(HIBURAN) PEMBUKAAN GELANGGANG ‘SANGKAR’ DI PAWAGAM MULAI 29 OGOS 2019

Petaling Jaya, 21 Ogos 2019 – Pengarah prolifik Kabir Bhatia hadir dengan sebuah naskah aksi drama yang bakal menemui penonton mulai 29 Ogos di seluruh 143 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei. Tayangan perdana SANGKAR diadakan di pawagam mmCineplexes, eCurve Mutiara Damansara. Filem SANGKAR juga menampilkan 4 penerbit gergasi; Media Prima dan Astro – melalui bahagian penerbitan filem masing-masing, Primeworks Studios dan Astro Shaw – bersama produksi Infinitus Gold dan mm2 Entertainment.

SANGKAR juga melihat kembali gabungan antara Kabir Bhatia dan penulis skrip Mira Mustaffa yang pernah menghasilkan filem hebat seperti Cinta, Sepi, Nur Kasih The Movie dan Pulang. Buat pertama kalinya, penonton dapat menikmati sebuah karya mengagumkan daripada mereka berdua dalam filem MMA (Mixed Martial Arts) pertama di Malaysia, SANGKAR.

Menurut Kabir, “Ketika saya dihubungi untuk mengarahkan filem SANGKAR, saya difahamkan filem ini membabitkan bidang sukan lasak dan mempunyai struktur penceritaan tersendiri. Saya harus menggali ke dasar dan mencari apa yang membuatkan filem sukan lasak boleh diterima oleh para penonton. Kita tahu babak pertarungan adalah sangat penting, tetapi elemen yang menghubungkan kesemua watak dan penceritaan adalah bukan hanya sekadar pertarungan sahaja malah lebih pada itu. Saya mengimbas semula semua filem-filem yang bertemakan sukan lasak yang terbaik pernah saya tonton seperti Rocky dan Ali. Apa yang mereka ketengahkan bukanlah sekadar di dalam gelanggang itu sendiri, ianya lebih kepada kepercayaan diri sendiri dan hubungan dengan orang yang tersayang.”

“Di sebalik perlawanan hebat di dalam gelanggang yang dipaparkan di dalam SANGKAR, apa yang kami cuba ketengahkan adalah tentang dua orang lelaki yang berjuang di luar gelanggang untuk melepaskan diri dari belenggu dari anasir negatif dalam dirinya sendiri. Mereka berubah ke arah yang lebih baik dengan berjuang untuk diri dan maruah mereka. Pihak penerbit juga bersetuju dan mahu ketengahkan lagi mesej dan nilai positif ini”. Tambahnya lagi, “Cabaran utama saya adalah untuk menggarap sesuatu yang kisah yang luar biasa dan mempunyai sebuah penceritaan yang kuat. Penulis skrip dan tenaga produksi juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan idea yang cukup bernas dan segar di mana dua karektor mempunyai cara dan kehidupan yang berbeza tetapi bertemu dalam satu situasi di luar gelanggang yang tidak dijangka dan itulah merupakan nadi utama kepada SANGKAR.”

Apabila berbicara tentang harapan seorang sutradara, Kabir menyifatkan seorang pengarah sudah tentu mempunyai harapan yang terlalu tinggi dalam apa jua naskah yang dihasilkan. “Namun saya menyerahkan kepada penonton untuk menilai dan paling penting saya mengharapkan penonton terhibur dengan filem SANGKAR disamping memberi pengajaran yang baik untuk dikongsi bersama. Para penonton harus menonton filem ini kerana ianya sebuah filem yang bagus dari hasil kerjasama pelakon dan produksi yang hebat.”

SANGKAR dibintangi oleh Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah, Fadlan Hazim, Ray Johara, Adam Mika, Aman Graseka, Carliff Carleel dan Andy Teh dengan penampilan khas oleh atlet profesional MMA iaitu James “Sledgehammer” McSweeney. Pelakon-pelakon lain yang turut membintangi filem ini adalah seperti Niezam Zaidi, Zarul Al-Bakri, Emelda Rosemila, Rashid Salleh dan Peter Davis.

Pengurus Besar Filem dan Drama Primeworks Studios, Puan Nor Shahila Harun Shah berkata, “SANGKAR adalah sebuah filem aksi-drama luar biasa yang sangat menarik dan mengujakan. Dari segi jalan penceritaan pula, ianya sangat mengagumkan dalam mewujudkan keserasian semua watak dan adegan pertarungannya yang sememangnya sengit dan mendebarkan. Gabungan hebat dua orang “Hero Malaya” Zul Ariffin dan Remy Ishak yang tidak boleh disangkal lagi begitu juga dengan Mira Filzah akan memberikan lagi jiwa kepada filem hebat ini. Perjalanan kerohanian yang penuh inspirasi, pengorbanan dan harapan, membuatkan lagi filem ini cukup dengan rencah kehidupan termasuk dari sisi keinsafan dan kekeluargaan. Filem yang sangat bagus untuk tatapan seisi keluarga!”.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Arshad berkata, “Melalui SANGKAR, Kabir Bhatia telah membuktikan beliau seorang pengarah yang bukan hanya mampu mengarah sesebuah genre sahaja, malah lebih dari itu. Beliau telah mempersembahkan satu karya yang menghiburkan dan tinggi nilai produksi. Kami amat yakin kekuatan nilai komersial yang ada dalam naskhah ini sebagai sebuah filem MMA Melayu Pertama di Malaysia, akan meninggalkan impak buat penggemar filem tempatan. Kami berasa teruja apabila menjadi jentera utama dalam aspek pemasaran dan pengedaran dalam merangka strategi bersama-sama Primeworks Studios, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment, sekali gus berharap ia yang menjadi satu tanda aras kepada industri filem tempatan.”

Pengarah Urusan & Penerbit Eksekutif, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, “SANGKAR adalah sebuah filem yang mempunyai jiwa yang gah dan semangat yang sangat tinggi. Filem SANGKAR ini semestinya dapat memberi kepuasan bukan sahaja dari sudut komersial malah dari segi kekuatan penceritaan seterusnya membuat penonton jatuh cinta kepada filem SANGKAR. Dengan tayangan yang melebihi 140 pawagam di Malaysia dan negara serantau, kami juga berharap filem ini dapat memberikan impak yang positif kepada penonton di Malaysia dan kami juga yakin filem ini dapat menambat hati penonton antarabangsa dengan nilai penceritaan yang universal berdasarkan kekeluargaan, pengorbanan, persahabatan dan perjuangan.”

Pengurus Besar, North Asia, mm2 Entertainment, Angelin Ong berkata, “Jarang sesebuah filem boleh menghidangkan satu naskhah yang lengkap nilai hiburan yang tersendiri dan nilai-nilai positif pada satu-satu karya, namun SANGKAR mewakili kedua-dua elemen itu. Sebuah filem yang berani membawa aksi yang terbaik, konflik drama yang hebat dan hasil lakonan yang memberangsangkan. Kami menghasilkan filem SANGKAR yang mempunyai skala kualiti yang tinggi dan mampu mencapai tahap pecah panggung.”

Sementara itu, lagu tema yang mengiringi filem ini berjudul ‘Fighter’ dan dinyanyikan oleh ‘rapper’ popular, Aman RA. Lagu berentak ‘upbeat’ ini telah mendapat sentuhan lirik oleh Aman RA dan diterbitkan oleh Navigator dan Aman RA.  Lagu ini boleh didengarkan di semua platform digital.

Album runut bunyi filem SANGKAR juga bakal menampilkan tiga lagu baru yang memperkenalkan bakat baru dalam arena ‘hip-hop’ tempatan, iaitu Dinho, DeLaFlare, Mali & SXPH (“Sangkar”), NtahSape2Ntah (“Luar Biasa”) dan 000 & Kid Raww (“Jangan”). Lagu-lagu ini pula akan berada di semua platform digital dari 23 Ogos 2019. Skor muzik filem digubah oleh komposer terkenal, Luka Kuncevic.

Siri jelajah SANGKAR akan diadakan di beberapa buah negeri mulai 30 Ogos:

Tarikh Lokasi
30 Ogos & 1-Sep Kedah, Penang, Perak
6-8 Sep Johor, Melaka
14-15 Sep Lembah Klang

Nantikan filem SANGKAR yang akan menemui para penonton melalui 143 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 29 Ogos 2019. Layari laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta YouTube Primeworks Studios, Astro Shaw, InfinitusFilmsMY dan mm2 Entertainment Malaysia untuk berita dan informasi terkini. Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #SangkarMovie bagi berkongsi ulasan tentang filem ini.

SANGKAR turut mendapat tajaan daripada NASA & Stop Oil selaku penaja platinum dan penaja lain adalah ONE Championship, F&N, Venum dan Under Armour.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *