(HIBURAN) FILEM ‘BAHAYA CINTA’ PRODUK PERTAMA DUA NEGARA SEBAGAI RAKAN USAHA SAMA PENERBITAN MALAYSIA-VIETNAM

1crop

JALINAN kerjasama pertama penerbitan industri perfileman negara bersama Vietnam direalisasikan dengan penerbitan filem berjudul Bahaya Cinta (Dangerously Love) atau bahasa Vietnam Tinh Yeu Nguy Hiem.

Filem yang menggabungkan dua syarikat tempatan, YKS Film Maker Sdn Bhd dan Sheunik Sdn Bhd serta Redbridge TV & Film Production dari Hanoi, Vietnam diberikan pengiktirafan kepada Yusof Kelana sebagai pengarah.

Filem dari genre drama itu akan menghiasi 60 pawagam seluruh tanah air bermula 1 Mei ini serta akan ditayangkan di pawagam seluruh Vietnam yang dijangka pada Jun depan.

Ia menjalani penggambaran di sekitar Hanoi, Vietnam, serta Pulau Bidong, Terengganu sekitar Jun tahun lalu yang memakan masa selama dua minggu tempoh penggambaran.

Yusof bertindak sebagai pengarah dan penerbit bersama, berkata usaha sama penerbitan filem itu penting sebagai permulaan kerjasama tenaga perfileman dari Malaysia dengan Vietnam yang juga semakin hebat menghasilkan filem bermutu, sekali gus ia juga membuka lembaran baharu dalam pemasaran filem cereka antara kedua-dua negara.

“Kami menghadapi banyak kesulitan ketika menerbitkan filem ini, terutama sewaktu hendak memulakan kerja penggambaran di Hanoi. Cabaran utama ialah halangan dan larangan tertentu daripada Kerajaan Vietnam yang mengenakan beberapa syarat ketat, selain kerajaannya menapis dulu skrip sebelum penggambaran, masalah komunikasi kerana kru di sana tidak memahami bahasa Inggeris serta cuaca panas. Bagaimanapun, saya bersyukur ia dapat dihasilkan dengan lancar dan menghasilkan filem yang boleh dibanggakan.

“Filem ini sudah ditayangkan di Kedutaan Malaysia, Hanoi baru-baru ini selain pihak produksi kami juga akan memaklumkan mengenai tayangan filem ini kepada Kedutaan Vietnam di Kuala Lumpur supaya memberi sokongan. Apa yang penting, filem ini menjalinkan hubungan erat antara pelakon dengan kru dari kedua-dua negara, selain disertai pelakon dari Indonesia.

“Lebih menarik, ia juga adalah filem yang memaparkan aspek perkongsian budaya, penggunaan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Vietnam dan Indonesia akan ditayangkan di kedua-dua negara. Bahaya Cinta akan ditayang di Vietnam selepas dua bulan tayangannya di Malaysia. Kami lega kerana filem ini mendapat pujian daripada penggiat filem di sana yang sudah menontonnya secara eksklusif.

“Kerjasama penerbitan filem ini bermula hasil perhubungan yang dijalinkan menerusi beberapa pertemuan menerusi acara Pasar TV dan Filem Vietnam beberapa tahun lalu. Ini adalah usaha pertama industri filem membawa produk kita ke persada ASEAN menerusi kerjasama penerbitan dan perkongsian seni budaya.

“Dengan cara ini saya meyakini laluan kita untuk menembusi pasaran luar lebih mudah apabila penerbitan filem ini memaparkan nilai budaya kedua-dua negara dan membina diplomatik filem antara Malaysia dengan Vietnam,” katanya yang turut menyediakan sari kata.

 bahayasmall

 

Sinopsis

Bahaya Cinta mengisahkan pengorbanan seorang wanita Vietnam lakonan Han Dan yang mengimbas kembali detik cemas ketika melarikan diri ke Malaysia akibat perang dan tinggal di kem penempatan pelarian di Pulau Bidong, Terengganu. Beliau mengharungi hidup selepas berkahwin dengan rakyat tempatan yang juga seorang nelayan Melayu.

Wanita itu meminta anak lelakinya, Iskandar (Adam AF) mencari seseorang yang juga bekas kekasihnya untuk menyampaikan suatu pemberian nostalgia sebelum melarikan diri ke Malaysia kira-kira 35 tahun lalu. Semasa di Hanoi, Iskandar mengalami pelbagai cabaran dan dugaan termasuk berhadapan dengan kegiatan kongsi gelap dalam usaha menyampaikan amanah diberikan ibunya. Pada masa yang sama dia bertemu cinta dengan gadis Vietnam.

 

INFO

 

Judul:  Bahaya Cinta (Dangerously Love)  Tinh Yeu Nguy Hiem

Terbitan: YKS Film Maker Sdn Bhd; Sheunik Sdn Bhd (Malaysia) dan Redbridge TV & Film Production (Vietnam)

Penerbit: Yusof Kelana dan Richard Ung

Pengarah: Yusof Kelana

Pelakon: Adam (AF), Han Dan, Luong Giang, Nguyen Duc Hung (Vietnam), Dewi Amanda (Indonesia), Datuk Jalaludin Hassan, Fadilah Mansor dan Man Raja Lawak.

Lokasi Penggambaran: Hanoi, (Vietnam) dan Pulau Bidong (Terengganu)

Penulis Skrip: Martias Mohd Ali

Genre:  Drama/Aksi

Klasifikasi:  PG13

Tarikh Tayangan:  1 Mei 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *