(HIBURAN) GAYONG 2 :  ‘Perjuangan Meor Abdul Rahman Membanteras Jenayah, Rasuah & Salah Guna Kuasa’

Spread the love

Selepas kejayaan filem pertama yang ditayangkan pada tahun lalu, kini kisah tentang Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) diteruskan dalam filem GAYONG 2 terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd.

Bukan sekadar tentang kisah mengenai kehidupan sebagai seorang guru silat semata-mata, Gayong 2 kembali dengan skala yang lebih besar, emosi yang lebih mendalam dan konflik yang lebih kompleks.

Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip berkata, filem ini membawa perjalanan ADMAR ke fasa hidup yang lebih gelap dan mencabar, bukan lagi sekadar sebagai pendekar, tetapi sebagai pegawai CID dalam pasukan polis di bawah pentadbiran British selepas Perang Dunia Kedua di Singapura.

“Filem ini masih berpaksikan kepada kehidupan sebenar Dato’ Meor Abdul Rahman khususnya nilai, prinsip dan pilihan hidup beliau.

“Namun begitu, ia dipersembahkan dalam pendekatan dramatik dan sinematik. Ia bukan dokumentari, tetapi sebuah karya yang mengangkat konflik kuasa dan tekanan emosi yang wujud dalam dunia sebenar ketika itu,” ujarnya.

Berlatar belakang suasana Tanah Melayu pasca perang, ketika negara kelihatan aman di permukaan namun bergolak dari dalam, Gayong 2 menyelami dilema moral seorang lelaki yang berpegang pada prinsip untuk membanteras jenayah kongsi gelap dan rasuah, serta berhadapan dengan penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan yang dilindungi sistem.

Filem arahan Faisal Ishak itu masih mengekalkan Beto Kusyairy sebagai Meor serta Nabila Huda dan Syafie Naswip di samping kemunculan beberapa pelakon lain seperti Fauzie Laily, Bobby Tonelli, Rabbit Chen, Hanna Aqeela dan Ayez Shaukat.

Menariknya, filem ini turut diserikan lagi dengan penampilan Miss Malaysia 2024, Sandra Lim yang membuat penampilan sulung dalam sebuah naskhah filem epik Melayu.

Bercerita lebih lanjut mengenai penerbitan filem Gayong 2, Khairul menjelaskan kisah ADMAR ini tidak seharusnya terhenti sebagai sejarah kelahiran seorang guru silat semata-mata.

“Dalam sejarah hidup beliau, ada satu fasa yang sangat menarik dan relevan iaitu apabila beliau memilih untuk menentang kejahatan dari dalam sebuah sistem.

Gayong 2 lahir daripada keinginan untuk menceritakan perjuangan yang lebih kompleks ini, tentang bagaimana seseorang yang berpegang pada prinsip diuji apabila kebenaran itu sendiri menjadi ancaman,” ujarnya.

Sementara itu, Faisal selaku pengarah menyatakan Gayong 2 bukan sekadar kesinambungan cerita, tetapi kesinambungan warisan dan tanggungjawab.

Ujarnya, filem ini memang mengangkat isu seperti rasuah, gangsterisme dan penyalahgunaan kuasa, namun pada terasnya ia adalah kisah seorang lelaki yang terperangkap antara prinsip hidup dan keselamatan keluarganya.

“Kalau dalam filem pertama lebih menjurus kepada memperkenalkan dunia dan semangat persilatan, Gayong 2 pula menyelami harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan keperibadian dan harga diri. Ia bukan sekadar aksi, tetapi tentang identiti dan maruah.

“Dengan naratif yang lebih matang, konflik moral yang lebih tajam dan aksi yang lebih mantap, Gayong 2 bersedia untuk menjadi sebuah karya tempatan yang bukan sahaja mengangkat seni persilatan, tetapi juga keberanian mempertahankan prinsip dalam dunia yang tidak sempurna,” jelasnya.

Ujarnya, penggambaran Gayong 2 dijalankan sepenuhnya dari November hingga Disember 2024 dan 100 peratus lokasinya adalah di Ipoh, Perak.

Sebagai pengarah, Faisal meletakan harapan supaya filem ini lebih dekat dengan penonton kerana ia bermain dengan emosi yang lebih sarat.

“Saya ingin penonton yang menonton filem ini nanti pulang dengan rasa bangga terhadap warisan kita dan pada masa yang sama terhibur dengan sebuah filem aksi tempatan yang dibuat dengan sepenuh hati.

“Jika ada penonton yang pulang sambil berfikir tentang keluarga, tentang akar budaya, atau tentang pilihan hidup yang mereka buat, maka filem ini telah menjalankan tugasnya,” ujarnya.

Gayong 2 akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 9 APRIL 2026.

SINOPSIS

Gayong 2 berlatar selepas Perang Dunia Kedua, ketika Tanah Melayu memasuki era yang kelihatan aman tetapi rosak dari dalam. Kejahatan tidak lagi bersembunyi di lorong gelap, tetapi dilindungi oleh sistem, pangkat dan wang.

Meor Abdul Rahman berkhidmat sebagai pegawai CID dalam Pasukan Polis British. Dari dalam pasukan, beliau menemui rangkaian rasuah yang diketuai oleh Malcom, seorang pegawai polis berpangkat tinggi yang memanipulasi undang-undang demi kepentingan peribadi. Di jalanan, kekuasaan itu dilaksanakan oleh Lee Khoon, ketua gangster yang menguasai perjudian, keganasan dan penyeludupan candu dengan perlindungan polis.

BARISAN PELAKON

BETO KUSYAIRY                                  – MEOR ABDUL RAHMAN

NABILA HUDA                                     – CHE SOM

SYAFIE NASWIP                                   – MAT

FAUZIE LAILY                                       – FAUZI

BOBBY TONELLI                                   – SP MALCOM

RABBIT CHEN                                      – LEE KHON

HANNA AQEELA                                  – MAYANG

SANDRA LIM                                       – JADE

TIAN JIAN                                            – DOK JUA

PRODUKSI

Terbitan                                              – SOL PICTURES SDN. BHD.

Cerita Asal                                          – ERIC ONG

Pengarah                                            – FAISAL ISHAK

Skrip                                                    –

Pengarah Fotografi                            – HARIS HUE

Pengarah Aksi                                     – YAYAN RUHIAN

Penyunting                                         – HAFEEZ MOHD NOOR

Penerbit Eksekutif                              – KHAIRUL ANUAR LATIP

Penerbit                                              – ERIC ONG


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *