(HIBURAN) TARUHAN SULUNG BAND MADAM MENERUSI SINGLE ‘LUKA’

Buat julung-julung kalinya Rocketfuel Entertainment dengan bangganya memperkenalkann band pertama di bawah naungan mereka, MADAM – dianggotai empat anak muda berbakat besar yang terdiri daripada Putera selaku vokalis, Azuan selaku pemain bass, Herman selaku pemain dram dan Fadhil selaku pemain gitar muncul dengan single sulung mereka yang berjudul ‘Luka’ yang dicipta sepenuhnya oleh komposer terkenal iaitu saudara Ziin atau lebih dikenali dengan panggilan Zimi.

Walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19 dan sedang berada dalam fasa pemulihan, ini sedikit pun tidak mematahkan semangat band MADAM untuk terus mengorak langkah sebagai band baharu di persada muzik tanah air,

“Kami sudah lama merencanakan pelancaran single Luka ini tetapi apakan daya, negara dilanda wabak COVID-19 dan kami terpaksa akur dengan perintah dan saranan kerajaan. Akan tetapi perjuangan tetap diteruskan dan kami memilih tarikh 3 Julai untuk melancarkan single Luka sekaligus memperkenalkan band MADAM secara rasminya kepada rakyat Malaysia,” jelas Putera.

MADAM yang membawa maksud ‘Men of Another Day, Another Music’ merupakan sebuah band yang mempertaruhkan pelbagai jenis genre muzik, di antaranya adalah rock moden dengan mengimbau kembali nostalgia band-band rock terkemuka yang pernah popular suatu ketika dahulu seperti kumpulan Ekamatra, Mega dan seangkatan dengannya tetapi diberikan suntikan nafas masa kini,

“Sebenarnya band MADAM telah pun ditubuhkan pada penghujung tahun 2019 lagi, keempat-empat mereka sering menjadi pemain muzik iringan Rocketfuel Entertainment dan pada masa yang sama ingin menubuhkan kumpulan mereka sendiri, saya menerima baik idea Putera dan ini merupakan percubaan empat sahabat dalam mengembangkan bakat mereka sebagai anak seni dan ternyata keharmonian yang ditunjukkan sangat jitu dan saya percaya band ini boleh pergi lebih jauh,” ujar Feros Sayna, Ketua Label Rocketfuel Entertainment.

Single ini telah dirakamkan di Pro Studio, Cheras dan mengambil masa selama sebulan untuk dihasilkan, Azuan berkata, “Lagu Luka berkisar tentang seorang jejaka yang sedang berusaha untuk meneruskan kehidupan setelah ditinggalkan kekasihnya dan cuba melupakan setiap kenangan mereka bersama apatah lagi kini bekas kekasihnya telah pun bahagia dengan orang lain namun ia ternyata sukar kerana terlalu banyak kenangan yang dilalui bersama dan bayangan yang kerap menghantui jejaka tersebut.”

Kemunculan band MADAM sememangnya memeriahkan lagi industri muzik tempatan dan pastinya mendapat tempat di kalangan penggemar muzik, uniknya Herman mempunyai alasan mengapa MADAM harus diberi perhatian,

“Saya percaya dengan kekuatan MADAM kerana selain dari kualiti persembahan muzik dan vokal, setiap daripada kami amat mementingkan penyampaian rasa dalam lagu supaya setiap karya yang disampaikan buat pendengar di luar sana dapat kekal dalam ingatan.”

“Kami berharap agar single pertama ini dapat mencuri perhatian seluruh warga pendengar dan peminat muzik rock moden khususnya, seterusnya memberi impak dalam industri muzik tempatan dan menjadi batu loncatan buat kami untuk terus muncul dengan karya-karya yang lebih baik pada masa akan datang,” luah Fadhil.

Lagu ‘Luka’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik dan muzik lagu ‘Luka’ ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *