(HIBURAN) PELANCARAN ALBUM ‘LIVE’ WINGS ROCKESTRA @ ISTANA BUDAYA & APLIKASI TELEFON PINTAR ‘WINGS MOBILE APP’

Spread the love

EZA_8659sharpSMALLgmo

Kumpulan WINGS yang dianggotai oleh Awie, Joe, Eddie dan Black cukup dikenali di kalangan para peminat muzik tanahair, samada yang mengikuti arus muzik rock ataupun tidak. Ditubuhkan 30 tahun lalu pada 1985 dan melahirkan album sulung BELENGGU IRAMA pada 1987, WINGS masih unggul sebagai sebuah kumpulan genre rock berpengaruh di Malaysia, Singapura dan Brunei serta pernah menembusi pasaran Indonesia.

AFQ_WINGS (5)

Sejak album pertama, jumlah keseluruhan jualan album mereka mencecah hampir 2 juta unit. Album studio ke 17 mereka, iaitu MENAKLUK KOSMOS telah diedarkan pada Mei 2014. Pada Oktober 2014, kumpulan WINGS telah mendapat Anugerah Khas di Anugerah Planet Muzik 2014 di Singapura diatas sumbangan mereka kepada arena muzik rock serantau.

Sehubungan itu, WINGS telah melancarkan siri konsert jelajah Menakluk Kosmos yang bermula di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 27 Disember 2014 dan di MITC, Melaka pada 31 Januari 2015. Kedua dua konsert tersebut telah menerima sambutan yang memberangsangkan dari para peminat. Mereka akan meneruskan siri konsert jelajah tersebut ke Terengganu, Sabah dan Sarawak. Konsert kemuncak akan diadakan di Kuala Lumpur pada penghujung 2015.

Sememangnya kredibiliti sebuah kumpulan rock diukur pada persembahan ‘live’ mereka. Kemampuan WINGS membuat persembahan ‘live’ tidak perlu dipersoalkan. Setiap konsert mereka samada kecil atau besar, di padang terbuka, dewan, stadium mahupun pusat hiburan sentiasa mendapat sambutan hangat.

Sejak 2010, WINGS agak kembali aktif dengan persembahan ‘live’ dalam beberapa siri konsert ‘Double Trouble’ hingga ke konsert solo ‘Opera Hidup Wings & Superfriends’ 2011 di Istana Budaya, ‘Wings Rockestra’ 2013 di Istana Budaya, ‘Wings Versi Tanpa Distortion’ 2014 di PICC Putrajaya, konsert jelajah ‘Menakluk Kosmos’ di Seberang Jaya dan Melaka serta yang terbaru konsert ‘Wings & Temasik Superfriends’ di Singapura pada Februari 2015.

Kebanyakan konsert tersebut telah dirakamkan visual dan audionya. Sempena tahun ke 30 penubuhan WINGS, adalah sesuatu yang amat bermakna untuk mereka menerbitkan DVD rakaman konsert kedua mereka di Istana Budaya iaitu ‘Wings Rockestra @ Istana Budaya bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan’ yang telah berlangsung pada April 2013.

Disamping itu, untuk terus berada di arena muzik rock serantau, WINGS perlu kekal relevan dan mengikuti arus teknologi serta ‘trend’ semasa. Kesedaran teknologi maklumat (IT) yang tinggi di kalangan ahli kumpulan WINGS dan tenaga produksi mereka, membawa kepada penghasilan satu produk yang jarang diusahakan oleh para artis tanahair, aplikasi WINGS untuk telefon pintar.

Dua produk tersebut iaitu album ‘live’ ‘Wings Rockestra 2013 @ Istana Budaya bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan’ dan aplikasi telefon pintar ‘WINGS Mobile App’ dilancarkan serentak oleh WINGS pada Khamis, 26 Februari 2015. Penghasilan produk produk sebegini sudah pasti mengangkat kumpulan WINGS ke satu penanda aras yang lebih tinggi dan perlu dijadikan cabaran dan rujukan buat generasi muzik yang lebih muda.

Rockestra Poster 17x24

ALBUM ‘LIVE’ WINGS ROCKESTRA @ ISTANA BUDAYA

BERSAMA ORKESTRA SIMFONI KEBANGSAAN

Konsert ini telah dirakam secara ‘live’ di Panggung Sari, Istana Budaya. Ini adalah konsert kedua WINGS di Istana Budaya selepas Opera Hidup Wings & Superfriends pada 2011. Dalam konsert Wings Rockestra @ Istana Budaya yang dipersembahkan dari 26 – 30 April 2013 dan telah ditonton oleh  hampir 7,000 orang ini, WINGS diiringi oleh 43 orang pemuzik professional dari Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipimpin oleh Sdr Mustafa Fuzer Nawi. Selain itu, Hillary Ang dan Ian Antonio, dua gitaris terkenal di rantau ini telah dijemput untuk satu segmen khas. Wings Rockestra @ Istana Budaya telah berjaya mencatat sejarah sebagai salah satu persembahan yang mendapat kutipan tiket tertinggi untuk sebuah konsert solo di Istana Budaya.

Rockestra DVD Cover 6

Diterbitkan dalam pek berkembar DVD dan CD Audio. DVD mengandungi 20 buah lagu manakala CD Audio mengandungi 16 buah lagu. Antara lagu lagu popular yang dirakamkan adalah Bujang Senang, Awang Trasher, Misteri Mimpi Syakilla, Taman Rashidah Utama dan Sejati. Ini adalah peluang terbaik para peminat WINGS yang tidak hadir menonton konsert tersebut untuk menyaksikan salah satu persembahan terbaik di Panggung Sari, Istana Budaya.

Konsert Wings Rockestra @ Istana Budaya mendapat kerjasama sepenuhnya dari Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Ketua Pengarah Istana Budaya, Dato’ Mohamed Juhari Shaarani dan kakitangan Istana Budaya serta penasihat korporat Dato’ Sohaimi Shahadan. Konsert ini diterbitkan oleh Anggerik Event Sdn Bhd dan aspek pengarahannya oleh Sdr Azmi Zainal Abidin.

Meminjam kata kata WINGS di dalam kulit album ini.

‘…..kami merasakan persembahan pada malam tersebut sama seperti saat-saat awal kami membuat persembahan pentas di sekitar Lembah Kelang dan di serata tanahair pada lewat 1980an. Masa telah berlalu dan kami menempuh kematangan seiring dengan para peminat kami…..’

Sesungguhnya kejayaan WINGS menghasilkan album ‘live’ ini diharap dapat memberi nafas baru kepada industri muzik tempatan. Ia juga membuka laluan kerjasama erat antara syarikat korporat dan penggiat industri muzik demi meningkatkan lagi kualiti persembahan ‘live’ para artis tanahair.

AFQ_WINGS (4)

APLIKASI TELEFON PINTAR ‘WINGS MOBILE APP’

Selari dengan gayahidup terkini, informasi tentang sesebuah kumpulan rock diperolehi di laman web, ‘facebook’ dan ‘instagram’. Media sosial sebegitu sudah menjadi lumrah pula pada dekad 2010an. Untuk mencari kelainan, WINGS melangkah lebih jauh dengan menghasilkan aplikasi telefon pintar yang dinamakan ‘WINGS Mobile App’. Aplikasi ini menjadikan keberadaan WINGS di alam siber lebih menarik sepertimana diamalkan oleh artis artis antarabangsa.

Ia dibangunkan oleh Laiyon Interactive Sdn Bhd di bawah kelolaan Pengarah Urusan, Sdr Jemizan Abu Bakar. Satu perkembangan terbaru penggunaan teknologi maklumat, dimana pertama kali aplikasi sebegini dihasilkan oleh artis tempatan. Aplikasi ini boleh dimuat turun berlandaskan sistem operasi IOS oleh Apple melalui App Store dan juga Android oleh Google melalui Play Store.

Aplikasi ‘WINGS Mobile App’ ini seakan ‘pusat sehenti’ kepada semua pautan yang berkaitan WINGS. Ia mempunyai pautan ke laman web rasmi Sayap Sayap Wings, laman ‘facebook’ rasmi WINGS, laman ‘instagram’ rasmi WINGS serta kepada iTunes Store bagi memudahkan pembelian ‘singles’ dan album WINGS melalui iTunes.

Selain pembelian ‘singles’ dan album, para peminat juga boleh mendapatkan barangan cenderahati WINGS seperti t-shirt, kemeja dan topi melalui pautan ‘store’ kepada ‘official merchandiser’ WINGS. Beberapa lagi ‘tab’ pada aplikasi ini adalah informasi tentang sejarah WINGS, biodata ahli kumpulan WINGS, berita terkini dan acara terkini, penjualan tiket konsert serta medan perkongsian foto dan informasi WINGS dengan para peminat.

Antara objektif aplikasi ini menurut Laiyon Interactive Sdn Bhd adalah membina satu aplikasi tempatan berlandaskan sistem operasi terbaru IOS dan Android, meningkatkan penjenamaan artis di ruang siber, meningkatkan populariti artis di media sosial, memberikan pulangan ekonomi kepada artis dengan meningkatkan jualan produk secara ‘online’, mengambil peluang keatas kadar penggunaan telefon pintar yang tinggi di Malaysia dan negara serantau serta menggunapakai secara optimum media sosial dalam perkembangan karier artis. Objektif tersebut jelas memberi impak yang positif kepada golongan artis. Dan peluang sebegini direbut oleh WINGS untuk memperkukuhkan lagi imej mereka dimata peminat dan industri muzik tempatan yang semakin kompleks dan mencabar.

Aplikasi ‘WINGS Mobile App’ bakal menjadi fenomena dan ‘trendsetter’ kepada industri muzik tempatan. Ia adalah pengalaman baru para peminat dalam mendapatkan informasi tentang WINGS dan melakukan pembelian produk WINGS. Aplikasi ‘WINGS Mobile App’ untuk sistem operasi IOS dan Android sudah sedia di muat turun pada hari sidang media 26 Februari 2015. Kata kunci untuk carian adalah ‘Wings Malaysian Rock Band’.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *