(SEMASA) PENCETUS UMMAH KEMBALI UNTUK MUSIM KEEMPAT

PU-Cover-m-600x360

Kuala Lumpur, 8 Ogos 2016 – Program realiti dakwah unggul, Pencetus Ummah kembali untuk musim keempat di mana pencarian pendakwah baru serba boleh diteruskan Ogos ini. Setelah berjaya mencipta fenomena tersendiri selama tiga musim, Pencetus Ummah bakal menjelajah ke seluruh negara bagi mencari pendakwah ulung yang seterusnya. Program yang dicetuskan saluran 106, Astro Oasis ini bakal singgah di beberapa lokasi di seluruh negara bermula 13 Ogos 2016 ini dengan Johor Bahru, menjadi lokasi pertama ujibakat.

Ustaz Ahmad Fuad Mat Ali, Pengurus Saluran Astro Oasis

Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali berkata, “Tidak dinafikan, program Pencetus Ummah telah memberi impak yang besar kepada dunia dakwah tanah air menerusi elemen penyatuan ummah dan penyebaran ilmu yang menjadi tunjang utama program ini. Memasuki musim keempat, kami amat gembira program ini diterima baik penonton di luar sana dan dijadikan inspirasi oleh ramai orang dalam usaha menjadi seorang Muslim yang lebih baik. Kami di Astro akan sentiasa memberikan pendekatan lebih menarik menerusi topik-topik tazkirah yang lebih relevan untuk kita bawakan, berdasarkan konteks pembangunan umat Islam terkini”.

Selama tiga musim, Pencetus Ummah telah pun melahirkan ramai pendakwah yang dilihat menjadi pelapis yang bagus dalam menyuburkan syiar dakwah Islamiah tanah air. Menjadikan Rasulullah SAW selaku ikon Pencetus Ummah, tentunya musim kali ini menjanjikan barisan peserta yang lebih baik untuk meneruskan perjuangan Baginda Muhammad SAW.

“Saban tahun, setiap kali sesi ujibakat diadakan, pastinya kita tidak pernah jemu dengan kehadiran para peserta yang berjiwa besar serta mahukan suara umat Islam terus didengari. Walaupun umat Islam kini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang lebih besar, konteks dakwah itu masih kekal sama. Menyampaikan dengan cara paling berkesan, mengikut acuan dan panduan Islam yang sebenar seterusnya menjulang agama Islam yang kita muliakan ke peringkat yang lebih tinggi. Itulah yang ingin dizahirkan Pencetus Ummah, dalam misi menyatukan hati-hati kita semua”, ulas Ahmad Fuad lagi.

Sesi uji bakat ini terbuka kepada semua lelaki Muslim warganegara Malaysia, Singapura dan Brunei juga pemastatutin tetap Malaysia, Singapura dan Brunei yang fasih berbahasa Malaysia; berusia 18 tahun ke atas serta sihat tubuh badan di samping mempunyai latar belakang dan pengetahuan agama Islam yang baik.


Berikut merupakan lokasi sesi ujibakat Pencetus Ummah musim keempat:

TARIKH ZON TEMPAT NEGERI
13 Ogos SELATAN The Puteri Pacific, Johor Bahru JOHOR
20 Ogos UTARA Kolej Universiti Insaniah Mergong, Alor Setar KEDAH
27  dan  28 Ogos TENGAH Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Bandar Seri Putra. SELANGOR

Mereka yang berminat perlu hadir ke lokasi uji bakat bermula jam 9.00 pagi dengan membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar 4R. Selain diuji untuk membaca surah Al Fatihah dan beberapa surah lazim, para peserta juga perlu hadir dan bersedia dengan satu topik tazkirah dengan tajuk bebas dan pengisian mestilah mengandungi ayat Al-Quran dan hadis.

Tahun ini, sesi ujibakat secara OPEN MIC juga akan diadakan bersama GENG PU di dua buah lokasi lain iaitu Pahang dan Perlis. Butiran adalah seperti berikut:

TARIKH MASA TEMPAT AKTIVITI
11 Ogos 3 petang – 6 petang Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) Sesi Tazkirah bersama PU Lokman & acara santai
12 Ogos 9 pagi hingga 6 petang Open Mic Audition
18 Ogos 3 petang – 6 petang Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Sesi Tazkirah bersama PU Lokman & acara santai
19 Ogos 9 pagi hingga 6 petang Open Mic Audition

Selain itu, para peserta juga boleh mencuba nasib menerusi penyertaan secara atas talian apabila ujibakat online Pencetus Ummah telah pun dilancarkan mulai 1 Ogos yang lalu. Mereka yang berminat perlulah menghantar satu video tazkirah pendek, tidak melebihi 3 minit dan dimuat naik ke laman sesawang rasmi Pencetus Ummah iaitu www.pencetusummah.com.my. Melalui laman sesawang ini juga, segala maklumat lanjut berkenaan program yang pernah memenangi Anugerah Program Agama Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2016 inI ada disertakan sekali bagi tujuan rujukan.

Selain itu, Astro juga mengambil pendekatan media baru dengan pelbagai aplikasi menarik untuk mendekati penonton dan peminat secara lebih rapat dengan aktiviti dakwah.
Para pengguna telefon bimbit juga diperkenalkan dengan aplikasi islamik terkini iaitu Salam Muslim yang mengandungi waktu solat seluruh Malaysia, peringatan solat, arah kiblat, tasbih digital, nasihat serta kata-kata hikmat dari tokoh islamik dan banyak lagi. Jadual rancangan program-program menarik di Astro Oasis turut terdapat di aplikasi Salam Muslim ini yang boleh dimuat turun di Android Google Play atau di Apps Store sekarang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *