KUALA LUMPUR: Selepas lebih sedekad tidak menyapa peminat di Malaysia, kumpulan tribute, Björn Again, bersiap sedia mengegarkan Kuala Lumpur menerusi konsert jelajah Björn Again – The ABBA Forever Tour yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Ogos 2026.
Membawakan nuansa muzik disko dan pop era 70-an yang segar, kehadiran kumpulan yang diiktiraf secara rasmi oleh anggota asal ABBA ini pastinya menjadi penawar rindu buat peminat tegar lagu-lagu nyanyian legenda Sweden berkenaan.
Mewakili kumpulannya, Agnetha Falstart dan Benny Anderwear berkongsi rasa teruja untuk kembali bertemu peminat Malaysia yang terkenal dengan kehangatan dan tenaga luar biasa.
“Kami tahu penonton Malaysia adalah antara yang terbaik. Mereka suka menyanyi, menari dan bersenang-senang. Walaupun kami pernah membuat persembahan di Kuala Lumpur kira-kira 12 hingga 15 tahun lalu, kami sentiasa mahu kembali kerana kenangan indah terhadap tenaga dan kasih sayang penonton di sini,” kata Benny pada sesi temu bual virtual baru-baru ini.
Bagi Agnetha pula, biarpun Björn Again sudah beraksi di seluruh pelosok dunia selama 37 tahun, misi utama mereka tetap tidak berubah iaitu menyebarkan kebahagiaan menerusi seni muzik ABBA yang tidak lapuk dek zaman.
Sementara itu, Benny menekankan keunikan konsert Björn Again yang disifatkannya sebagai pertunjukkan mesra keluarga yang merentasi jurang generasi.
“Di konsert kami, adalah perkara biasa untuk melihat dua hingga tiga generasi daripada keluarga yang sama hadir bersama. Daripada mereka yang membesar dengan lagu ABBA, peminat muzikal Mamma Mia!, sehinggalah anak-anak dan cucu mereka.
“Lagu-lagu ciptaan Benny Andersson dan Björn Ulvaeus bertahan merentasi zaman melebihi 50 tahun. Ia bukti kekuatan karya mereka. Tambahan pula, konsert kami adalah persembahan keluarga yang bersih, tanpa bahasa kesat atau unsur tidak sopan,” katanya.
Bercakap mengenai persediaan, pelbagai elemen kejutan telah dirancang bagi memastikan persembahan berdurasi dua jam setengah itu memberikan pengalaman terbaik buat penonton, termasuk penambahbaikan dari segi kostum, susunan muzik, sehingga pertunjukan lampu dan multimedia.
“Kami akan membawakan semua lagu hits seperti Dancing Queen, Fernando, Mamma Mia, Waterloo, Gimme! Gimme! Gimme!, dan Take a Chance. Ada lagu disko, balada emosional, malah lagu berunsur rock.
“Bukan itu sahaja, penonton juga bakal dikejutkan dengan unsur jenaka, interaksi pentas, dan kejutan santai yang akan membuatkan semua orang pulang dengan senyuman lebar,” tambah Benny.
Bagi menyemarakkan lagi suasana retro, anggota Björn Again turut menggalakkan penonton yang hadir untuk mengenakan busana bertema 1970-an.
Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Karim selalu penganjur menzahirkan rasa gembira dapat membawakan konsert bertaraf antarabangsa ini ke pentas Zepp KL selepas persediaan rapi selama enam bulan.
Menurut Shirazdeen, ganjaran terbesar dalam penganjuran konsert ini bukanlah semata-mata kepuasan komersial, sebaliknya senyuman dan kenangan indah yang dibawa pulang oleh para penonton.
“Memang benar penganjuran konsert ada matlamat perniagaannya, tetapi ganjaran terbesar bagi kami adalah melihat riak wajah para peminat sewaktu meninggalkan dewan. Apabila mereka katakan ini antara malam terbaik dalam hidup mereka, itu mengatasi segalanya.
“Ia membuatkan segala persiapan, pelbagai halangan dan kerja keras berbaloi apabila objektif utama untuk membahagiakan peminat tercapai. Jarang sekali kita dapat saksikan konsert di mana tiga generasi boleh datang dan menikmati muzik bersama-sama,” ujarnya.
Tiket bagi konsert Björn Again – The ABBA Forever Tour kini mula dijual di www.ticket2u.com bermula 28 Julai lalu dengan senarai harga berikut; RM600 (VIP), RM498 (Diamond), RM398 (Platinum), RM298 (Gold) dan RM228 (Silver).

