(SEMASA) McDonald’s Malaysia Serah Zakat Perniagaan RM500 Ribu Kepada PPZ-MAIWP, Hulur Sumbangan Ramadhan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 8 April 2022 – McDonald’s Malaysia telah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM500 ribu kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun 2022. Ini merupakan jumlah tertinggi semenjak McDonald’s Malaysia mula membayar Zakat perniagaan lima tahun lalu, sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd pada tahun 2017, sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

Majlis pembayaran zakat perniagaan ini telah dihadiri oleh Ustaz Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang menyaksikan penyerahan zakat perniagaan McDonald’s Malaysia oleh Encik Azhar Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia kepada Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Sehingga tahun ini, McDonald’s Malaysia akan membayar zakat perniagaan berjumlah RM9.85 juta untuk negeri-negeri di seluruh Malaysia sejak syarikat mula membayar zakat pada tahun 2017.

Sebagai pengiktirafan kepada McDonald’s Malaysia yang telah berterusan menjalankan tanggangjawab mereka sebagai sebuah entiti perniagaan milik umat Islam, PPZ-MAIWP telah sekali lagi menyerahkan Sijil Pembayar Zakat Perniagaan kepada McDonald’s Malaysia. Sijil ini akan dipamerkan di lebih 40 buah restoran McDonald’s di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Bayaran zakat perniagaan ini merupakan salah satu dari inisiatif kami bagi menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan yang juga merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PPZ-MAIWP atas penyerahan Sijil Pembayar Zakat Perniagaan kepada McDonald’s Malaysia. Diharap dengan sijil-sijil yang akan dipamerkan di restoran kami, keyakinan masyarakat terhadap syarikat kami akan tetap utuh,” kata Encik Azhar Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia.

“Tahniah diucapkan kepada McDonald’s Malaysia kerana menjadi satu syarikat contoh yang boleh diikuti oleh syarikat lain. Sebagai satu nama besar, kami yakin McDonald’s Malaysia mampu mempengaruhi lebih banyak syarikat di luar sana untuk menunaikan zakat perniagaan sekaligus dapat membantu meningkatkan ekonomi asnaf.

“Bulan Ramadan ini adalah masa yang terbaik untuk kita melipatgandakan ibadah. Oleh itu, ambillah kesempatan pada bulan ini untuk berbuat kebaikan dengan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan sebagai tanda kita mensyukuri nikmat yang diberi oleh Allah SWT,” kata Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

“MAIWP dalam pada itu menzahirkan rasa penghargaan McDonald’s Malaysia atas komitmen berterusan melunaskan rukun Islam ke empat ini. MAIWP terus mengharapkan kesedaran syarikat-syarikat besar untuk membayar zakat kepada Majlis Agama atau Pusat Zakat Negeri kerana dengan wang zakat anda inilah, kami akan terus dapat menyantuni masyarakat Islam terutamanya asnaf yang memerlukan. Insyaallah, kita harap kolaborasi strategik sebegini akan diteruskan dari masa ke masa dalam usaha kita membantu asnaf meneruskan kelansungan hidup,” ujar Ustaz Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, MAIWP.

McDonald’s Malaysia juga telah mengadakan Program Ziarah Komuniti Asnaf, dengan menyantuni 50 buah keluarga asnaf di sekitar kawasan Danau Kota, Kuala Lumpur dan menyerahkan sumbangan wakalah agihan dalam bentuk ‘kotak rezeki’ dan duit raya.

McDonald’s Malaysia telah diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi pada 1 Disember 2016. Dengan pengambilalihan ini, syarikat khidmat segera itu kini dimiliki oleh pemegang saham atau pelabur yang majoritinya terdiri daripada umat Islam.

Selain membayar Zakat, McDonald’s Malaysia juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Development Corporation untuk terus mendukung komitmen Halal dan melibatkan diri dalam aktiviti Halal dalam semua aspek perniagaan. McDonald’s Malaysia juga terlibat secara aktif dalam pelbagai program Halal termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST dan World Halal Conference.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *