(HIBURAN) Bukan hanya mengarah dan berlakon, tetapi Sabri bawa empat watak sekaligus dalam “4 Abdul 1 Mohd”

Spread the love

Kredibiliti seorang Sabri Yunus sebagai pengarah memang tidak dapat disangkal. Karya-karya tulisan dan arahannya sentiasa dekat dengan hati masyarakat dan menyentuh kisah-kisah benar kehidupan di sekeliling kita. Meyakinkan dan menyentuh hati yang menonton.

Sabri sebagai seorang pelakon juga, tidak pernah gagal memberikan impak dalam setiap watak yang dibawakan. Namun untuk drama bersiri berjudul 4 Abdul 1 Mohd, dia memberikan lebih buat penonton. Bukan hanya menerbit, mengarah dan menulis skrip, tetapi kali ini pelakon hebat kelahiran Kelantan ini membawakan empat watak sekaligus dan membuatkan mata yang menonton akan terfikir, bagaimana dia melakukannya malah meyakinkan penonton dengan setiap watak yang berlainan itu?

“Saya merasakan saya tidak mempunyai sebarang resepi untuk ‘switch on dan off’  kepada watak . Ini kerana saya merasakan bahawa kita sendiri ada batas dan tahu mengawal lakonan. Kalau faham tentang batas dan pengawalan, tiada akan ada masalah. Dalam drama 4 Abdul 1 Mohd, ada seorang Sabri Yunus yangmengawal semuanya,” ujarnya yang baru selesai mengarahkan drama Pok Ya Cong Co Dei.

Untuk drama 12 episod yang kini bersiaran dari hari Isnin hingga Khamis, pukul 11 malam di Astro Ria, Sabri membawakan watak Abdul Jabar, Abdul Somad, Abdul Wasit dan Abdul Hakim di mana setiap Abdul berbeza dialek dan karakter.

“Antara empat watak yang dibawakan, saya merasakan watak Abdul Wasit merupakan yang paling mencabar. Watak lembam, sangat mencabar. Saya nak ‘maintain’ watak itu dalam keadaan yang cepat di waktu fikiran saya masih bergerak sebagai pengarah dan kemudian tiba-tiba nak jadi lembab. Itu mencabar tetapi saya boleh terima. Saya tulis skrip di lokasi. Bayangkan saya kena harus tulis lalu bagi pada diri saya untuk dihafal.  Watak itu saya harus masukan dialek orang Pahang. Saya bernasib baik kerana kru saya ramai orang Pahang. Boleh cakap, tetapi tidak tepat.  Watak paling sukar dan orang akan simpati,” ceritanya tentang Abdul Wasit yang berpewatakan lurus bendul.

Drama bersiri 4 Abdul 1 Mohd ini turut dilakonkan oleh Asrul Faizal, PU Azman, Brian Chan, Azizul Ammar, Angeline Tan, Saidi Sabri dan Issey Fazlisham. Lokasi penggambaran drama terbitan Porcupine Production dan Heritage Movies ini menjalani pengambaran selama 32 hari di Temerloh dan Pantai Sepat Kuantan.

Ditanya tentang cabaran mengarah dan berlakon dalam drama ini, Sabri menyatakan cabaran lebih kepada kekangan masa dan SOP.

“Sangat-sangat sukar. Bukan sekadar kesukaran  dalam proses untuk membikin tetapi juga  dengan kekangan masa yang ada. Malah kita juga perlu mematuhi prosedur SOP yang ditetapkan. Untuk buat sebuah drama dan bukannya  bukan filem,  kita tiada pilihan. Kena kejar masa dan itulah cabaran. Memegang watak tidaklah cabaran sangat. Nak mengangkat naskhah dalam masa yang terhad, itu lebih mencabar.  Memegang watak  itu seronok kerana mencabar diri. Watak berbeza dengan dialek yang lain, saya seronok,” ujarya yang membawakan dialek Kelantan, Pahang, Terengganu dan Indonesia.

Ditanyakan tentang perkara-perkara menarik yang berlaku sewaktu penggambaran, Sabri menyatakan salah satu proses spontan yang kini kerap dipraktikkannya.

“Saya gunakan pelakon yang hanya dipetik di sekeliling saya ketika saya jumpa. Antaranya adalah watak isteri dalam drama ini merupakan seorang pegawai polis. Saya tak bawa pelakon dari agensi, saya jumpa di lokasi dan terus tawarkan berlakon. Itu yang menarik. Bagaimanan saya nak berhadapan dengan pelakon yang saya petik di sekeliling, itu proses yang menarik,” ketawanya bercerita.

4 Abdul 1 Mohd mengisahkan Jabar yang sewaktu mudanya telah berkahwin dengan tiga orang wanita dan menceraikan semua isteri-isterinya dimana dalam masa yang sama mereka sedang mengandung. 50 tahun kemudian, dia mula mencari anak-anaknya untuk membetulkan kesilapannya dahulu. Jabar yang semakin sakit dan uzur berhajat untuk membahagikan hartanya. Namun begitu, Jabar terkejut apabila mendapati anak-anaknya mempunyai mirip muka yang sama! Akan tetapi, pertemuan Jabar dan anak-anaknya membawa bala dan kehancuran kepada keluarga mereka.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *