(HIBURAN) Tiga filem Multimedia Film Productions meraih 17 pencalonan FFM32

Spread the love

KUALA LUMPUR, 29 November 2022 – Tiga filem terbitan Multimedia Film Productions iaitu Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, Rasuk dan Tiga Janda Melawan Dunia telah dicalonkan ke Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32).

Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See ialah filem kedua yang meraih pencalonan tertinggi dengan 13 kategori. Antara kategori pencalonan filem ketenteraan tersebut adalah Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

Filem seram Rasuk pula tercalon untuk dua kategori iaitu Pelakon Lelaki Harapan dan Tatarias Terbaik. Manakala filem Tiga Janda Melawan Dunia menerima dua pencalonan untuk kategori Pengarah Harapan dan Rekaan Busana.

Berikut senarai penuh kategori yang dipertandingkan:

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa

1) Kesan Khas Visual Terbaik

2) Lagu Tema Terbaik

3) Pelakon Lelaki Terbaik (Dato’ Adi Putra)

4) Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Nas-T)

5) Pelakon Wanita Terbaik (Sara Ali)

6) Penataan Bunyi Terbaik

7) Penyunting Terbaik

8) Rekaan Busana Terbaik

9) Sinematografi Terbaik

10) Skor Muzik Asal Terbaik

11) Tatarias Terbaik

12) Pengarah Terbaik (Zulkarnain Azhar & Frank See)

13) Cerita Asal Terbaik

Rasuk

1) Pelakon Lelaki Harapan (Abbas Mahmood)

2) Tatarias Terbaik

Tiga Janda Melawan Dunia

1) Pengarah Harapan (Hyrul Anuar)

2) Rekaan Busana

Mengulas mengenai pencalonan tersebut, Produser Eksekutif Multimedia Film Productions, Keoh Chee Ang berkata, tiga filem tersebut berada dalam kelompok Lima Terbaik adalah satu penghormatan kepada pihak syarikat.

“Kami gembira dengan pencalonan tiga filem terbitan syarikat ini untuk anugerah berprestij ini dan menganggapnya sebagai ganjaran kepada kami semua. Terima kasih kepada barisan juri dan FFM, pencalonan ini amat bermakna buat kami,” katanya.

FFM32 bakal berlangsung di Encore, Melaka pada 2 Disember ini dan akan bersiaran secara langsung di TV2 pada jam 9.00 malam.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *