(SEMASA) Ford Mencabar Dunia Trak Pikap Konvensional dengan Ranger yang lebih Lasak, Pintar dan Efisien

New Ford Ranger 1

Ford memperkenalkan Ford Ranger baharu yang lasak dan pintar pada hari ini, sekali gus menetapkan satu penanda aras baru dalam segmen trak pikap. Ia menggabungkan keupayaan yang mantap, kualiti buatan dan teknologi terkini. Mulai hujung tahun ini, rangkaian trak yang telah ditambah baik itu akan menerjah ke lebih 180 pasaran di seluruh dunia.

“Ford Ranger baharu membawa satu tahap baharu dari segi keselesaan dan kehalusan buatan ke dalam segmennya tanpa berkompromi dengan kemampuan lasak yang dimahukan oleh para pelanggan kami,” kata Naib Presiden Pemasaran, Jualan & Servis Ford Asia Pasifik, Brett Wheatley. “Ia mewakili aspek kelasakan yang lebih pintar. Selain membantu para pelanggan kami untuk mencapai lebih lagi sama ada di tempat kerja mahupun bersama keluarga masing-masing.”

New Ford Ranger 3

Menampilkan rekaan hadapan yang baru, bergaya serta ruang dalaman lebih berfungsi dan pintar, Ranger baharu dibina berdasarkan kepada reptuasinya dari segi kemampuan, inovasi dan keselesaan. Semua aspek ini membantu Ranger untuk lebih menyerlah berbanding trak pikap tradisional yang lain. Ia juga menampilkan rangkain teknologi tercanggih yang menawarkan penyelesaian lebih praktikal untuk menangani cabaran pada setiap hari.

“Apabila kami mengambil keputusan untuk menambah baik Ford Ranger, kami tahu bahawa ia bukan satu tugas mudah. Ranger sedia ada ialah salah sebuah trak pikap yang paling lasak dan berkemampuan di luar sana,” kata Pengarah Rangkaian Kenderaan Ford Asia Pasifik, Richard Tilley. “Tetapi, terima kasih kepada warisan produk dan kepakaran global yang kami miliki dalam segmen kenderaan utiliti, kami berjaya menghasilkan produk yang hebat menjadi lebih baik. Melalui penampilan baharu yang berani, lebih efisien dan membawa kualiti buatannya ke satu tahap yang baru.

Rekaan yang lasak dan moden
Perubahan pada Ranger bemula daripada rekaan luaran yang telah ditambah baik. Penampilan yang lebih moden dan berani memberikan Ranger kelihatan begitu berkuasa di atas jalan raya, seterusnya menyerlahkan keupayaannya.

Rekaan hud yang lebih maskular bergabung dengan gril berbentuk trapezoidal yang nampak begitu mantap. Manakala lampu utama jenis projektor membolehkan trak pikap ini dapat dikenali secara serta-merta menerusi rupanya yang garang dan teknikal.

“Jika anda melihat bagaimana pelanggan kami menggunakan kenderaan mereka, adalah amat penting Ranger dilihat serta berfungsi sebagai kenderaan yang lasak dan boleh diharap,” kata Pengurus Rekaan Luaran Ford Asia Pasifik, Dave Dewitt. “Kami nampak peluang untuk membuatkan rekaannya menjadi lebih mantap dan memberi penekanan terhadap elemen reka bentuk Built Ford Tough seperti corong udara bahagian hadapan (outboard nostrils) – pada masa yang sama mengekalkan karekter aerodinamik Ranger yang terbaik.”

Rekaan luaran yang telah ditambah baik ini digabungkan dengan bahagian dalaman yang baru. Ia menawarkan persekitaran yang lebih selesa, kontemporari dan rasa seperti berada di dalam sebuah kereta kepada pemandu serta penumpangnya. Garis horizontal menyusuri keseluruhan kabin, memberikan rasa luas dan ‘membentuk’ skrin sentuh bersaiz lapan inci di bahagian tengahnya. Di bahagian belakang stereng, kluster instrumen TFT berkembar yang baru memaparkan semua maklumat kenderaan, hiburan, navigasi dan kawalan suhu kepada pemandu dengan jelas.

“Ruang dalaman Ranger baharu cukup kemas dan moden, bersama aspek teknikal yang jelas,” kata Dewitt. “Untuk menyerlahkan lagi rekaan ini, kami telah memilih material-material yang menarik dan bergaya, selain tahan lasak bagi sebuah trak untuk tujuan kerja. Ruang dalamannya mungkin kelihatan seperti sebuah kereta, tetapi ia jauh lebih praktikal berbanding sebelumnya.”

Keupayaan dan kehalusan
Ford Ranger kekal menjadi salah sebuah trak yang paling lasak dalam kelasnya. Dengan kemampuan mengharung air sehingga 800mm dan kelegaan tanah setinggi 230mmm yang terbaik dalam kelasnya, ia direka dan dibina untuk menempuh kebanyakan laluan paling ekstrem dengan mudah. Terima kasih kepada sudut mendekat 28 darjah dan sudut pelepasan 25 darjah, pemandu Ranger baharu akan berasa lebih yakin ketika melalui jalan yang curam.

Transfer case kukuh yang dikawal secara elektronik membolehkan pemandu Ranger varian 4×4 menukar daripada pacuan 4×2 kepada 4×4 ketika kenderaan masih bergerak dengan hanya memutar satu tombol pada konsol tengah. Untuk mendapatkan kuasa tork pada kelajuan rendah atau brek tambahan ketika menuruni bukit, pemandu boleh menggunakan gear 4×4 jarak pendek. Manakala ciri differential lock elektronik pada roda belakang membantu meningkatkan cengkaman apabila berdepan situasi sukar. Kekuatan di laluan off-road ini dipadankan dengan keupayaan menunda sehingga 3,500kg serta kapasiti mengangkut beban yang luar biasa.

Ranger mampu mencapai semua ini dengan tahap kelancaran yang jarang ada dalam segmen trak pikap. Ketika Ranger sedia ada sudah pun menetapkan standard dari segi pemanduan dan pengendalian, pasukan jurutera Ford telah menambah baik talaan suspensinya untuk memberi keselesaan serta pengendalian yang lebih baik.

Pengalaman pemanduannya dipertingkatkan lagi menerusi sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPAS). Ia menawarkan rasa stereng yang tepat, semula jadi dan meyakinkan. Dengan EPAS, stereng rasa ringan dan mudah dikendalikan ketika mengubah haluan pada kelajuan rendah seperti memasuki ruang parkir. Stereng akan menjadi lebih tepat apabila dipandu pada kelajuan tinggi. Bantuan ini akan diberi apabila diperlukan berdasarkan kepada kelajuan, sudut stereng, kuasa ketika membelok, memecut dan nyahpecutan. Dengan tidak lagi menggunakan pam stereng kuasa yang ada pada sistem stereng kuasa tradisional, EPAS juga membuatkan trak pikap ini menjadi lebih senyap dan menjimatkan bahan api sehingga tiga peratus.

Pasukan jurutera turut melengkapkan Ranger dengan material penyerap bunyi termaju serta menambah baik aspek penebatan untuk menawarkan kabin yang paling senyap dan selesa dalam kelasnya.

Teknologi Termaju
Ranger baharu dilengkapi dengan rangkaian teknologi terkini untuk membantu pemandu kekal terhubung dan sentiasa berada dalam kawalan.

Sistem ketersambungan di dalam kereta generasi terkini Ford, SYNC 2 menawarkan cara yang lebih bijak dan selamat untuk kekal berhubung. Dengan menggunakan arahan suara yang biasa seperti “Suhu 20 darjah”, “Mainkan AC/DC” atau “Saya lapar”, pemandu boleh mengawal suhu dalaman kenderaan, sistem hiburan dan navigasi jauh lebih mudah berbanding sebelumnya. Skrin sentuh bersaiz lapan inci pula menempatkan lebih banyak butang kawalan di hujung jari pemandu, bersama sudut yang dikod menggunakan warna agar lebih mudah digunakan.

Untuk memberi lebih kemudahan, Ranger baharu mempunyai satu soket kuasa 240 volt yang boleh digunakan untuk menghidupkan komputer riba di mana-mana sahaja, sama ada di tempat kerja atau ketika bercuti bersama keluarga.

Terdapat pelbagai teknologi bantuan pemandu yang membantu memudahkan pemanduan anda.

• Lane Keeping Alert dan Lane Keeping Aid bekerjasama untuk menghalang pemandu terkeluar dari laluan secara tidak sengaja apabila memandu pada kelajuan tinggi. Sekiranya kamera hadapan mengesan kenderaan lari dari laluannya, sistem Lane Keeping Alert akan memberi amaran kepada pemandu melalui satu getaran pada stereng. Jika tiada tindakan diambil untuk membetulkan keadaan, sistem Lane Keeping Aid akan mengenakan kuasa tork pada stereng untuk membawa kenderaan berada di laluan yang betul.
• Adaptive Cruise Control menggunakan alat-alat pengesan radar untuk mengekalkan tahap kelajuan dan jarak dengan kenderaan di hadapan yang telah ditetapkan sebelum ini. Apabila sistem ini mengesan ada sebuah kenderaan di hadapannya, ia akan memperlahankan trak secara automatik untuk mengekalkan jarak yang selamat. Trak akan kembali memecut untuk mencapai kelajuan yang telah ditetapkan oleh pemandu apabila jalan di hadapan kembali selamat. Pengehad kelajuan yang boleh diubah suai membantu pemandu daripada memandu melebihi kelajuan yang telah ditetapkan secara tidak sengaja

• Forward Alert berfungsi bersama sistem Adaptive Cruise Control untuk memberi amaran visual dan bunyi kepada pemandu apabila jarak dengan kenderaan hadapan tidak lagi selamat. Sistem ini juga akan memastikan prestasi brek berada di tahap yang optimum

• Front and Rear Park Assist menggunakan alat-alat pengesan untuk mengesan halangan dan mengeluarkan bunyi amaran apabila kenderaan semakin hampir dengan halangan pada kelajuan rendah, misalnya ketika hendak memarkir kenderaan. Kamera belakang memberikan pandangan yang jelas dan memberi lebih keyakinan ketika memarkir dan menunda treler.

• Tire Pressure Monitoring System membantu pemandu untuk kekal selamat dan menjimatkan penggunaan bahan api dengan memberitahu pemandu jika tekanan tayar terlalu rendah

• Electronic Stability Program dengan sistem kawalan olengan dan pengurangan goyangan treler, ia membantu memastikan kenderaan sentiasa berada dalam kawalan biarpun pada situasi yang buruk

• Driver Impairment Monitor menggunakan kamera hadapan dan alat pengesan di dalam kenderaan untuk mengesan pemandu yang mengantuk. Sekiranya sistem ini mendapati kenderaan lari dari laluan dan stereng dibetulkan secara tiba-tiba, ia akan memberi amaran kepada pemandu melalui bunyi yang semakin kuat

• Dalam pasaran-pasaran tertentu, sistem Emergency Assistance menggunakan telefon yang telah disambung dan dipadankan dengan Bluetooth untuk menghubungi penyedia perkhidmatan kecemasan tempatan sekiranya berlaku kemalangan yang serius. Sistem ini akan menyampaikan maklumat dan lokasi kemalangan, sebelum menyambungkan talian untuk membolehkan anda bercakap secara langsung dengan pasukan kecemasan

• Teknologi-teknologi pintar lain yang ada pada Ranger baharu termasuklah Hill Launch Assist yang membantu anda memulakan pemanduan di laluan curam dengan yakin; Hill Descent Control yang menggunakan sistem kawalan cengkaman pula membantu anda menuruni laluan curam pada kelajuan yang sama; Adaptive Load Control mengubah suai sistem Electronic Stability Control berdasarkan kepada beban kenderaan dan Emergency Brake Assistance membantu menyediakan tenaga tambahan ke atas sistem brek untuk meningkatkan kuasa membrek apabila anda menekan brek dengan pantas dalam situasi kecemasan

Kuasa yang Efisien
Kuasa, kemampuan dan kapasiti mengangkut beban serta menunda Ranger baharu yang mengagumkan dapat direalisasikan menerusi penggunaan enjin-enjin yang dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik enam kelajuan. Kesemua empat enjin yang ada menawarkan pelanggan Ranger kombinasi terbaik dari segi kuasa dan kecekapan dalam apa jua keadaan. Selain mengotakan janji Ford untuk memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

Untuk kuasa dan tork maksimum bagi tujuan menunda, Ford menawarkan enjin diesel generasi terkini 3.2 liter Duratorq lima silinder TDCi yang sudah terbukti bagus di peringkat global. Antara penambahbaikan yang diterima oleh enjin ini adalah sistem kitaran semula gas ekzos. Ia membantu meningkatkan penjimatan bahan api sehingga 18 peratus, pada masa yang sama mampu menjana kuasa mencecah 147kW dan tork setinggi 470Nm.

Dijana oleh enjin diesel 2.2 liter Duratorq empat silinder TDCi generasi terkini Ford, Ranger menawarkan penjimatan bahan api dan kelancaran yang signifikan. Di samping memberikan kuasa yang dimahukan oleh para pelanggan Ranger. Bergantung kepada pasaran, Ford akan menawarkan enjin standard 2.2 liter yang mampu menghasilkan kuasa 118kW dan tork 385Nm atau varian enjin bercekapan tinggi berkuasa 96kW yang menyediakan penjimatan bahan api sehingga 22 peratus.

Ranger baharu juga didatangkan dengan enjin petrol bersesaran 2.5 liter yang boleh dipercayai. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 122kW dan tork setinggi 225Nm#.

Untuk memaksimumkan lagi kecekapan enjinnya, Ford Ranger baharu hadir bersama teknologi Start/Stop Automatik yang dapat menjimatkan minyak sehingga 3.5 peratus dengan mematikan enjin ketika kenderaan dalam keadaan melahu seperti di lampu isyarat. Ketika bergerak pada kelajuan tinggi di lebuh raya, nisbah gear akhir yang lebih panjang nyata meningkatkan lagi penjimatan bahan api.

“Dengan aspek penjimatan yang dipertingkatkan, kehalusan buatan dan teknologi-teknologi pintar yang baru, Ranger baharu nyata telah mendefinisikan kembali apa yang boleh pelanggan harapkan daripada sebuah trak pikap yang lasak dan berkeupayaan tinggi,” kata Tilley.

Ford akan mengilangkan Ranger baharu di kemudahan AutoAlliance Thailand di Rayong, Thailand sebelum dipasarkan di seluruh Asia Pasifik. Kilang Pemasangan Silverton di Pretoria, Afrika Selatan untuk pasaran Afrika dan Eropah. Sementara Kilang Pemasangan dan Pengeluaran Pacheco di Argentina pula untuk pengedaran ke pasaran Amerika Latin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *