(SEMASA) MATEC 2026 KEMBALI, PACU EKOSISTEM AUTOMOTIF BUMIPUTERA KE FASA BAHARU

Spread the love

KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER 2026 — Majlis Amanah Rakyat (MARA) membawa fokus baharu dalam penganjuran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 bertemakan ‘Drive the Future’, dengan tiga aspirasi utama iaitu Automotif Masa Depan, Kecemerlangan TVET dan Mobiliti Elektrik bagi memperkukuh rantaian nilai industri automotif Bumiputera.

Perkara itu diumumkan pada Majlis Pra Pelancaran MATEC 2026 yang berlangsung di Lobi Busana MARA Kuala Lumpur hari ini. MATEC 2026 yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 November 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi platform menghimpunkan usahawan, pemain industri, graduan TVET, institusi kewangan, agensi kerajaan serta komuniti automotif dalam satu platform yang menggabungkan peluang perniagaan, pembangunan bakat dan teknologi.

Berbeza daripada penganjuran sebagai acara automotif semata-mata, MATEC 2026 dirangka sebagai platform yang membuka lebih banyak ruang kepada usahawan Bumiputera untuk membina jaringan, meneroka peluang perniagaan serta bergerak ke segmen rantaian nilai industri yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

“Bagi merealisasikan hala tuju tersebut, MATEC 2026 distrukturkan menerusi lima teras utama,” jelas Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.

“Teras keusahawanan memfokuskan kepada sesi padanan perniagaan, program pembangunan vendor dan peluang francais, manakala teras teknologi membawakan pameran kenderaan elektrik

(EV), mobiliti pintar, serta aplikasi AI dalam sektor automotif.”

Tambah beliau lagi, penganjuran ini merangkumi platform jaringan strategik bersama agensi kerajaan dan pemain industri, program pembangunan bakat TVET menerusi sesi temuduga terbuka dan pertandingan kemahiran serta tumpuan kepada pertumbuhan industri mampan melalui pameran ekonomi kitaran dan zon mobiliti hijau.

MATEC 2026 turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai rakan strategik seperti Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Perbadanan Stadium Malaysia, PETRONAS, Mannol, Bateriku, PMH, GGR Legacy, Bubbles O2, Celcom Digi, Nabilah Bahrin Group (Kak Nab), ZK Racing, MAMEE, Pro Apparel, Ustaz Gadget, ADXTG Rider Malaysia, XMAX Owner Club Malaysia, GRT Motorsport dan VesprintKL.

Selain pengisian korporat dan industri, para pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai tarikan gaya hidup. Antara aktiviti luar yang dirancang termasuk perhimpunan Campervan dan Motorhome, pertunjukan kereta modifikasi, aksi drift, serta Fantastic Food Festival by KakNab.

Manakala bagi aktiviti dalaman, pengunjung berpeluang menyertai pameran Diecast, Tamiya Mini 4WD, RC Play, simulator lumba kereta, zon e-sukan serta sesi temuduga terbuka kerjaya.

Orang ramai, pemain industri automotif, graduan TVET, serta penggemar jentera dijemput hadir bagi memeriahkan Karnival MATEC 2026 pada 27 hingga 29 November 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Masuk adalah percuma.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *