(HIBURAN) Filem ” LARI ” bakal berlari ke FESTIVAL FILEM CANNES

Spread the love

IMG_1887

LARI …Filem yang berbelanja besar dari Excellent Pictures ini bakal dipertontonkan kepada pihak industri perfileman luar negara sempena Festival Filem Cannes ke 66, iaitu festival filem paling prestij di Perancis. Filem arahan Ahmad Idham ini yang menampilkan teraju utama seperti Aaron Aziz, Dira Abu Zahar, Erry Putra, Erin Malek, Hazama Azmi dan ramai lagi yang menelan belanja lebih RM2 juta ini bakal ditayangkan pada 17 Mei , Jumaat, jam 9.30 pagi waktu Cannes di Star 3 Theatre bertempat di bandar Cannes untuk tontonan pihak pembeli dan pengedar filem antarabangsa yang bakal membanjiri bandaraya itu sempena festival filem berkenaan. Filem ini menggunakan tajuk ” The Run ” untuk pasaran antarabangsa dan bakal ditayangkan pada 6 Jun 2013 di pawangan seluruh Malaysia , Singapura dan Brunei.

IMG_1896

LARI yang mengisahkan Khaliff (Aaron Aziz) berhadapan dengan satu konflik, apabila adiknya Ina (Erin Malek) telah dilarikan oleh sindiket pemerdagangan manusia, manakala ayahnya telah dibunuh. Konflik berterusan apabila Khaliff mengesyaki sesuatu telah berlaku di kampungnya, tambahan itu dia mengesyaki KJ (Erry Putra) terlibat dalam kejadian tersebut. Sementara itu, Maya (Dira Abu Zahar) kekasih hatinya dahulu, ingin membantu Khalif yang dalam kesusahan. Taugeh (Hazama Azmi) pula membantu Khaliff dalam mencari siapa dalang disebalik semua yang berlaku.

IMG_1889

LARI, sebuah filem aksi arahan Ahmad Idham, disampaikan dalam medium digital sepenuhnya, akan memberi satu pengalaman terbaik buat penonton, untuk ‘bersama-sama’ merasai kesan aksi lasak dan sistem bunyi terbaik. Peminat yang ingin merasai satu pengalaman tontonan terbaik, berpeluang merasainya di panggung rangkaian TGV Cinemas dan pawagam-pawagam lain sekitar Malaysia dan Brunei bermula 6 Jun 2013. LARI sebuah filem aksi yang mengangkat isu pemerdagangan manusia, lakonan Aaron Aziz, Dira Abu Zahar, Erry Putra, Erin Malek, Hazama Azmi dan ramai lagi, merupakan filem terbitan Excellent Pictures, dan dijangkakan akan dipasarkan keluar negara.

LARI_Poster FINAL

SINOPSIS FILEM LARI (DI PAWAGAM 6 JUN 2013)

KHALIF (AARON AZIZ) merupakan seorang bekas askar yang tidak lagi berkhidmat dalam bidang ketenteraan. Dia telah mendapat berita yang mengejutkan berkenaan bapanya yang telah meninggal dunia akibat dibunuh.

Semuanya bermula, apabila KHALIF pulang ke kampung, dan melihat orang ramai berada di rumahnya. Bila dihampiri, dia mengetahui bahawa bapanya telah dibunuh oleh sindiket, manakala adiknya, INA (ERIN MALEK) telah dilarikan oleh mereka, kerana membalas perjanjian yang tidak jadi antara bapanya dan kumpulan sindiket berkenaan.

Berdasarkan pengalaman yang pernah diperolehnya daripada latihan ketenteraan dahulu, naluri KHALIF ingin mengetahui apa yang sebenarnya terjadi kepada keluarganya. Ini menyebabkan dia mula menyiasat apa yang berlaku, dan mula menemui petunjuk kepada kejadian tragik tersebut.

Dalam masa yang sama KJ (ERRY PUTRA) tidak menyenangi kehadiran KHALIF di kampung itu, kerana masih berdendam dengan kejadian yang berlaku dahulu, di mana KHALIF merupakan buah hati isterinya MAYA (DIRA ABU ZAHAR).

Kepulangan KHALIF juga membuat MAYA cukup bersimpati dengan apa yang terjadi, dia tekad mahu membantu KHALIF dalam menyelesaikan masalah tersebut. Pertemuan itu menyebabkan KJ semakin membenci KHALIF.

Petunjuk mengenai kejadian tragik itu membawa KHALIF memulakan perjalanan dalam mencari jawapan. Ketika tiba di perhentian keretapi, KHALIF merasakan kehadiran ahli sindiket, menyebabkan berlakunya pergaduhan dan dia cuba untuk melarikan diri. Dia terserempak dengan seorang pemandu teksi TAUGEH (HAZAMA AZMI), yang memang telah lama mempunyai impian untuk menjadi seorang wira.

Sejak itu, KHALIF dan TAUGEH bergandingan dalam mencari jawapan kepada apa yang berlaku terhadap bapanya dan juga INA.

Kepulangan KHALIF dan TAUGEH ke kampung semula, telah menyebabkan MAYA ingin bersama mereka untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Ketika itu juga, KHALIF mendapat petunjuk bahawa sindiket itu didalangi oleh penyeludup dari negara seberang dengan rakan subahat iaitu KJ. Ini telah menyebabkan KHALIF bersemuka dengan KJ untuk mengetahui di mana INA disembunyikan. Akhirnya KJ memberitahu mengenai hal sebenar.

KHALIF, TAUGEH dan MAYA telah menuju ke sempadan dengan niat untuk melepaskan INA dari cengkaman sindiket itu. Di situ, KHALIF mengetahui bahawa adiknya telah dijadikan pelacur oleh sindiket penyeludupan manusia. Pelbagai rintangan telah dihadapi oleh KHALIF, TAUGEH dan juga MAYA dalam usaha melepaskan INA.

Akhirnya, INA berjaya diselamatkan daripada sindiket penyeludupan manusia tersebut, manakala hubungan antara MAYA dan Khalif kembali terjalin. TAUGEH pula terus menjadi teman kepada KHALIF.

LARIsmall


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *