KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Indonesia, Kris Dayanti meluahkan rasa teruja untuk beraksi di Ultra Kalcer Malaysia 2026 kerana menganggap peminat di Malaysia sentiasa mendapat tempat istimewa dihatinya sejak dulu.
Festival muzik, Ultra Kalcer Malaysia 2026 yang bakal menggabungkan 19 artis dari Malaysia dan Indonesia itu bakal berlangsung di KL Festival Park pada 7 dan 8 November ini.
Menurut Kris Dayanti, 51, dia sangat menghargai undangan daripada penganjur Neptunes Presents untuk menjadi sebahagian daripada festival muzik terbabit.
Katanya, muzik adalah bahasa universal yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengenal batas negara, budaya mahupun generasi.
“Hubungan saya yang sudah terjalin dengan peminat di Malaysia sejak sekian lama juga antara sebab utama saya teruja untuk kembali beraksi di pentas tempatan.
“Jadi, apabila berpeluang untuk berkongsi pentas dalam sebuah festival muzik yang menghimpunkan pelbagai pemuzik dari dua negara serumpun pastinya saya sangat berbesar hati.
“Saya melihat kemunculan di festival muzik ini sebagai satu peluang untuk terus mengeratkan hubungan muzik dan budaya antara Indonesia dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kali terakhir, Kris Dayanti mengadakan konsert di Malaysia ialah menerusi Konsert Cinta Nostalgia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2025.
Mengulas lanjut, kata penyanyi yang namanya mula meledak menerusi lagu Menghitung Hari itu, dia mengakui tidak sabar untuk bertemu peminat di Malaysia dan merasai kemeriahan Ultra Kalcer Malaysia 2026.
Kata penyanyi jelita bervokal lantang dan memukau itu, setiap pertemuan dengan peminat di negara ini sentiasa meninggalkan kenangan tersendiri dan dia berharap kemunculannya kali ini turut mencipta momen yang tidak akan dilupakan.
“Saya akan memberikan persembahan yang terbaik dari segi vokal, penghayatan, tenaga mahupun interaksi dengan penonton.
“Saya mahu peminat di Malaysia pulang dengan membawa kenangan yang indah dan merasa puas dan berbaloi untuk hadir ke festival ini,” katanya.
Berkongsi persiapan pula, kata juara dua pingat emas di Kejohanan Kebangsaan Wushu Kungfu 2026 itu, dia memberi tumpuan dari segi latihan vokal, stamina dan kesihatan untuk memberikan yang terbaik pada persembahan.
Katanya, selain aspek teknikal, pemilihan lagu, susunan muzik dan interaksi dengan penonton turut menjadi perkara yang diberi perhatian.
“Persembahan yang baik bukan sekadar menyanyi tetapi bagaimana kita menyampaikan emosi dan mencipta pengalaman yang meninggalkan kesan pada penonton.
“Saya akan memastikan pemilihan lagu juga bersesuaian dengan suasana festival yang dinamik dan meriah supaya penonton boleh sama-sama menyanyi, menikmati muzik dan berasa dekat dengan saya sepanjang persembahan,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.
Selain Kris Dayanti, festival Ultra Kalcer Malaysia 2026 itu juga membariskan artis Indonesia dan Malaysia seperti Hindia, Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Romantic Echoes & The Moonlight Knights, Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.
Peminat masih boleh mendapatkan tiket bagi menyaksikan festival ini menerusi laman web www.bbo.events.com.
