(HIBURAN) PENGANJURAN KONSERT KENANG JASA THE LEGEND 40 TAHUN ROSLI MOHALIM

Spread the love

Rosli Mohalim atau nama sebenarnya, Rosli Bin Dollah dilahirkan pada 30 September 1954 dan kini berusia 65 tahun. Beliau adalah pemain gitar utama kumpulan rock terkenal, Sweet Charity yang popular menerusi lagu Teratai, Zakiah, Jangan Tunggu Lama-Lama dan banyak lagi.

Rosli Mohalim menjejakkan kaki dalam industri hiburan dengan menyertai kumpulan kugiran di era 1960-an, The Honey Beats melalui bapa angkatnya, Encik Awang Bakar di Singapura.

Pada mulanya Rosli Mohalim cenderung untuk bermain dram dan selepas lulus peperiksaan di Sekolah Rendah Clemanti pada 1967, bapa angkatnya menghadiahkan sebuah gitar akustik jenama Rossini.

Sebaik lulus pula pengajian dalam jurusan Seni Halus di Nanyang Academy di Bencoolen Street, Singapura pada 1975, Rosli Mohalim akhirnya menyertai kumpulan Sweet Charity pada 1977.

Biarpun bakatnya ketika awal terarah pada posisi sebagai pemain dram, dia bagaimanapun memberi tumpuan sebagai pemain gitar selepas menyertai kumpulan itu.

Lebih 40 tahun bergelar anak seni dengan memperjuangkan genre blues, pop dan rock, Rosli Mohalim kini boleh berbangga apabila memiliki 10 album selain menjayakan empat konsert mega.

Berikut adalah senarai album yang dimiliki.

Sweet Charity (1979)

Pelarian (1980)

Sejuta Wajah (1981)

Penunggu (1982)

Batu (1983)

Berita Gempa (1985)

Sweet Charity 88 (1988)

Koleksi Sweet Charity (1984)

Koleksi Terbaik Wings/Sweet Charity (1988)

Pilihan Terbaik 1979-85 (1988)

Konsert:

Konsert Reunion Sejuta Wajah di Singapura pada 1995

Konsert Reunion Sejuta Wajah di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 1996
Konsert “Tribute to Sweet Charity” di Singapura pada 1999

Konsert “Malaysian Moto GP” di Litar Antarabangsa Sepang pada 2000

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya dalam industri seni tanah air, Semangat Zaman Muzik dengan sokongan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) menganjurkan Konsert The Legend 40 Tahun Rosli Mohalim bagi menghargainya.

Berlangsung di Panggung Asia, Gombak, Selangor pada 29 November 2019, konsert dua jam bermula 9 malam hingga 11 malam memberi peluang kepada peminat untuk mendengar semula petikan gitar yang akan dipersembahkan oleh Rosli Mohalim.

Pada konsert ini, sebanyak 17 lagu akan dinyanyikan oleh tujuh penyanyi tempatan antaranya Zamani, Yabang Khalifah, Ameng Spring, Yazz Abdullah, Ammy Fara dan Zetty Rashid.

Konsert ini juga membawakan penampilan khas penyanyi jemputan, Bob Sentuhan Busker yang terkenal dengan persembahan jalanan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dalam konsert ini, 12 lagu yang dimainkan adalah lagu terdahulu ciptaan Rosli Mohalim dan majlis sama menyaksikan empat lagu baharu akan dilancarkan di hadapan peminat.

Empat lagu itu adalah Ingkar dan Racun nyanyian Yazz Abdullah serta Hilang Gelap dan Negara Tercinta nyanyian Bob.

Bagi menghiburkan peminat rock, Rosli Mohalim juga mempersembahkan lagu Burn nyanyian asal Deep Purple untuk mereka.

Konsert ini mencipta kelainan tersendiri apabila Zamani buat pertama kali akan menyanyikan lagu Aku Ingin Berkata dan Sejuta Wajah, yang mana secara kebiasaan penyanyi itu menghiburkan peminat menerusi lagu popular kumpulan Slam.

Antara lagu lain dipersembahkan adalah lagu yang dekat dihati peminat iaitu Teratai, Kamelia, Sejuta Wajah, Jangan Tunggu Lama Lama, Aku Ingin Berkata dan Mawar Merah.

Melalui jualan tiket konsert ini, pihak penganjur juga berbesar hati untuk memberi sumbangan kepada bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia dan Kosmo yang diberhentikan kerja baru-baru ini akibat masalah syarikat. Sumbangan melalui Tabung Khas IRAMA diharapkan dapat membantu kehidupan mereka yang berdepan perit getir.

Senarai lagu yang dipersembahkan:

Zamani -Aku Ingin Berkata
-Sejuta Wajah

Ameng -Di Manakah Salahku
-Jangan Tunggu Lama Lama

Yabang -Satu Malam
-Zakiah

Zetty -Jangan Laju Laju
-Terasa

Ammy Fara -Mawar Merah
-Nafas Cinta

Yazz -Ingkar (lagu baharu)
-Racun (lagu baharu)

Bob -Hilang Gelap (lagu baharu)
-Negara Tercinta (lagu baharu)
-Burn (lagu Deep Purple)

Semua penyanyi -Teratai
-Kamelia

TERIMA KASIH ROSLI MOHALIM, 42 TAHUN BERBAKTI


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *