3R (Respek, Relaks, Respon), sebuah program TV yang membincangkan isu-isu golongan remaja khususnya wanita secara inovatif, terbuka dan tanpa berselindung kembali bertemu penonton dengan musim ke-15 pada 20 Oktober 2013 mulai jam 7:30 malam, setiap Ahad di TV3.
Dengan kemudahan akses teknologi maklumat pada zaman sekarang, 3R bermatlamat untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan secara langsung dan terbuka daripada penonton-penonton. 3R yang dicetuskan oleh Datin Paduka Marina Mahathir dan Lina Tan berharap penonton musim baru 3R akan lebih proaktif dalam memberi respon kepada setiap isu yang 3R ketengahkan selain melibatkan diri dalam perbincangan di laman-laman sosial 3R. Menurut Datin Paduka Marina Mahathir, “Untuk sebuah masyarakat yang progresif, berfikir dan maju, kita perlu mendalami serta memahami isu-isu semasa terutama yang melibatkan isu-isu semasa dan kesaksamaan gender.”
Kelainan utama musim baru 3R kali ini ialah dengan penampilan tiga hos baru. Mereka dipilih daripada program realiti Projek 3R, yang memaparkan persaingan 12 finalis menghadapi pelbagai cabaran dan latihan untuk layak digelar sebagai hos 3R. Hos-hos baru ini adalah Dayah Bakar, Amirah Azmi dan Yvonne Lee.
Menurut Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3, “TV3 sentiasa berusaha untuk menyajikan program TV yang terbaik untuk para penonton. Program 3R sentiasa memberikan suntikan baru kepada kaum wanita khususnya remaja dalam berkongsi pelbagai isu yang relevan dan menarik minat mereka. Kami juga teruja untuk memperkenalkan barisan hos baru 3R iaitu Dayah, Amirah dan Yvonne yang bakal meneruskan legasi 3R. Kami pasti dengan semangat baru yang disuntik oleh mereka bertiga, 3R dapat menepati cita rasa dan kehendak golongan muda wanita pada zaman kini.”
Dayah Bakar (Nur Hidayah Abu Bakar, 24), graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pernah mengacarakan rancangan Hijabista sebelum ini. Beliau juga memiliki rangkaian fesyen online sendiri iaitu FashionCents. “Saya rasa amat berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada 3R, terasa seperti saya berada dalam mimpi tapi ini telah membuktikan kalau kita bersungguh-sungguh dalam apa yang kita ingini, mimpi akan menjadi realiti,” kata Dayah.
Amirah Azmi (Siti Nor Amirah Mohammad Azmi, 22), graduan Ijazah Perakaunan dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) merupakan seorang yang selalu teruja untuk mencuba aktiviti lasak dan cabaran baru. Beliau berasa bertuah kerana diberi peluang untuk menjadi hos kepada program yang disayangi ramai. Menurut Amirah, “Inspirasi saya sebagai hos 3R generasi baru ini adalah untuk menarik perhatian gadis gadis remaja zaman ini kerana dunia yang kami harungi setiap hari sentiasa memberi cabaran secara mengejut dan kadangkala kita tidak bersedia untuk menghadapinya. Dengan 3R, saya berharap untuk berkongsi isu-semasa dengan gadis remaja seperti saya supaya mereka tahu bagaimana untuk menangani isu-isu berkenaan. Saya harap mereka akan memberi respon yang menggalakkan. “
Yvonne Lee, graduan Ijazah Komunikasi Media dari KDU University College pernah dimahkotakan sebagai Miss World Malaysia bagi tahun 2012/2013. Menurut beliau, “Team 3R adalah sebuah keluarga secara keseluruhan. Ia satu proses mengenali diri dan membantu saya untuk berkembang dari segi pemikiran dan cara saya melihat dunia. Inspirasi saya adalah untuk menarik lebih ramai penonton baru untuk menyaksikan 3R kerana kami membawa banyak isu wanita yang lebih baru, hangat dan menarik tetapi dengan cara yang menyeronokkan.”
Episod pertama 3R menampilkan isu “ Lelaki Kaki Pukul”. Episod ini membincangkan topik keganasan terhadap wanita yang sudah sekian lama menjadi perbincangan dalam masyarakat tetapi masih tiada penyelesaian yang berkesan. Berbeza kini dengan adanya teknologi, sesebuah kelakuan ganas boleh dirakam dan dikongsikan di banyak laman-laman sosial yang membawa kepada tindakan serta-merta untuk diambil ke atas orang yang melakukan keganasan. Walau bagaimanapun, mengapa dan bagaimanakah kita dapat mengelak dari berada di dalam sebuah hubungan yang berisiko dan tanpa kepastian bahawa lelaki yang menjadi pasangan kita bukan seorang kaki pukul? Inilah yang mesti dikongsi dengan ramai wanita muda di luar sana.
Selain itu, 3R akan turut membincangkan isu-isu persahabatan. Sebagai contoh, bagaimana jika kita tidak bersetuju dengan tindak-tanduk teman lelaki seorang teman karib kita? Adakah kita perlu selalu berbohong semata-mata menjaga hubungan persahabatan sedia ada?
Musim baru 3R menampilkan Garnier dan Maybelline sebagai penaja utama – Rakan Respon 3R manakala Dove sebagai Rakan Respek 3R. Christina Low, Pengarah Pemasaran Garnier berkata, “Garnier percaya bahawa setiap orang mempunyai kecantikan semulajadi tersendiri yang datang daripada kebahagiaan dan keyakinan. Pengacara-pengacara baru 3R mempunyai keyakinan yang ingin kami ketengahkan kerana mereka telah dipilih khas melalui program realiti yang menarik. Kami gembira kerana dapat bekerjasama dalam mencapai tujuan dan objektif program 3R dalam setiap episod – iaitu untuk mendidik, memberitahu dan mewujudkan reaksi kepada mesej yang disampaikan dalam program. Kami berbangga menjadi sebahagian daripada program 3R di mana kami dapat berkongsi falsafah Garnier dengan penonton.”
Pink Fong, Pengurus Produk Kumpulan Maybelline, “Kami amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada program 3R. Pengacara-pengacara baru 3R ini pastinya akan terus memukau penonton dengan topik-topik menarik yang menjadi identiti program. Maybelline New York sememangnya masyhur dengan fesyen yang mendahului zaman dan mengenal pasti trend baru. Falsafah kami selari dengan konsep 3R, menjadikan kerjasama ini ideal untuk kedua-dua pihak.”
Dove meraikan wanita sebenar dalam segala yang dilakukan. “Produk Dove membantu wanita merealisasikan potensi kecantikan mereka dengan memberikan penjagaan sebenar. Sumber inspirasi Dove adalah dari wanita sebenar yang meluahkan pengalaman peribadi, kekuatan, dan kecekalan mereka.” Kata Ashlee Ng, Pengarah Pembinaan Jenama, Unilever (M) Holdings Sdn Bhd. Kecantikan sebenar merangkumi kepelbagaian dan rangkaian Dove memberikan inspirasi kepada wanita dari semua lapisan masyarakat untuk menyerlahkan kecantikan dalaman dan melangkah dengan keyakinan.
Saksikan 3R musim baru pada setiap Ahad jam 7.30 malam bermula 20 Oktober 2013. Layari laman sesawang rasmi, www.3r.com.my dan www.tv3.com.my serta ikuti perkembangan terkini daripada 3R dan TV3 menerusi Facebook, Twitter, Instagram & YouTube di bawah akaun nama 3R Malaysia dan TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini di TV3 boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.