(SEMASA) TOURISM MALAYSIA LANCAR PERTANDINGAN ‘PHOTO CHALLENGE 2021’

Spread the love

KUALA LUMPUR, 11 Disember 2021 – Tourism Malaysia hari ini melancarkan pertandingan ‘Photo Challenge 2021’ yang bertujuan mencungkil bakat kreatif rakyat Malaysia menerusi lensa kamera dengan penawaran hadiah pakej percutian dan peralatan fotografi bernilai sehingga RM80,000 bagi menyemarakkan pelancongan domestik.

Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Zainuddin Abdul Wahab di AEON AU2 Setiawangsa bersempena penganjuran program Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia.

Pertandingan fotografi ini berlangsung selama dua bulan dari 11 Disember 2021 sehingga 11 Februari 2022. Terbuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, pertandingan ini mempertandingkan empat kategori bertemakan ‘Extreme Shot’, Alam Semula Jadi, Seni & Budaya, ‘Human Interest’ serta Dulu & Sekarang.

Bagi setiap kategori yang dipertandingkan, terdapat tiga (3) pemenang akan dipilih bagi tempat pertama, kedua dan ketiga berserta tiga (3) lagi penerima sagu hati.

Dato’ Zainuddin berkata, pihaknya menjangkakan penyertaan memberangsangkan bakal diterima ekoran tiada sebarang yuran dikenakan, malah para peserta bebas menggunakan sebarang jenis kamera bagi merakam imej-imej yang diingini.

“Tidak dinafikan seni fotografi merupakan salah satu bidang yang berkait rapat dengan pelancongan. Melalui imej-imej menarik hasil bidikan terbaik, kita berupaya mendorong minat orang ramai untuk melancong dan menikmati percutian di Malaysia.

“Di samping itu, pertandingan ini bertujuan mencungkil bakat fotografi dalam kalangan rakyat Malaysia selain memupuk kreativiti dan semangat cintakan negara,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan syarat pertandingan dan borang penyertaan boleh diperoleh dengan mengakses laman web rasmi Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *