; [Muna Shahirah Munadi, 20, Johor], NINA; [Nina Nadira Naharuddin, 22, Selangor], ZIHA; [Nor Aziha Md Salleh, 20, Johor], NUHA; [Syamila Nuhair Zainordi, 21, Perak] dan WAWA; [Walfadhilah Suhaizat, 19, Selangor].

Menurut Ketua Saluran Hiburan Astro, Puan Azlin Reza Azmi, “Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, AF 2014 kembali dengan pengisian serba mantap dengan membawa masuk semula format asal program AF sewaktu mula diterbitkan pada tahun 2003.

Secara jujurnya, pihak Astro sudah tidak sabar dan berasa amat teruja untuk memulakan AF 2014 yang bakal mengembalikan semula drama realiti yang cuma dapat dirasai menerusi AF. 

Melalui pemerhatian kami setelah menjelajah ke empat buah lokasi di seluruh Malaysia iaitu Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Selangor sekitar bulan Jun yang lalu, rata-rata calon peserta yang hadir adalah jauh lebih bersedia daripada segi persembahan secara keseluruhan. Setiap daripada mereka masing-masing mempunyai kekuatan dan personaliti unik yang berbeza.

Dengan bakat dan kesungguhan yang mereka miliki, kami percaya kesemua pelajar yang berjaya diserap masuk untuk memeriahkan musim ini mampu memberikan saingan dalam industri ini kelak dengan bimbingan yang betul.”

Rangkaian program AF 2014 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135). Rutin seharian para pelajar menjalani kehidupan di akademi dapat ditonton melalui liputan harian Diari AF pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 malam bermula pada 1 September 2014. Manakala Konsert Mingguan AF pula akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 7 September 2014.

Bagi merancakkan lagi musim ini, Konsert Minggu Pertama dan Minggu Akhir AF 2014 juga akan ditayangkan secara serentak di tiga buah saluran iaitu Astro Ria (104), Astro Prima (105) dan Maya HD (135) untuk memberi lebih pilihan kepada para penonton.

Para penonton juga mempunyai pilihan untuk menonton kedua-dua buah program ini menerusi perkhidmatan Astro On-The-Go menerusi peranti tablet, telefon pintar ataupun komputer.

Selain membawa masuk format asal, perintis rancangan realiti hiburan tanahair ini juga bakal menyaksikan gabungan semula barisan tenaga pengajar yang cukup sinonim dengan penerbitan AF serta pernah menyumbangkan khidmat dan kepakaran untuk mendidik bakal-bakal bintang untuk musim-musim terdahulu iaitu Acis sebagai Guru Muzik dan Pengarah Muzik Konsert, Siti Hajar sebagai Guru Vokal, Fatimah Abu Bakar sebagai  Guru Motivasi dan Bahasa Inggeris,Linda Jasmine sebagai Guru Tarian dan Kareografi dan Marlia Musa sebagai Guru Seni Persembahan

Selain itu, AF 2014 juga sekali lagi memberi kepercayaan kepada Zizan Razak untuk melunaskan tanggungjawab sebagai Pengacara Konsert Mingguan. Manakala pelawak dan pelakon yang baru sahaja dinobatkan sebagai Artis Komedi Wanita Populardi Augerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini iaitu Jihan Muse pula dilantik sebagai Pengacara Diari.

”AF 2014 amat berbesar hati apabila dapat mengumpulkan bekas tenaga pengajar yang pernah mewarnai Akademi Fantasia di musim-musim terdahulu yang akan berganding tenaga untuk musim ini.

 

Kehadiran mereka merupakan bonus yang cukup bermakna untuk musim ini kerana mereka bukan sahaja mempunyai pengalaman luas di dalam bidang masing-masing, malahan juga telah mengetahui selok-belok dan merasai sendiri cabaran dan rintangan suka-duka hari-hari di dalam akademi.

 

Saya mewakili pihak Astro ingin mengucapkan selamat kembali kepada barisan fakulti serta tidak ketinggalan juga kepada Zizan Razak selaku pengacara konsert. Kami juga amat mengalu-alukan kehadiran Jihan Muse buat pertama kali ke dalam keluarga AF 2014 untuk memeriahkan musim ini selaku pengacara diari.

 

Kesemua mereka yang akan terlibat dalam menjayakan AF 2014 telahpun diberikan tugas serta pengkhususan tersendiri yang meliputi setiap aspek bagi memastikan penerbitan musim ini berjalan lancar seperti yang dirancang. Persetujuan dan komitmen mereka untuk sama-sama menyumbang kepada kejayaan AF 2014 amat dihargai dan saya pasti musim ini akan lebih meriah dengan kehadiran mereka.”

AF 2014 juga masih lagi mengekalkan format pemarkahan 100% undian penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau AFUNDI yang mana pelajar dengan undian terendah setelah talian ditutup di akhir konsert mingguan pada setiap minggu akan tersingkir. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Selain itu, AF 2014 juga sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan Felda Wellness Corporation dan Kit Kat selaku Penaja Bersama dengan kerjasama Yeo’s Yogurt. ERA fm juga turut menghulurkan sokongan padu mereka yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Radio Rasmi.

Selain itu, AF 2014 juga turut disokong oleh Studio H dan juga hlive! selaku Majalah Digital dan Media Rasmi serta Murai dan Astro Gempak selaku Portal Hiburan Rasmi.

Untuk keterangan lanjut, layari laman web rasmi www.af.com.my atau tekan butang merah ”R” di alat kawalan jauh anda.

Informasi terkini seperti informasi terkini dan eksklusif mengenai AF 2014, diari dan aktiviti harian pelajar, video eksklusif serta banyak lagi boleh didapati melalui laman web rasmi ini. Selain itu, Astro juga turut menawarkan pelbagai perkhidmatan Aplikasi AF2014 yang boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store dan Google Play Store bermula 1 September 2014.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *