(SEMASA) KFC MALAYSIA TERUS MENAMBAH HARAPAN BAGI MEMBANTERAS KEBULURAN

Spread the love

KUALA LUMPUR, 15 JUN 2017 – KFC Malaysia meneruskan usahanya bagi membantu menangani isu kebuluran melalui kempen Add Hope 2017. Inisiatif berterusan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat global KFC dan telah memasuki tahun ke-11 penganjurannya di peringkat tempatan. Kempen ini kembali untuk menjana sokongan dan kesedaran yang lebih tinggi daripada orang ramai serta meraih dana bagi usaha berkenaan.

Dengan semangat memberi dan beramal di bulan mulia ini, Add Hope 2017 telah dilancarkan khas sempena bulan Ramadan bagi memperbaiki nasib golongan yang kurang bernasib baik dan sering dibelenggu dengan masalah kelaparan. Kempen tahun ini yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan orang ramai turut melancarkan sebuah laman sesawang khas bagi menyebarkan maklumat selain menyediakan sebuah landasan mudah untuk orang ramai menyumbang secara atas talian di kfc.com.my.

“Add Hope merupakan sebuah usaha berterusan sepanjang tahun yang tidak terhenti setakat tempoh kutipan dana sahaja. Namun begitu, sumbangan orang ramai tetap menjadi kepentingan utama bagi kempen ini kerana dengan sumbangan itulah kami boleh menyediakan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan. Kami amat terharu menerima sokongan positif dari orang ramai saban tahun dan ini mendorong kami untuk berusaha lebih gigih supaya dapat membantu lebih ramai insan di luar sana,” kata Merrill Pereyra, Ketua Pegawai Eksekutif – Restaurant Division, QSR Brands (M) Holdings Bhd.

Tambahnya lagi, “Kami menyedari bahawa isu kelaparan masih merupakan satu permasalahan besar dalam kalangan masyarakat kita. Sebagai sebuah syarikat perkhidmatan makanan, kami ingin memainkan peranan kami bagi meringankan beban mereka. Dengan pelbagai inisiatif yang dirancang tahun ini, kami berharap dapat menggerakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang prihatin supaya lebih banyak bantuan dapat disalurkan.”

Selain menyediakan sistem sumbangan atas talian, usaha ke arah meningkatkan kesedaran turut disertakan agar dapat menarik minat dan penyertaan. Ini termasuklah laman sesawang yang memaparkan maklumat tentang program Add Hope serta video – video yang bakal dikongsi di media sosial untuk membantu usaha berkenaan.

Add Hope 2017 merupakan tahun ketiga buat pelakon dan pengacara popular, Scha Alyahya menyertai KFC Malaysia sebagai jurucakap bagi kempen ini. “Usaha murni ini sangat dekat di hati saya terutamanya setelah dua tahun saya terlibat di dalam perjalanan yang penuh makna bersama KFC Malaysia. Add Hope telah memberi peluang kepada saya untuk mendekati ramai individu dan keluarga yang kurang berkemampuan dan ia menyedarkan saya tentang hakikat kehidupan buat sebahagian rakyat kita. Pengalaman ini sangat menginsafkan dan ia telah menguatkan azam saya untuk membantu sebaik mungkin. Kami perlukan sokongan berterusan dari rakyat Malaysia supaya bantuan dapat terus disalurkan kepada yang memerlukan. Hulurkan sumbangan, lakarkan harapan kepada hidup mereka,” kata Scha Alyahya.

Objektif utama Add Hope adalah untuk mengumpul dana bagi menyediakan bekalan makanan di kawasan – kawasan dengan masyarakat yang dilanda masalah kelaparan di peringkat tempatan serta luar negara. Sebahagian daripada dana akan diperuntukkan kepada Program Makanan Dunia Oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) manakala sebahagian besar lagi akan diedarkan kepada rumah – rumah kebajikan dan keluarga yang memerlukan di seluruh negara. Selain itu, dana turut disalurkan menerusi kerjasama dengan NGO tempatan dan badan-badan kerajaan yang berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Malaysia, dapur mesra PERTIWI dan Kechara, Food Aid Foundation, Yayasan Chow Kit (YCK), Hope Worldwide Malaysia, Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Bulan Sabit Merah Malaysia (MRC), dan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK).

Setakat ini, kempen ini telah berjaya mengumpul lebih daripada RM21.3 juta di peringkat nasional, dan lebih daripada USD $600 juta di peringkat global. Tahun ini, kempen Add Hope bermula dari 15 Jun 2017 dan maklumat lanjut boleh didapati di laman kfc.com.my  atau layari Facebook Add Hope Malaysia, www.facebook.com/AddHopeMalaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *