Pop Krew sebuah rancangan realiti terbaharu di TV9 yang disegarkan oleh Sprite sebagai penaja utama. 36 Peserta paling berbakat yang boleh menyanyi dan menari telah terpilih. Saksikan kehebatan mereka di arena Pop Krew yang bakal bersiaran di minggu perdana pada 14 dan 15 November ini. Episod pertama Pop Krew pada 14 November ini akan memaparkan sesi ujibakat dan boot camp yang telahpun dijalankan di tiga lokasi terpilih iaitu Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dan juga mereka akan mula berentap mengikut kumpulan yang telah ditetapkan oleh Coach. Konsert mingguan Pop Krew akan bersiaran pada setiap hari Sabtu, jam 8.30 malam.
Apa yang membezakan Pop Krew dengan rancangan realiti yang lain adalah pilihan umur dari 15 hingga 19 tahun itu jarang diberikan perhatian dan Pop Krew merupakan yang pertama memberi ruang buat bakat muda ini untuk memperlihatkan bakat mereka. Melalui pengalaman terdahulu dalam menerbitkan rancangan hiburan yang membabitkan golongan muda seperti Idola Kecil, kami berpendapat bakat yang lahir daripada mereka adalah lebih jujur dan mereka sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan persembahan yang terbaik.
Menurut Pengurus Besar TV9, Puan Zurina Othman “Penjelajahan kami ke tiga lokasi seperti Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur berjaya mencungkil 36 peserta terbaik yang amat berbakat. Walaupun Pop Krew hanya menjelajah ke tiga buah lokasi, namun kami berpuas hati kerana para peserta yang hadir menampilkan vokal mereka yang berkualiti. Ini memberi kesukaran kepada pihak penerbitan terutamanya para juri untuk membuat pemilihan. Kejayaan mereka bukan sahaja berdasarkan vokal, malahan kehandalan serta kemahiran mereka dalam bidang tarian dan berkebolehan untuk bermain alat muzik juga turut diambil kira.”
Sementara itu, menurut Shrenik Dasani, Pengurus Pemasaran Sprite – Sparkling Flavours & Isotonics, “Tahun lalu, Showdown merupakan projek kerjasama pertama di antara Media Prima dan Sprite. Melalui Showdown, kami berpeluang untuk menyediakan satu platform buat remaja Malaysia untuk mengekspresikan diri mereka yang sebenarnya melalui tarian. Sehubungan itu, kami ingin merealisasikan impian mereka ke tahap yang lebih tinggi, dan merasakan Pop Krew adalah peluang yang sangat sesuai bagi kami untuk terus bekerjasama dengan Media Prima Berhad. Pop Krew adalah lebih daripada sekadar menari di mana ianya adalah kombinasi nyanyian dan persembahan dengan bimbingan selebriti tempatan dalam industri hiburan. Mereka hanya mempunyai peluang sekali dalam seumur hidup untuk menjadi bintang dengan pakej yang lengkap! Sprite sangat komited untuk mewujudkan peluang ini buat golongan remaja untuk menunjukkan kreativiti mereka dan ianya amat bersesuaian dengan imej kami yang ingin membebaskan mereka daripada dahaga supaya mereka dapat mengekspresikan diri mereka yang sebenarnya; dan kami berharap dapat terus memberi inspirasi kepada mereka menerusi Pop Krew”.
Pop Krew juga turut dihangatkan lagi dengan Hot FM sebagai Geng Radio. Hot FM juga akan turut mempromosikan kesemua peserta Pop Krew dengan mengadakan temubual mingguan secara ekslusif dan pelbagai aktiviti-aktiviti lain selama 1 jam dalam segmen Hot FM Zon yang ke udara pada setiap hari Jumaat dari jam 9 malam hingga 12 malam.
Dua Coach (jurulatih) telah dipertanggungjawab untuk mendidik 36 peserta Pop Krew yang terpilih bagi menggilap bakat nyanyian dan tarian mereka agar berjaya menjadi penghibur yang lengkap dengan aura lengkap dan berkebolehan.
Tomok dan Stacy akan menggalas tugas sebagai Coach untuk memastikan para peserta tampil dengan persembahan yang mantap serta menghiburkan bagi konsert mingguan Pop Krew. Juri tetap yang akan mengadili setiap persembahan peserta pula digalas oleh Edry Abdul Halim dan Altimet. Fuzzwayne dan Dennis Yin daripada kumpulan EleColdxHot akan bertindak sebagai koroegrafer dan AG Coco pula diberi tanggungjawab besar sebagai pengarah muzik bagi memantapkan lagi barisan “Top Krew” (tenaga pengajar) yang akan menyerlahkan lagi bakat seorang bintang pop yang tersembunyi dalam diri para peserta Pop Krew.
Pop Krew akan dihoskan oleh Nana Mahazan, manakala Deen Hot FM akan bertindak sebagai pengacara bersama dalam konsert mingguan untuk mengulas tentang apa yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas. Pemenang Pop Krew akan membawa pulang hadiah wang tunai RM50, 000 dan juga kontrak bersama 8 Unit dan Monkey Bone selama setahun. Ketahui juga tentang maklumat terkini Pop Krew menerusi geng radio Hot FM bersama Haziq dan Deen pada setiap Isnin hingga Jumaat dalam segmen Zon Pop Krew dari jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam. Penonton juga boleh layari www.tv9.com.my dan ikuti media sosial kami di facebook/TV9DiHatiku, twitter dan instagram @tv9Malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Pop Krew.