KUALA LUMPUR, 16 Mei 2026 – Menjelang persiapan sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi, ikhlas.com buat julung kalinya menganjurkan Sijil Profesional Penyembelihan Syariah 2026 bagi memperkukuh kefahaman dan kesiapsiagaan para sukarelawan dan ahli komuniti setempat dalam melaksanakan ibadah korban berpandukan amalan syariah yang betul.
Program pimpinan Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Abdul Fatah Yusof di Masjid Nurul Islam Ampang, Desa Pahlawan itu disertai ahli jemaah masjid dan surau, pertubuhan sukarelawan, komuniti setempat dan Sahabat ikhlas.com.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Inisiatif terbaru ini mengukuhkan lagi jaminan kami bahawa ibadah korban yang diamanahkan kepada ikhlas.com dilaksanakan mengikut syariah, menepati prosedur serta dilakukan dengan penuh ihsan, integriti dan rasa tanggungjawab.
“Oleh itu, kami mahu memastikan setiap petugas, sukarelawan dan jawatankuasa yang terlibat benar-benar faham tentang teknik pengendalian ternakan korban, tatacara penyembelihan yang sah, bersih, selamat dan menepati tuntutan syariah,” katanya.
Para peserta turut digalakkan membawa pisau sembelihan masing-masing bagi membiasakan diri dengan penggunaan peralatan secara betul dan selamat di bawah pemantauan fasilitator. Selain memberikan pendedahan asas mengenai amalan penyembelihan halal, program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk memperoleh pensijilan asas selepas menamatkan bengkel tersebut.
Orang ramai masih berpeluang menikmati harga promosi pakej ikhlas.com Qurban bermula serendah RM309 bagi satu bahagian lembu untuk korban luar negara (kod promosi: MOODAHGLOBAL) melibatkan 35 negara dan RM829 bagi satu bahagian untuk korban dalam negara (kod promosi: MOODAHLOKAL) sehingga 19 Mei 2026 menerusi aplikasi ikhlas.com.
Selain memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah korban dengan ciri penjejakan status, sijil pengesahan dan bukti video, ikhlas.com juga membolehkan pengguna menikmati mata ganjaran AirAsia rewards yang boleh ditebus untuk pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan perjalanan menerusi aplikasi AirAsia MOVE.
Ditubuhkan pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform digital Islam Capital A yang menawarkan penyelesaian Umrah dan perjalanan mesra Muslim, di samping perkhidmatan patuh syariah seperti zakat, korban, aqiqah, sedekah dan fidyah. Berteraskan prinsip amanah, ketelusan dan kecemerlangan perkhidmatan, ikhlas.com komited untuk mempermudah pelaksanaan kewajipan Islam serta perjalanan ibadah bagi umat Islam. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi ikhlas.com di Apple App Store dan Google Play Store.

