(HIBURAN) SPIDERAYA JADI PERAYAAN ANTI GRAVITI TANGGAL 26 SEPTEMBER 2026

Spread the love

KUALA LUMPUR – Kumpulan Spider memang macam ‘Aladin’ moden. Tanpa perlu ‘Relaku Pujuk’, cukup untuk sebuah pengumuman Spider bakal mengadakan konsert dalam skala besar, semua peminat kugiran yang terkenal dengan muzik rock dan ska ini akan menjadi ‘KitaSatu’.

Konsert dalam skala besar malah berita yang mengujakan buat peminat sementalah sepangang lebih tiga dekad menekuni belantika muzik tempatan serta diiktiraf dengan pelbagai anugerah, ini kali pertama menyaksikan Spider akan berpesta dengan sebuah perayaan yang menghimpunkan ‘Suka Duka Kita’.

Diberi nama Spideraya, ia bukan sebuah konsert yang ‘Mungkinkah Terjadi’ tetapi memang akan terjadi yang telah lama menjadi ‘Nazrakui’ buat empat anggota Spider iaitu Tam, Aie,Iss dan Pown.

Spideraya bakal menemui peminat pada 26 September 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula pukul 8.30 malam.

Penganjur, B7 Resources San Bhd menyifatkan penganjuran Spideraya sebagai sebuah peristiwa ‘Ajaib’ yang tidak boleh dilaksanakan ‘Tak Esok Lusa’.

“Kami di B7 Resources Son Bhd tidak memerlukan alasan yang lebih besar daripada jenama Spider itu sendiri untuk menganjurkan Spideraya pada 26 September 2026 ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

“Spider adalah kugiran legenda tanah air. Katalog muzik mereka daripada zaman album Ngam Ho di tahun 1998 sehingga Ankabut yang lahir pada 2016, sekitar 10 tahun lalu masih relevan sehingga satu dekad kini tanpa karya baharu.

“Spider juga tidak perlu ‘menjual’ kugiran dan karya mereka dengan terlalu ‘keras’ tetapi melalui kualiti dan kredbiliti mereka, Spider terus menjadi salah sebuah kugiran terbaik yang ada dalam ranah muzik tanah air.

“Dan dengan beberapa siri penganjuran konsert Spider yang ‘pecah’ sebelum ini, B7 Resources Sdn Bhd sangat teruja dan tidak sabar dengan penganjuran Spideraya yang dijadual berlangsung pada 26 September 2026,” ujar Khairul Afizi (Khai) wakil  B7 Resources Sdh Bhd.

Menurut Khai lagi, nama Spideraya dipilih sebagai lambang perayaan fasa dan evolusi muzik kugiran kelahiran Johor Bahru ini selama lebih 30 tahun bersama peminat.

“Kami percaya baik gen Milenial sehingga gen Z, semua pernah mendengar Aladin, Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi atau Kacap Terlabik.

“Maka Spideraya menggambarkan keseluruhan fasa karya Spider sejak 30 tahun lalu yang masih malar segar dan relevan. Paling penting, Spider masih menjadi salah satu kugiran terbaik tanah air yang layak diraikan menerusi sebuah konsert berskala besar seperti ini,” kata Khai lagi.

Sementara Spider menyifatkan tawaran yang diberi B7 Resources memiliki misi dan visi yang sama dengan kugiran mereka yang sudah bergelumang dengan sepak terajang dunia seni.

Vokalisnya, Tam menyatakan persetujuan yang dibuat Spider untuk Spideraya pada 26 September 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil telah dipertimbang dan diperhalusi dengan baik. Spideraya bukan sekadar sebuah konsert tetapi bakal menjadi salah satu sejarah penganjuran terbaik buat semua pihak.

“Visi dan misi yang dibawa B7 Resources dalam penganjuran Spideraya sangat selari dengan Spider. Menghiburkan peminat atau mengadakan sebuah persembahan tanpa meninggalkan impak yang besar dan sejarah dalam industri hiburan itu mungkin mudah.

“Tetapi apa yang Spider selalu pentingkan dalam setiap kemunculan kami selama berkarya ini adalah bagaimana kesan baik yang ditinggalkan bukan sahaja kepada kami atau peminat tetapi keseluruhan industri hiburan.

“Kerana walaupun ini adalah industri hiburan tetapi Spider adalah pemain industri yang serius. Maka kami serius dalam setiap kerja yang dilakukan, apa lagi membabitkan penganjuran konsert berskala besar seperti Spideraya yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, 26 September 2026.

“Spider akan membawakan konsep ‘perayaan’ yang tidak akan pernah dilupakan,” ujar Tam.

Buat peminat, tiket-tiket dengan kategori ALADIN (RM158), KITA SATU (RM148), NGAM HO (RM168), ANKABUT (RM208), BINTANG 12 (RM238), NAZRAKU (RM268) boleh dibeli menerusi https://www.ticket2u.com.my/spideraya.

‘Waduh! Tijah’, kalau terlepas beli jangan ‘Phobia’. Maka pastikan anda tidak ‘Lengit’ dalam ‘perang beli tiket Spideraya. Kalau dapat beli, memang Spider ‘Salut’. Sampai jumpa di Spideraya di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 26 September 2026 ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *