(HIBURAN) Najwa Mahiaddin bakal tamatkan zaman bujang

Spread the love

najwa

Berita pertunangan penyanyi Najwa Mahiaddin, 28, dengan jejaka bernama Idris Koh Heng Hui, 29,   telah mengundang kejutan di kalangan  banyak pihak khususnya media serta peminat dunia seni tanah air.

Apatah lagi bila sebelum ini,  mereka tidak pernah menghidu langsung sebarang gosip,  hubungan atau kisah percintaan yang mengaitkan Najwa dengan pemuzik tersebut. Tidak seperti pasangan lain, hubungan serta kisah cinta Najwa Mahiaddin dengan Idris Koh, pemilik syarikat Le Koof Music juga seorang pemuzik dan ahli kumpulan Bassment Syndicate memang nyata agak berbeza.

Hubungan mereka pada awalnya bermula  sebagai kawan biasa dan setelah sekian lama mengenali sikap, karektor serta pemikiran masing-masing, akhirnya persahabatan yang kian lama terjalin itu bertukar menjadi  serius.

najwa bertunang

“Kami sebenarnya sudah kenal sejak 7 tahun yang lalu, tetapi hanya beberapa bulan yang lalu, baru  kami mula serius berkawan. “Segalanya bermula apabila dia (Idris Koh) meluahkan perasaan terhadap saya dan saya pula terfikir, mengapa tidak saya terima.

“Lagipun di kalangan rakan-rakan kami, memang ada yang bercinta dan kemudian mendirikan rumahtangga dengan kawan baik sendiri. “Alhamdulillah, keluarga saya mahu pun keluarga dua tidak halang dengan perhubungan kami. Lagipun, keluarga saya sendiri memang sudah lama kenal dengan Idris.

“Bila mereka tahu kami berkawan serius, mereka yang cadangkan supaya kami cepat-cepat tunang serta mendirikan rumahtangga,” kata Najwa yang kelihatan manis mengenakan busana biru lembut yang sedondon dengan Idris Koh.

Menurut Najwa lagi, dia menerima Idris Koh sebagai tunang dan bakal suaminya kerana kagum dengan karektor yang dimiliki lelaki itu. “Dia seorang yang amat bertanggungjawab, boleh mendengar apa yang saya kongsi atau luahkan dan senang untuk diajak berbincang atau berbicara.

“Kebetulan kami juga mempunyai visi yang sama di dalam muzik. Jadi, ia memudahkan lagi untuk kami berbincang atau merencana tentang hala tuju muzik dan apa jua bentuk persembahan,” kata Najwa yang turut menggunakan khidmat Najeeb Azami sebagai jurusolek. Dikenali dengan suara soul yang cukup powerful bersama rangkaian lagu-lagu yang meninggalkan kesan di hati penonton seperti Sweet October, You’ve Got To Go serta Seri Mersing, Najwa dengan Idris Koh telah melangsungkan pertunangan mereka pada 8 Disember lalu.

Majlis pertunangan mereka itu telah dilangsungkan di kediaman rasmi keluarga Najwa di Sri Satria, Putrajaya dengan dihadiri seramai 300 orang tetamu yang terdiri daripada kalangan ahli keluarga, sanak saudara serta rakan terdekat. Sebentuk cincin solitaire emas putih bertatah berlian telah disarungkan di jari manis kiri Najwa sebagai simbolik kepada pertunangan mereka. Dalam majlis itu juga, rombongan pihak lelaki telah menghantar 3 dulang hantaran berbalas 5 daripada pihak perempuan

Najwa yang baru saja menjayakan persembahan bersama Shanghai Symphony Orchestra bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Selangor di Kuala Lumpur Convention Centre serta Konsert Urbanscape  ini mengikat tali pertunangan bersama Idris Koh selama 3 bulan, sebelum melangsungkan majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan pada bulan Mac 2015.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *