KEDAH, 21 OGOS 2026 – Cyclone RT2S dan Cyclone RT5 kini rasmi berada di pasaran Malaysia melalui pengedar rasminya, Cyclone Malaysia, selepas diperkenalkan bersempena Malaysia Bike Show (Mforce MotoXperience 2026) pada 29 Mei tahun ini bersama 15 model baharu yang dilancarkan untuk pasaran tempatan. Pelancaran rasmi kedua-dua model ini kepada pasaran turut diadakan bersempena majlis perasmian Mforce Smartshop KW Keat Wei Motor Sdn. Bhd. di Langgar, Alor Setar.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan pengurusan KW Keat Wei Motor Sdn. Bhd. serta wakil pengurusan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., termasuk Ketua Pegawai Operasi, Encik Asri Ahmad dan Pengurus Kanan Jualan, Encik Tang Hai Teik.
Bersempena majlis perasmian ini, para pengunjung turut berpeluang menyertai sesi pandu uji yang disediakan serta menyaksikan sendiri dua model baharu daripada jenama Cyclone, iaitu Cyclone RT2S dan Cyclone RT5.
CYCLONE RT2S
Ditawarkan pada harga RM13,888.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, Cyclone RT2S hadir dalam dua pilihan warna iaitu Prestige Black dan Strong Grey, menampilkan reka bentuk skuter moden dengan kelengkapan praktikal untuk kegunaan harian serta perjalanan jarak sederhana.
Cyclone RT2S dikuasakan oleh enjin 247 cc satu silinder, 4 lejang, 4 injap, DOHC dengan sistem penyejukan cecair, yang menghasilkan kuasa maksimum 19.5 kW pada 8,500 rpm dan tork maksimum 24.5 N.m pada 6,500 rpm, dengan nisbah mampatan 10.7:1. Enjin ini mempunyai ukuran piston dan lejang 73 × 59 mm, dipadankan bersama sistem transmisi automatik berpacukan tali sawat bagi memastikan penghantaran kuasa yang lancar dan responsif.
Sistem pencucuhan ECU, suntikan bahan api elektronik (EFI), pendikit mekanikal serta sistem penghidup elektrik membantu memastikan operasi enjin yang cekap dan konsisten. Sistem klac automatik turut memberikan pengalaman tunggangan yang mudah, manakala tangki bahan api berkapasiti 12.6 liter menyokong perjalanan yang lebih praktikal.
Bagi sistem suspensi, Cyclone RT2S dilengkapi dengan fork teleskopik di bahagian hadapan serta sistem redaman spring di bahagian belakang bagi memberikan keseimbangan antara keselesaan, kestabilan dan kawalan ketika menunggang.
Sistem membrek pula menggunakan cakera tunggal berdiameter 270 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, serta dilengkapi Sistem Brek Anti Kunci (ABS) bagi meningkatkan kawalan dan keyakinan ketika membrek.
Cyclone RT2S menggunakan tayar bersaiz 110/80-R14 di hadapan dan 140/60-R13 di belakang, dipadankan dengan rim sport. Skuter ini mempunyai dimensi keseluruhan 2,100 mm panjang, 790 mm lebar dan 1,398 mm tinggi, dengan jarak roda 1,400 mm, ketinggian tempat duduk 750 mm, kelegaan bumi 135 mm serta berat kering 179 kg.
Dari segi kelengkapan, Cyclone RT2S hadir dengan paparan meter TFT, sistem kunci pintar, port pengecas USB Type-A, suis keselamatan tongkat sisi serta butang bercahaya dengan latar LED. Sistem pencahayaan LED merangkumi lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan.
Turut disediakan ialah ruang simpanan hadapan di sebelah kiri, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) boleh dinyahaktifkan, kamera papan pemuka hadapan dan belakang, pelindung angin boleh laras serta Sistem Pemantauan Tekanan Angin Tayar (TPMS).
Cyclone RT2S turut dilengkapi hendal, ekzos, rak belakang, penyandar belakang serta penapis minyak jenis Oil Strainer. Sambungan aplikasi Cyclone Store turut disediakan bagi menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih moden dan praktikal.
CYCLONE RT5
Ditawarkan pada harga RM16,888.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, Cyclone RT5 hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Prestige Black, Strong Grey dan Alabaster White, dengan reka bentuk yang lebih besar serta kelengkapan teknologi dan keselesaan yang menyeluruh.
Cyclone RT5 dikuasakan oleh enjin 246.9 cc satu silinder, 4 lejang dengan sistem penyejukan cecair, yang menghasilkan kuasa maksimum 19.5 kW pada 8,500 rpm dan tork maksimum 24.5 N.m pada 6,500 rpm, dengan nisbah mampatan 10.7:1. Enjin ini mempunyai ukuran piston dan lejang 73 × 59 mm, dipadankan bersama transmisi automatik berpacukan tali sawat serta klac automatik.
Sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), pendikit mekanikal dan sistem penghidup elektrik membantu memastikan prestasi enjin yang cekap dan responsif, manakala tangki bahan api berkapasiti 18 liter memberikan jarak perjalanan yang lebih praktikal.
Bagi sistem suspensi, Cyclone RT5 dilengkapi dengan fork teleskopik di bahagian hadapan serta penyerap hentak berkembar di bahagian belakang bagi memberikan keselesaan dan kestabilan ketika menunggang.
Sistem membrek menggunakan cakera brek dengan sistem BOSCH di bahagian hadapan dan belakang serta dilengkapi ABS dwi saluran bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kawalan ketika membrek.
Cyclone RT5 menggunakan tayar bersaiz 120/70-15 M/C di hadapan dan 140/60-14 M/C di belakang, dipadankan dengan rim sport. Skuter ini mempunyai dimensi keseluruhan 2,205 mm panjang, 767 mm lebar dan 1,395 mm tinggi, dengan jarak roda 1,545 mm, ketinggian tempat duduk 780 mm, kelegaan bumi 155 mm serta berat kering 190 kg.
Dari segi kelengkapan, Cyclone RT5 hadir dengan paparan meter TFT, sistem kunci pintar serta port pengecas USB Type-A dan Type-C. Suis keselamatan tongkat sisi dan butang bercahaya latar LED turut disediakan, manakala sistem pencahayaan LED merangkumi lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan.
Model ini turut menawarkan ruang simpanan hadapan pada kedua-dua belah, ruang simpanan bawah tempat duduk serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dinyahaktifkan. Kamera papan pemuka pada kedua-dua bahagian dan pelindung angin automatik boleh laras turut disediakan bersama Sistem Pemantauan Tekanan Angin Tayar (TPMS).
Bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan penunggang, Cyclone RT5 dilengkapi sambungan aplikasi pihak ketiga Carbit Ride, rak belakang, ‘extended footrest’, penyerap hentak tempat duduk, pengesan titik buta (BSD), lampu nombor pendaftaran serta brek parkir.
Turut disediakan ialah cermin sisi bermotor, tongkat tengah bermotor dan tuil brek boleh laras, menawarkan tahap kemudahan yang lebih tinggi kepada penunggang dalam penggunaan harian.
Dengan gabungan prestasi enjin yang responsif, ciri keselamatan moden, teknologi pintar serta kelengkapan praktikal, Cyclone RT2S dan Cyclone RT5 menawarkan pilihan skuter yang memenuhi keperluan penunggang Malaysia, sama ada untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.
WARANTI
Dengan setiap pembelian Cyclone RT2S dan Cyclone RT5, para pembeli boleh menikmati waranti selama 2 tahun. Perlindungan komprehensif penuh merangkumi tempoh 2 tahun atau sehingga 20,000 km (yang mana terdahulu). Sekiranya perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti yang ada.
Selain itu, para pembeli juga boleh menikmati perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian oleh Cyclone Malaysia.
Tertakluk kepada terma dan syarat.
