(HIBURAN) ‘THE EXPERTS’, ‘PROJEK : KAHAR’ DAN ‘SYERIF’ ANTARA FILEM DARI ASTRO SHAW TAHUN INI

Spread the love

Kuala Lumpur, 13 Februari 2024 – Astro Shaw kini bersedia untuk satu lagi tahun yang mengujakan! Untuk 2024, Shaw membariskan filem-filem hebat berbeza genre seperti aksi blockbuster, seram, muzikal komedi dan drama. Malah, kami juga sedang dalam perancangan untuk menerbitkan prekuel daripada sebuah francais popular. Filem yang menanti penonton di pawagam tahun ini adalah  Syerif, The Experts, Baik Punya Ah Long, Gold, Khawarij dan Projek: Kahar.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Alhamdulillah, tahun lalu filem-filem terbitan kami menerima sambutan positif dan antaranya adalah  kejayaan Polis Evo 3 yang meraih RM54 juta. Justeru ia menjadi pemangkin untuk kami terus melangkah. Tahun ini bakal menjadi satu lagi tahun yang agresif buat Astro Shaw dengan mempersembahkan variasi filem menarik yang dibarisi para pelakon hebat tanah air serta membabitkan pengarah terkemuka.”

“Memahami cita rasa penonton adalah berbeza, kami meletakkan fokus kepada enam filem yang mampu mensasarkan peningkatan pengalaman luar biasa dengan idea cerita yang segar, sekali gus memacu ke arah objektif kami untuk memperhebatkan filem tempatan setanding karya luar negara.”

Selaras dengan usaha tersebut, Astro Shaw mengukuhkan kerjasama strategik bersama penerbit dan produksi seperti Skop Productions, Act 2 Pictures, Pasal Productions, BlackFlag dan rakan kerjasama baru seperti President Productions dan Petra Vision Works. Kolaborasi ini mewujudkan gabungan idea kreatif dalam penghasilan karya berkualiti. 

Filem pertama dari Astro Shaw yang akan menemui penonton tahun ini adalah filem aksi arahan pengarah pecah panggung, Syafiq Yusof yang dibintangi oleh Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Dato’ Aaron Aziz dan Elizabeth Tan iaitu ‘Syerif’. Bekerjasama dengan Skop Productions, filem kepolisian ini akan membawa penonton untuk membongkar sisi gelap pasukan beruniform. Pengarah Syafiq Yusof yang terkenal dengan gelaran ‘King of Plot Twist’ pasti tidak akan mengecewakan dengan babak-babak yang mampu menaikkan adrenalin penonton.

Pada Mei nanti pula, sebuah filem aksi bertemakan rompakan (heist) iaitu ‘The Experts’, hasil arahan pengarah Polis Evo 2, Andre Chiew bersama Nizam Shah bakal ditayangkan. Membariskan Dato’ Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Remy Ishak, Mimi Lana dan Ray Dap Dap, mereka muncul sebagai lima adik-beradik yang mempunyai skil dan kepakaran berbeza dalam merancang sebuah rompakan terbesar.

Suku ketiga tahun 2024 pula memperlihatkan duo popular Jozan iaitu Zizan Razak dan Johan kembali menerusi ‘Baik Punya Ah Long’. Filem muzikal komedi arahan Datuk Afdlin Shauki ini mengisahkan dua Ah Long yang bersikap pemurah, berdepan dengan situasi hura-hara oleh kerana sikap mereka.

Turut bakal menjadi tumpuan ialah filem seram, ‘Khawarij’ arahan pengarah hebat Syamsul Yusof. Terdahulu Syamsul Yusof pernah menghasilkan filem bergenre Islamik seram seperti Khurafat, Munafik dan Munafik 2.

Turut tersenarai ialah filem biopik adaptasi daripada kisah sebenar atlet tempatan, jaguh Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Like Hou berjudul ‘Gold’. Naskhah ini merupakan sentuhan pengarah Malbatt : Misi Bakara, iaitu Adrian Teh dan membariskan para pelakon dari pelbagai latar seperti Jack Tan, Farid Kamil, Fabian Loo, Wan Raja, Yasmin Hani dan ramai lagi.

Seterusnya, prekuel daripada francais premium popular, Projek : High Council iaitu ‘Projek: Kahar’,  turut dijadualkan menemui penonton di pawagam tahun ini. Filem Projek: Kahar ditulis oleh penulis francais Projek: Anchor SPM dan Projek: High Council, Anwari Ashraf dan diarahkan oleh Razaisyam Rashid. Mempertaruhkan pelakon asal watak Kahar iaitu Amir Ahnaf, filem ini membawa penonton menyaksikan transisi Kahar daripada seorang pelajar biasa berubah menjadi Kapla High Council.

Ikuti perkembangan terbaharu filem-filem terbitan Astro Shaw dan info lanjut di platform TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *