(HIBURAN) Penyanyi Rap SonaOne Mengikuti The Ultimate BROcation – Siri Realiti Terbaharu KIX XD Menggambarkan SonaOne dan Tiga Selebriti Lelaki Asia Lain dalam Pengembaraan Hebat di Hong Kong

Spread the love

the-ultimate-brocation_cast

Kuala Lumpur, SonaOne, penyanyi rap dan pemenang anugerah berbakat besar dari Malaysia yang juga artis grafiti, penulis lagu dan penerbit, tiba di Hong Kong baru-baru ini untuk menjalani penggambaran The Ultimate BROcation, sebuah siri realiti televisyen terbaharu yang dihasilkan oleh saluran TV aksi hiburan KIX HD (Saluran Astro 729). The Ultimate BROcation akan memaparkan aksi lucu dan keriuhan SonaOne dan tiga selebriti lelaki Asia lain sepanjang pengembaraan mereka di Hong Kong sebagai destinasi percutian yang menyeronokkan bagi kaum lelaki.

Terkenal dengan lagu hitnya, No More yang telah memenangi kategori ‘Lagu Terbaik’ dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 2014 dan lagu Apa Khabar yang mendapat tempat pertama dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) 29 sebulan selepas itu, SonaOne akan menyuntik rentak tersendiri ke dalam ritma pengembaraan di Hong Kong bersama rakan-rakan baharunya: penyanyi, penari dan pelakon Filipina-Amerika, Billy Crawford; hos TV dan radio terkenal di Thailand, DJ PK; dan chef handalan dan pemilik restoran dari Singapura, Bjorn Shen.

The Ultimate BROcation merupakan siri realiti lima episod yang mengikuti pengembaraan empat selebriti lelaki di Hong Kong dalam percutian yang menjadi idaman setiap lelaki. Rancangan ini akan dipenuhi dengan parti, aktiviti menyeronokkan, hidangan lazat, gadis cantik, gajet hebat dan hubungan persahabatan empat sekawan. Keempat-empat selebriti ini bermula sebagai orang asing, tetapi mereka bakal menjadi sahabat baik setelah mengikuti percutian “brocation” bersama. Turut menyertai mereka adalah pelakon kung-fu terkenal dari Hong Kong, Philip Ng, yang bakal membuat penampilan istimewa. Bintang drama TV A Fist Within Four Walls dan filem aksi epik Once Upon A Time In Shanghai ini akan memperkenalkan bandarnya dan turut menjadi penasihat mereka sepanjang percutian ini.

“Saya suka mengembara dan menerokai tempat baharu untuk mencari pengalaman dan mendapatkan  sumber inspirasi. Saya teruja untuk melihat sendiri keunikan Hong Kong dan saya tahu ianya pasti menghiburkan. Mungkin pengalaman berjumpa orang baharu dan melawat tempat-tempat menarik di sini dapat memberi saya inspirasi untuk projek seterusnya,” kata SonaOne. “Saya juga teruja untuk bercuti bersama rakan-rakan baharu saya; pastinya  kami semua dapat mempelajari banyak perkara daripada satu sama lain – saya ingin mengetahui tentang makanan daripada Bjorn atau belajar bahasa Thai dengan PK!”

SonaOne, atau nama sebenarnya Mikael Adam Lozach, berketurunan Melayu-Perancis. Keluarganya kerap berpindah sewaktu zaman mudanya dan pernah menetap di Sepanyol, Jepun dan Perancis sebelum akhirnya kembali ke Malaysia, dan pengalaman-pengalaman inilah yang telah memberi banyak inspirasi kepadanya. Minat yang tinggi dalam kerjayanya serta perwatakannya yang ceria dan suka mengembara membuatkan sesiapa sahaja senang berkawan dengan SonaOne.

The Ultimate BROcation diterbitkan oleh syarikat induk KIX HD, Celestial Tiger Entertainment – pengendali saluran-saluran pan-Asia yang menumpukan kepada hiburan Asia – dan Endemol Shine Group, penerbit global yang menghasilkan siri yang memenangi anugerah, MasterChef Asia dan Big Brother. Rancangan ini disokong oleh Hong Kong Tourism Board, dengan penaja Cathay Pacific dan Harbour Grand Hong Kong. The Ultimate BROcation akan ditayangkan buat pertama kali secara eksklusif di KIX HD (Saluran Astro 729).


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *