(HIBURAN) KONSERT PUBLIC DISTORTION 2017

Senario industri muzik Malaysia masa kini, selain penggunaan meluas media baru dalam pemasaran, persembahan ‘live’ masih lagi dianggap sesuatu yang mengujakan. Menikmati muzik dari sistem audio visual dan media massa adalah berbeza jika dibandingkan dengan menonton persembahan muzik ‘live’. Komitmen dari pihak pengurusan Oasis Square untuk menjadikan infrastruktur mereka sebagai medan persembahan ‘live’ adalah amat dinantikan. Program sebegini akan mencambahkan bakat bakat baru dengan mengenengahkan legenda muzik tanahair sebagai sumber rujukan kepada generasi muda. Cabaran ini disahut oleh pihak penganjur.

Oasis Square yang terletak di tengah pusat komersial Oasis Damansara berpotensi sebagai hub persembahan ‘live’. Dengan ruang yang lapang dan lengkap dengan fasiliti awam, ia nampak mewah tetapi santai. Stesen LRT Ara Damansara (laluan Gombak/Kelana Jaya/Puchong) hanya terletak 1.5km dari tempat ini. Persembahan ‘live’ terbuka bukan lagi diadakan di lapangan letak kereta atau padang tetapi di ruang lanskap yang teratur dan kemas. Beberapa buah blok setinggi 10 tingkat di kiri kanan Oasis Square boleh dijadikan ruang penonton ‘rooftop’ jika perlu.

Satu konsep persembahan telah dirangka dan ia dinamakan PUBLIC DISTORTION

PUBLIC dalam konteks ini membawa maksud orang awam, para peminat muzik khususnya dan terutama kepada peminat muzik rock tanahair yang sentiasa menyokong mana mana kumpulan rock tempatan membuat persembahan ‘live’.

DISTORTION pula dalam konteks ini selain membawa maksud gajet ‘distortion’ yang bingit dan mendefinasikan istilah muzik rock, ia membawa maksud luahan dan ekspresi dari jiwa pemuzik serta artis yang merasakan inilah masa dan ketika, kita melakukan sesuatu yang baru. Ia juga membawa maksud proses perubahan dan transformasi dari satu gelombang bunyi ke satu gelombang bunyi yang lain…dan yang pasti kearah ‘bunyi’ yang lebih baik.

Naskhah PUBLIC DISTORTION 2017 ini yang dipersembahkan oleh J&J ROCHESTRA dan LIFESCAPE sebagai penganjur dengan sokongan pihak pengurusan OASIS DAMANSARA akan membawa kolaborasi dua buah kumpulan rock hebat dan berpengalaman iaitu PRIME DOMESTIC dan XPDC.

PRIME DOMESTIC

Segalanya bermula pada 2012, apabila Joe yang ketika itu masih bersama WINGS, berkolaborasi dengan Hillary Ang, bekas gitaris SEARCH yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Mereka merancang menubuhkan sebuah ‘band’ projek khas bergenre rock, dianggotai para pemuzik profesional yang diakui antara yang terbaik dalam bidang masing masing. Maka dari konsep itu tertubuhlah sebuah ‘superband’ yang diberi nama PRIME DOMESTIC, membawa maksud yang utama dalam arus perdana muzik Malaysia. Mereka adalah Joe (gitar), Hillary Ang (gitar), Ujang (drums) dan Kelly (bass). Empat orang vokalis pernah diserap menyertai PRIME DOMESTIC iaitu Fiq (Mentor), Azlan (Meet Uncle Hussin/The Typewriter), Moq (Search/Rampage) dan Zul (penyanyi kelab). Bagaimanapun kerana komitmen lain, berlaku pertukaran ahli dalam PRIME DOMESTIC.

Pada awal 2017, PRIME DOMESTIC mengorak langkah semula. Joe dan Hillary Ang mempelawa pemain bass, Fauzi (NRG) dan pemain drums, Ainol (Kristal/Deja Voodoo Spells/Bunkface) bagi menggantikan Ujang dan Kelly. Manakala, Aweera, bekas peserta program tv realIti ‘One In A Million’ edisi 2009 dilamar sebagai vokalis. Maka kombinasi 4 generasi ahli PRIME DOMESTIC yang baru iaitu Joe (gitar), Hillary Ang (gitar), Aweera (vocal), Fauzi (bass) dan Ainol (drums) meneruskan perjuangan sehinggalah sempurnanya kelahiran album sulung mereka ini yang berjudul PRIMA DOMESTIKA.

Pada 2 April 2017, PRIME DOMESTIC memulakan langkah dengan mengadakan ‘showcase’ di The House Restaurant, G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Dalam ‘showcase’ tersebut PRIME DOMESTIC diperkenalkan kepada khalayak secara rasmi dan pelancaran album ‘single’ yang mengandungi 3 buah lagu baru iaitu ‘Tekno Dewata’, ‘Satukan Impian’ dan ‘Sedingin Pluto’. Pada 2 September 2017 pula telah diadakan sesi pra dengar dan pelancaran album sulung PRIME DOMESTIC berjudul PRIMA DOMESTIKA dalam sebuah persembahan ‘live yang diadakan di Oasis Square.

XPDC

Kumpulan XPDC diasaskan dari kumpulan TRAGEDY oleh Eddy Badry dan Mael pada tahun 1987. Ia dianggotai oleh Mael (Vokalis), Izo (Gitaris), Man Tobey (Bassis) dan Yazid (Drum). Nama kumpulan TRAGEDY kemudian ditukar kepada XPDC atas nasihat penerbitnya J.S.Kevin. Kumpulan XPDC mula mencipta nama dengan lagu ‘C.I.N.T.A’ ciptaan J.S.Kevin. Lagu tersebut terpilih ke final Juara Lagu 1990. Pengunduran Mael pada pertengahan 1990an mengundang kontroversi. Ironinya, album BRUTAL, album terakhir Mael bersama XPDC telah dijual melebihi 350,000 unit, satu pencapaian terbaik XPDC. Ketiadaan Mael memberi ruang kepada Ali bekas penyanyi TERRA ROSSA. Pada tahun 2006, XPDC kembali bergabung dengan anggota asalnya iaitu Mael dan Izo serta Zuar dan Amy yang pernah menggantikan anggota lain.

Pada 2015, XPDC dibarisi oleh Mael, Izo, Lola dan Eddie telah muncul dengan konsert ROCKESTRA XPDC : AKU MASIH DISINI yang diadakan di Stadium Merdeka bersempena menyambut ulang tahun ke 26 penubuhannya. Seterusnya, Mael membawa kembali Amy dan Zuar membentuk XPDC. tanpa Izo. Masalah timbul apabila dua kumpulan XPDC versi Mael dan Izo mempertahankan hak masing-masing untuk menggunakan nama XPDC. Kedua-dua kumpulan ini masih menggunakan nama yang sama dan mengadakan persembahan di seluruh negara. Menurut Life Records, hak dan nama XPDC adalah milik Life Records yang didaftarkan pada tahun 1998.

Sehingga kini XPDC masih aktif mengadakan persembahan pentas di seluruh tanahair. Mereka sinonim dengan gelaran ‘Raja Funfair’ dimana XPDC mendekatkan diri dengan peminat di tapak-tapak ekspo, dengan persembahan ‘live’ yang bertenaga sejak dahulu lagi. XPDC telah merakam 8 buah album studio sejak 1990. Walau pelbagai masalah melanda kumpulan XPDC, peminat tetap memberi sokongan kepada kedua-dua versi XPDC ini kerana mereka telah lama bertapak dan telah menjadi sebahagian dari legenda muzik Malaysia.

Untuk PUBLIC DISTORTION 2017 ini XPDC akan muncul dengan barisan anggota yang diterajui oleh Izo bersama Ali, Lola dan Eddie.

PUBLIC DISTORTION 2017

Persembahan selama 3 jam ini akan berlangsung pada Sabtu, 9 Disember 2017 di Oasis Square, Oasis Damansara, Ara Damansara, Petaling Jaya. Dua buah kumpulan rock berpengaruh iaitu PRIME DOMESTIC dan XPDC akan memanaskan pentas Oasis Square dalam sebuah ‘peperangan’ bunyi, rentak dan melodi yang pasti akan melontarkan gelombang PUBLIC DISTORTION kepada para penonton.

Walaupun PRIME DOMESTIC akan membuat persembahan bersempena kelahiran album sulung mereka PRIMA DOMESTIKA, tetapi nama nama yang membentuk PRIME DOMESTIC bukanlah calang calang pemuzik dan artis dalam arena muzik rock tempatan. ‘Repertoire’ dan kredibiliti mereka tidak perlu disangkal lagi. Sementara kumpulan XPDC pula sudah tentu sebuah kumpulan rock yang masih bertahan selepas 26 tahun dalam arena muzik rock tempatan. Kemampuan XPDC menarik ribuan peminat menonton persembahan ‘live’ mereka adalah sesuatu yang sudah terbukti.

Ramuan PRIME DOMESTIC yang muda tetapi matang bersama XPDC yang sinonim dengan persembahan ‘live’ di pentas terbuka seperti Oasis Square dijangka akan membina sebuah platform baru kepada arena muzik rock tempatan. Untuk merancakkan lagi PUBLIC DISTORTION 2017, pihak penganjur juga akan membawakan khas kepada para peminat, 2 orang legenda rock untuk bersama sama berkolaborasi dengan PRIME DOMESTIC dan XPDC. Perlu ditekankan, PUBLIC DISTORTION 2017 bukanlah sebuah ‘variety show’ tetapi sebuah persembahan kolaborasi antara 2 buah kumpulan rock dan 2 orang legenda rock yang pasti akan menggegarkan ribuan penonton di Oasis Square.

INFORMASI KONSERT

Butiran terkini berkenaan konsert PUBLIC DISTORTION 2017 boleh diperolehi melalui saluran saluran

berikut :

  • Applikasi PRIME DOMESTIC yang dibangunkan oleh Laiyon Interactive Sdn Bhd. Muat turun

  aplikasi ini menerusi Google Play untuk peranti Android dan App Store untuk peranti Apple.

  • Laman Facebook PRIME DOMESTIC
  • Laman Instagram PRIME DOMESTIC

INFORMASI TIKET

Senarai harga pakej tiket untuk belian ‘early bird’ sebelum 17 November 2017 :

Pakej 01         RM68.00         (tiket sahaja)

Pakej 02         RM83.00         (tiket dan CD Prima Domestika)

Pakej 03         RM113.00      (tiket, CD Prima Domestika dan kemeja T konsert)

Pakej 04         RM98.00         (tiket dan kemeja T konsert)

Pakej 05         RM200.00      (tiket ‘roof top’ dan jamuan ringan)

Senarai harga pakej tiket selepas 17 November 2017 :

Pakej 01         RM68.00         (tiket sahaja)

Pakej 05         RM200.00      (tiket ‘roof top’, kemeja T konsert dan jamuan ringan)

*semua tiket adalah ‘free standing’

Tiket tiket boleh diperolehi dengan melayari laman web :

www.ilassotickets.com atau menerusi talian hotline : 03- 2170 6333

Secara belian terus di :

ILasso Tickets Sdn Bhd

B 13-11, Level 13, Tower B,

Megan Avenue II,

12 Jalan Yap Kwan Seng

50450 Kuala Lumpur

Tiket tiket juga boleh diperolehi di kedai kedai berikut :

  • Rock Corner ( Mid Valley & Mega Mall)
  • Victoria Music Station (Amcorp Mall dan Sg Wang Plaza)
  • Hard Rock Cafe Kuala Lumpur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *