PETALING JAYA, 14 Julai 2026 – Selepas hampir tiga dekad mencorakkan industri muzik nasyid tempatan, kumpulan legenda Hijjaz kembali mengukuhkan legasi mereka dengan pelancaran album studio terbaharu berjudul “Akhir Bersamamu”. Album yang dinanti-nantikan ini menjadi simbol kesinambungan perjuangan Hijjaz dalam menyampaikan karya berunsurkan dakwah, kemanusiaan dan kasih sayang menerusi pendekatan muzik yang lebih segar tanpa mengabaikan identiti harmoni vokal yang menjadi keunikan kumpulan tersebut.
Album yang diterbitkan oleh Inteam Records Sdn. Bhd. ini mula dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 10 Julai 2026, sekali gus menawarkan enam buah lagu baharu yang membawa mesej mendalam berteraskan nilai keagamaan, sirah dan penghayatan kehidupan. Pelancaran album ini turut diraikan menerusi satu Majlis Sidang Media Khas yang berlangsung pada 14 Julai 2026, sebagai platform memperkenalkan karya terbaharu Hijjaz kepada rakan-rakan media, penggiat industri kreatif serta para peminat.
Keistimewaan album Akhir Bersamamu terserlah melalui penglibatan anggota Hijjaz sendiri dalam proses penciptaan lagu. Isman Hijjaz, Munif Hijjaz, Faizal Hijjaz dan Ariffin Rahim berganding bahu menghasilkan komposisi yang mengekalkan kekuatan melodi nasyid kontemporari, di samping memperkenalkan susunan muzik yang lebih moden dan sesuai dengan citarasa pendengar masa kini.
Dari sudut penulisan lirik pula, Hijjaz menghimpunkan beberapa nama besar tanah air bagi memastikan setiap karya membawa mesej yang bermakna serta mampu menyentuh jiwa pendengar. Antara penulis lirik yang terlibat ialah Datuk Habsah Hassan, Lukhman S, Ahmad Fedtri Yahya, Atie, Isman Isam dan Abai Os. Gabungan kreativiti mereka menjadikan setiap lagu sarat dengan nilai pengajaran, keinsafan serta semangat kecintaan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Album ini memuatkan enam buah lagu iaitu Salam Maulidur Rasul, Mati Itu Pasti, Inang Cinta Memuji, Akhir Bersama-MU, Seiring Seganding dan Rufaidah Al-Aslamiyah. Setiap karya mengetengahkan tema yang berbeza, namun saling melengkapi dalam menyampaikan mesej ketuhanan, perjuangan hidup, kasih sayang dan pengorbanan insan.
Penerbitan Akhir Bersamamu bukan sekadar menandakan kemunculan semula Hijjaz dengan karya baharu, malah menjadi manifestasi komitmen kumpulan itu untuk terus menyebarkan mesej positif melalui muzik. Album ini diharapkan mampu menjadi sumber inspirasi, pengubat rindu peminat setia serta menarik minat generasi baharu untuk terus menghargai irama nasyid yang sarat dengan nilai murni.
Dengan pengalaman luas serta reputasi yang kukuh dalam industri muzik Islam, Hijjaz optimis album Akhir Bersamamu akan terus mengangkat martabat muzik nasyid Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa karya berteraskan dakwah masih relevan dan mampu menyentuh hati masyarakat merentasi pelbagai generasi.
