(HIBURAN) ‘LANGIT CINTA’ TEMUI PENONTON JANUARI 2016!

image004

Kuala Lumpur, 25 November 2015 – Selepas kejayaan filem Polis Evo, Astro Shaw terus melangkah ke hadapan selaku penerbit filem yang mampu menjadi tonggak kepada industri perfileman tempatan. Bagi memastikan kejayaan itu diteruskan, Astro Shaw akan membuka tirai tahun 2016 dengan tayangan sebuah filem romantik drama, Langit Cinta arahan pengarah terkenal Osman Ali. Malah, Astro Shaw turut tampil dengan percaturan terbaru menerusi langkah promosi dan pemasaran secara menyeluruh menerusi trailer filem, muzik video, sesi jelajah, laman sesawang, novel adaptasi dari filem dan koleksi cenderahati eksklusif bagi memperluaskan promosinya kepada orang ramai.
Filem yang akan menggegarkan pawagam seluruh Malaysia bermula 7 Januari 2016 ini membariskan pelakon-pelakon terkemuka tanah air seperti Pelakon Wanita Terbaik FFM27, Nur Fazura, Keith Foo, Farid Kamil, Siti Saleha, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy), Datuk Jalaluddin Hassan, Dian P Ramlee, Nadzmi Adhwa, Normah Damanhuri, Zaidi Omar, Ammar Alfian, Aida Khalida dan ramai lagi.

Menurut Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, pihaknya yakin karya-karya tempatan masih berada di hati penonton. Pembaharuan dari segi penyusunan strategi promosi dan pemasaran secara menyeluruh kepada orang ramai yang ditampilkan menerusi filem Polis Evo sebelum ini telah membuktikan sekiranya karya itu bagus, berkualiti dan memenuhi kehendak dari segi promosi, mampu menggerakkan hati penonton untuk menonton di pawagam.

“Kami akui, sukar untuk menduga selera penonton. Bersaing dengan filem tempatan dan asing bukanlah perkara mudah. Namun, kami tidak pernah putus semangat untuk terus menyajikan filem pelbagai genre kepada penonton sebagai hiburan dan santapan rohani. Kami berharap agar industri perfileman tanah air akan terus mendapat sokongan daripada semua pihak, terutama rakan-rakan media serta penggemar filem”, tambah Najwa Abu Bakar lagi.

Bagi membangkitkan lagi momentum keterujaan penonton untuk menyaksikan filem ini promosi secara berterusan akan dijalankan. Selain menggunakan medium promosi seperti media sosial, cetak, elektronik, televisyen dan radio, pihak penerbit filem akan muncul dengan poster penuh dramatik dan menyiarkan trailer Langit Cinta di YouTube mulai 25 November 2015 serta di pawagam.

Salah satu promosi filem ini adalah dengan mengetengahkan OST filem yang berperanan mengangkat dan mempertaruhkan tema filem romantik. Ianya juga secara tidak langsung memberi input kepada peminat filem mengenai inti cerita filemnya melalui kapsyen yang dipaparkan. Lagu bergenre balada ini menerima sentuhan yang sama oleh pencipta lagu Ombak Rindu dan Untuk Cinta nyanyian Hafiz & Adira iaitu Nurzaidi Abd Rahman. Lagu yang berkisar tentang percintaan yang menuntut kesetiaan dan penantian ini dinyanyikan oleh Dayang Nurfaizah.

Manakala tempoh pembikinan muzik video ini hanya mengambil masa lebih kurang dua minggu sahaja untuk disiapkan. Muzik video tersebut merupakan muzik video lirik dan akan dimuat naik di laman web perkongsian video YouTube pada 25 November 2015.

Bahang filem Langit Cinta disemarakkan lagi dengan siri jelajah daripada barisan pelakon Langit Cinta. Siri jelajah mempromosikan Langit Cinta ini akan diadakan di empat buah negeri bermula 8 Januari 2016.

Siri jelajah ini akan bergerak di lokasi dan pada tarikh berikut:
Tarikh                                      Lokasi
8 & 9 Januari 2016                           Kedah & Penang
15 & 16 Januari 2016                         Johor & Melaka

 

Selain berhibur dan beramah mesra dengan para pelakon, orang ramai juga dapat menyertai pelbagai aktiviti menarik bersama bintang-bintang pujaan mereka. Lebih istimewanya lagi siri jelajah ini turut memberi peluang kepada peminat di luar sana untuk menonton bersama barisan pelakon. Peminat boleh dapatkan info mengenai tiket eksklusif ini menerusi laman sosial Astro Shaw.

Turut memperkenalkan laman sesawang Langit Cinta iaitu www.langitcinta.com. Para peminat boleh berinteraksi dan mengikuti perkembangan filem Langi Cinta di laman sesawang ini. Turut memudahkan peminat, segala info terbaru mengenai filem dan barisan pelakon Langit Cinta akan dipaparkan di dalam laman ini. Di samping itu klip video eksklusif, gambar di sebalik tabir, sinopsis filem, watak dan karakter lakonan serta reviu juga disediakan di laman sesawang Langit Cinta.

Menariknya, Astro Shaw turut membuat kelainan tersendiri dengan mengadaptasi filem ini ke sebuah novel. Novel berjudul Langit Cinta yang ditulis oleh penulis novel terkenal, Damya Hanna ini merupakan percubaan pertama buat Astro Shaw dan Alaf 21 di bawah naungan Grup Buku Karangkraf menjalinkan usahasama secara eksklusif untuk projek adaptasi ini.

Astro Shaw tidak ketinggalan menyediakan cenderahati eksklusif Langit Cinta buat peminat di luar sana. Para peminat filem dan terutamanya penggemar pengumpul koleksi cenderahati boleh dapatkan barangan eksklusif ini di sesi jelajah filem Langit Cinta.

Filem Langit Cinta ini turut mendapat tajaan daripada Jamu Mak Dara. Manakala, Alaf 21 di bawah naungan Grup Buku Karangkraf tampil selaku penerbit novel Langit Cinta.

Filem Langit Cinta mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis desa bernama Khadeja dalam penantian cinta sejati. Dia telah bertemu dengan Aliff, pemuda yang berasal dari sebuah keluarga berada dan sanggup melepaskan segala-galanya demi cintanya. Namun, cinta suci mereka telah ,ditentang oleh keluarga Aliff lalu memisahkan ikatan kasih sayang mereka. Khadeja terpaksa berjiwa kental untuk berdepan dengan pelbagai dugaan hidup meskipun Aliff tiada disisi. Di saat Khadeja hampir putus harapan pada cinta Aliff, Budiman menawarkan dirinya bagi merawat luka di hati Khadeja.

Nantikan filem Langit Cinta yang akan menemui para penonton melalui pawagam di seluruh negara, mulai 7 Januari 2016. Sila layari www.langitcinta.com dan www.facebook.com/AstroShaw serta laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta Youtube AstroShaw untuk berita dan informasi terkini.

Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #LangitCinta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *