(HIBURAN) GENBLUE mengagumkan dunia K-pop dengan EP dan MV ‘ACT LIKE THAT’, rancang untuk bertemu peminat di Malaysia.

Spread the love

Kuala Lumpur, 13 Mac 2025 – GENBLUE, kumpulan gadis dinamik dari Taiwan, sedang menggegarkan dunia K-pop dengan pelancaran EP Korea pertama mereka, ACT LIKE THAT, yang turut disertakan dengan jelajah promosi di seluruh Asia, termasuk Malaysia.

Terdiri daripada XXIN, AYEON, YUAN, LILI, AYAKO, dan NICO, GENBLUE kini menjadi kumpulan gadis pertama dari Taiwan yang menembusi pasaran album fizikal di Korea Selatan dengan EP ini.

Album EP ini mengandungi empat lagu yang bervariasi daripada rentak rancak hingga melodi yang menenangkan, iaitu ACT LIKE THAT, OH!, SLOW DOWN dan FEEL LIKE SPRING. Sejak dilancarkan, album ini telah tular dalam talian, terutamanya video muzik ACT LIKE THAT, yang menampilkan koreografi one-take serta memperlihatkan sisi berani tetapi ceria mereka.

Ditubuhkan di bawah label Taiwan, TEN Entertainment, GENBLUE mula meraih populariti menerusi rancangan realiti NEXT GIRLZ pada tahun 2023. Nama mereka, gabungan perkataan Generation dan Blue, melambangkan semangat era baharu serta keluasan lautan yang tidak berpenghujung.

Selepas menjalani latihan intensif bersama jurulatih ternama dari JYP, YG, SM, dan HYBE, GENBLUE mencipta sejarah sebagai kumpulan gadis pertama dari Taiwan yang debut di Korea dengan single COCOCO pada tahun 2024, diikuti dengan kemenangan K-POP Rookie Award di Korean Culture and Entertainment Awards.

Mereka semakin menyerlah di Korea melalui persembahan muzik, acara tandatangan album, flash mob, kedai pop-up eksklusif serta kolaborasi foto booth. Bagi merakam album ini, ahli kumpulan yang berbahasa Mandarin ini telah berusaha mempelajari bahasa Korea. Mereka juga sedang meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris untuk berinteraksi lebih baik dengan peminat antarabangsa.

Ketua kumpulan, XXIN, berkongsi, “Album ini mencerminkan intipati sebenar GENBLUE, dan kami dedikasikan ia kepada peminat sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi!”

GENBLUE juga memberi bayangan kemungkinan bakal mengadakan acara istimewa untuk peminat sekiranya video muzik ACT LIKE THAT melebihi 30 juta tontonan. Peminat di Malaysia boleh membantu merealisasikannya dengan menekan butang play!

Mini album GENBLUE – ACT LIKE THAT kini boleh didapati di K-MONSTAR. Tonton video muzik ACT LIKE THAT di: https://youtu.be/69QCKEYOAZs?si=9QBTONr0uBtr5_y2

Nota kepada Editor:

Foto yang disediakan adalah ihsan daripada TEN Entertainment.

Profil ahli kumpulan:

XXIN – Ketua kumpulan, penari utama dan rapper utama, pernah muncul dalam Youth With You Season 2 di China.

AYEON – Satu-satunya ahli dari Korea Selatan, vokalis utama dan penari utama.

YUAN – Vokalis utama yang comel dan ceria serta berbakat dalam penulisan lagu. LILI – Penari utama yang bergaya dan cool, sub-vokalis serta rapper dengan lebih sejuta pengikut di TikTok.

AYAKO – Separuh Jepun, seorang penghibur bertenaga yang penuh dengan keceriaan.

NICO – Ahli termuda yang dikenali dengan rupa manis tetapi cool serta hobi uniknya iaitu sukan menembak.

Mengenai TEN Entertainment

TEN Entertainment ialah syarikat hiburan terkemuka yang berpangkalan di Taiwan, pakar dalam pengurusan artis, penerbitan muzik, dan promosi global. Dengan kehadiran yang kukuh di Asia, syarikat ini komited untuk mencari dan membimbing bakat baharu serta membawa muzik segar dan inovatif kepada peminat di seluruh dunia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *